Artikel
Buku Besar Jadi Bahan Pembelajaran Guru Pra Sekolah
oleh Roziyah pada 28 Sep 2010
Pengalaman penulis yang luas dalam menghasilkan beberapa siri buku pra sekolah yang menjadi rujukan tadika di seluruh negara dan digabungkan pula dengan pelukis bertaraf hebat melahirkan buku besar yang pertama dihasilkan oleh PTS yang bukan sahaja mampu menarik perhatian kanak-kanak malahan guru-guru pra sekolah.
Buku Di Mana Ibu Saya yang berada di bawah siri Permata Hatiku ini menampilkan kelainan apabila dihidangkan kepada pembaca dalam saiz A3 dengan tambahan ilustrasi yang jelas dan menarik.
"Buku ini sebenarnya bagi guru agar mudah dibacakan kepada kanak-kanak pra sekolah. Guru juga boleh menunjukkan dengan jelas ilustrasi kepada kanak-kanak agar dapat menarik minat mereka untuk belajar," jelas editor perolehan PTS Profesional, cikpuan Rashiela Nurain Rashid ketika ditemuramah wartawan PTS Portal.
Buku yang comel dan penuh dengan ilustrasi menarik ini memberi peluang kepada guru-guru yang mengajar kanak-kanak pra sekolah agar pembelajaran lebih menarik dan menyeronokkan.
Teks yang digunakan juga lebih mudah dan ringkas, sesuai dengan kanak-kanak pra sekolah yang masih belum cekap membaca.
"Kami berharap buku ini dapat diterjemahkan dalam bahasa lain kerana keyakinan editor yang tinggi terhadap buku ini," jelas beliau lagi.
Alia Nina atau lebih dikenali sebagai Nani Menon merupakan penulis buku Di Mana Ibu Saya ini. Beliau juga berpengalaman sebagai guru tadika selama 23 tahun di Makmal Perkembangan Kanak-Kanak, Jabatan Pembangunan Manusia dan Pengajian Keluarga, Fakulti Ekologi Manusia, UPM. Beliau juga merupakan pakar dalam bidang perkembangan kanak-kanak dan pernah membentangkan kertas kerja di peringkat antarabangsa. Antara buku tulisan beliau yang laris dan diulang cetak setiap tahun adalah buku Permainan, lagu dan Puisi Kanak-Kanak.
Emila Yusof pula merupakan ilustrator bebas yang menghasilkan banyak karya bersama PTS. Antara karya yang dihasilkan beliau adalah Seni dan Kraf Bersama Kak Emila: Kraf Kitar Semula, Origami, Kartun Haiwan, Kraf Alam dan Kad Ucapan. Hasil kerja beliau juga boleh dilihat dalam Diari Dear Yayah dan Hai Suria.
PTS Profesional juga bakal mengeluarkan buku-buku besar lain di bawah siri Permata Hatiku antaranya seperti Baju Cantik, Jangan Takut, Ke Mana Perginya, Apa yang Bergerak dan Cuba Buat Sendiri.