Artikel

Buku ini Hanya Patut Dibeli oleh Mereka yang Serius Untuk Mengubah Kehidupan

oleh Nik Aziz Afiq pada 07 Feb 2017

“Kita tidak berbangga dengan apa yang kita lakukan, kita menyalahkan diri dengan apa yang kita tidak lakukan”

Frasa yang saya saya petik dari buku bestseller New York Times, First Things First (Stephen R. Covey) ini cukup memberikan kita tamparan yang maha dasyat.

Kita hidup dan kita bernafas, makan tidur, cari duit, berbelanja, bayar hutang dan akhirnya pusing pada rutin-rutin yang sama. Sampai satu saat dalam kehidupan kita mulai lelah dalam berjalan dan rasakan kenapa kehidupan begini yang kita jalani?

Kehidupan kaku, rasa bagai robot yang diatur. Selepas siapkan satu tugasan maka datang pula tugasan lain dan kadang tugasan-tugasan baru menimbus terus kita dengan kesibukan tanpa sempat menyiapkan tugasan terdahulu.

robot

Perit bila kita mula sedar, kita tidak lagi mengawal hidup kita. Sebaliknya kita rasakan hidup kita dikawal oleh semua perkara lain. Kita hanyalah ibarat sebatang kayu kecil yang mengikut deras arus sungai besar.

Segalanya ditetapkan oleh arus hingga hari demi hari kita makin rapuh dan tak berdaya lagi menjalani kehidupan setelah puas menghentam batu-batu yang menghalang arus deras ini.

10 tahun dahulu, mungkin kita pasang begitu banyak cita-cita, impian untuk dicapai, kita positif merasakan hidup kita akan lebih baik dan seperti yang dirancang.

Kini segalanya berubah, masa kita bersama keluarga dirompak dengan kesibukan bekerja, masa kita untuk bermasyarakat dicuri oleh kepenatan badan yang dahagakan rehat sebentar sebelum bermula hari baru dengan rutin yang sama.

Jika ketika kanak-kanak dahulu kita sering berangan untuk menjadi superhero yang mampu menyelamatkan dunia, kini kita hanya banyak mengeluh melihat kurangnya masa untuk menyumbang sesuatu buat masyarakat.

superhero

Kita sedar ruang kosong dalam diri ini makin membesar, namun kita keliru apakah kaedah boleh diambil untuk perbaiki keadaan ini. Dimana silapnya dan bagaimana ia dapat diperbetulkan?

Untuk itu, buku ini hadir tepat pada masanya. Bagi penggemar tulisan Stephen R. Covey pasti tidak asing dengan kaedah buku ini disampaikan. Tiada jalan pintas untuk berjaya! Ya inilah cara Stephen!

Hidup tidak semudah dengan menghafal sejenis rahsia atau kunci untuk cepat bahagia dan rahsia itu boleh digunapakai dalam semua keadaan dan masa.

Karya Stephen sering membawa kita bermula dari asas yang paling dalam dan mengubah dari situ.

stephen

Hidup ibarat bercucuk tanam di ladang, ia merupakan proses. Untuk menuai hasil yang baik kita wajib menjadi peladang yang baik. Adalah satu angan kosong lagi bodoh bila kita tidak semai benih dengan elok, tidak menjaga sepanjang tumbesaran pokok tiba-tiba hanya mahu menyiram pokok sehari dua terakhir sebelum tuai dengan harapan tuaian kita menjadi!

Kita ketawakan keadaan ini, kita tahu peladang yang baik harus bermula dari awal, maka mengapa kita terus mencari bahan-bahan tulisan ringkas untuk ubah hidup secepat mungkin ibarat mee segera? Ia mustahil bukan?

Buku ini hanya patut dibeli oleh mereka yang serius untuk mengubah kehidupan.

Mereka yang berani dan bersedia untuk memperbaiki hubungan dan tidak melihat hidup ini sekadar menunggu gaji di hujung bulan semata-mata. Buku ini untuk mereka yang tidak mahu lemas selamanya dalam arus kehidupan dan yakin kita berhak untuk mendapatkan hidup yang lebih baik.

stephen

Buku ini bagi mereka yang mempunyai semangat “agi idup agi ngelaban” iaitu orang-orang yang sudi berjuang untuk terus bangkit dalam setiap masalah dan yakin pada diri bahawa selagi wisel penamat belum dibunyikan, selagi itu perlawanan masih berlangsung!

Hakcipta Terpelihara • PTS Media Group Sdn Bhd (173482-A) © 2000 - 2024