Artikel

Bagaimana Jika Robot Mengambil Alih Tugas Manusia?

oleh Hafiz Hafifi Hassan pada 08 Feb 2017

Pertembungan antara mesin dan manusia, daging dan besi ataupun tulen dan artifisial biasa diperdengarkan dan ditulis dalam fiksyen genre sci fi thriller.

Namun penulis Lokman Hakim membawakan konflik; bagaimana jika tiada lagi garis halus yang menjadi pemisah antara keduanya?

eksistensi

Konflik inilah yang dibawakan di dalam novel sci fi thriller ini, EKSISTENSI. Pembaca akan mengikuti naratif yang membuka persoalan demi persoalan berkenaan apakah ertinya menjadi manusia, apakah cyborg diberi perasaan dan jiwa seperti manusia dan adakah mereka layak dipanggil manusia?

robot

Pembaca turut akan dibawa menelaah siapakah manusia? Siapakah Menusa? Siapakah Cyborg? Kisah dystopia neo-noir futuristik ini mengisahkan manusia sekitar Lembah Klang ketika itu seolah telah menemui ‘fountain of youth’.

Anggota badan yang rosak boleh digantikan dengan anggota prostetik dan artifisial. Organ yang rosak boleh digantikan. Cyborg pula diberikan tubuh hampir sama dengan manusia dan diprogramkan berjiwa seolah-olah manusia.

Sepanjang pembacaan, pembaca akan diulit cetusan idea; merobotkan manusia, memanusiakan robot.

 Menarik sekali apabila penulis membawakan realiti yang hampir sama dengan hari ini. Manusia bekerja tanpa jiwa, hidup tanpa hati. Ibarat manusia kini, hilang kemanusiaannya.

manusia hitam

Umat manusia hanya fokus mencari kekayaan dunia, patuh dengan sistem yang korup tanpa sebarang bantahan dan persoalan serta berlaku jurang kekayaan yang besar dalam masyarakat.

Yang kaya terus kaya dan yang miskin kekal miskin lalu dijadikan teladan buat yang kaya bahawa miskin itu hina.

Oleh kerana manusia hilang jiwanya, bekerja ibarat robot akhirnya manusia pula perlu dijaga oleh cyborg supaya manusia pulih menjadi manusia. Ironi.

Apabila membaca novel ini, teringat pula satu filem yang membawakan tema yang hampir sama iaitut filem I ROBOT yang dibintangi oleh Will Smith. Menceritakan tentang manusia meletakkan pergantungan kepada cyborg untuk urusan harian,

irobot

Dunia perubatan maju dengan alat gantian tubuh prostetik dan evolusi cyborg yang mempunyai jiwa seperti manusia.

Pertembungan mesin yang diprogramkan dan cyborg berjiwa manusia menjadikan manusia tersepit ditengah-tengah. Tak keterlaluan rasanya mengatakan tema ini hampir sama dibawakan oleh novel Eksistensi ini.

Satu lagi filem yang membawa konsep yang hampir sama adalah filem Bicentennial Men yang dilakonkan oleh arwah Robin Williams. Filem ini diinspirasikan daripada idea Isaac Asimov.

robot

Cyborg yang berevolusi  daripada sebuah mesin yang diprogramkan lalu menjadi seperti manusia yang mempunyai perasaan, nafsu dan kehendak peribadi.  Akhirnya membawa kekeliruan, apakah cyborg boleh menjadi manusia dan diiktiraf sebagai manusia?

Jika kemajuan teknologi terlalu kehadapan dalam bidang ini, apakah manusia boleh menandingi cyborg? Apakah manusia akan pupus kerana fitrahnya kaum yang lemah akan pupus ditelan kaum yang lebih kuat?

Persoalan-persoalan ini akan membelenggu pembaca sehingga ke helaian akhir novel ini.

Namun, untuk membaca novel ini, pembaca perlu fokus kerana terdapat banyak watak yang diketengahkan. Sesekali akan terkeliru siapakah watak utama, siapakah antagonis dan lain-lain.

Mungkin wujud sedikit keserabutan dan kekeliruan tetapi masih tidak menganggu mood pembacaan sepenuhnya. Rasanya penulis lebih menumpukan kepada konsep cerita dan konflik dystopia yang berlaku.

Rantaian naratif yang berselang seli memerlukan pembacaan yang teliti supaya tidak terlepas beberapa rincian dan kesinambungan yang penting.

Ada juga watak yang dikembangkan dengan baik dan ada juga watak yang tergantung begitu saja. Perkembangan karakter sebahagiannya baik seperti Faril dan Rumia selaku tonggak cerita, namun ada juga beberapa watak kritikal dalam novel ini yang tidak seberapa jelas dikisahkan.

Tidak dinafikan ada lompong dalam plot dan sisi yang perlu dikembangkan. Tetapi dengan sedikit kekurangan ini tidak menjadikan novel ini tidak bagus.

Novel ini relevan dan rasanya perlu kekal sebagai salah satu pilihan pembaca novel sci fi. Konflik, tema dan isi novel ini sangat menarik untuk dibaca buat peminat sci fi thriller.

Babak seperti pertarungan dalam filem Terminator II dapat ditemui dalam naskah ini.  Mendebarkan dan penuh aksi.

terminator

Bagi yang mengikuti naskah tulisan Lokman Hakim pasti akan menanti plot twist yang sentiasa dihadirkan dalam tulisan beliau. Tidak ubah seperti direktur M Night Shaymalam yang begitu menggemari meletakkan plot twist dalam filem-filem arahannya.

Peminat sci fi perlu meletakkan naskah ini sebagai salah satu bacaan wajib untuk genre ini, lebih-lebih lagi novel sci fi thriller tempatan.

novel

Klik di sini untuk membeli buku ini atau Whatsapp 011-55467212

MENARIK: Karya Lokman Hakim - SIMULASI - Berjaya angkat Tema Kemanusiaan dan Kritikan Sosial

Secara dasarnya, berdasarkan pembacaan jika ditanya berapakah rating 1 hingga 10, saya berikan 7/10 untuk naskah sci fi thriller ini. Semoga review tanpa spoiler ini membantu. Selamat membaca!

Hakcipta Terpelihara • PTS Media Group Sdn Bhd (173482-A) © 2000 - 2024