Artikel

Buku Mampu Bentuk Emosi Kanak-Kanak

oleh Roziyah pada 05 Oct 2011

Media massa yang semakin hari semakin berkembang kini mula mendominasi kehidupan masyarakat terutamanya kanak-kanak. Pelbagai medium terutamanya televisyen kini mula mempengaruhi minda dan emosi kanak-kanak.

Akhbar Berita Harian keluaran 20 September baru-baru ini mendedahkan yang kartun bukan pengasuh kepada anak-anak kerana rancangan kartun yang dipaparkan boleh disifatkan mempunyai kandungan kurang sesuai dengan perkembangan kanak-kanak di bawah usia tujuh tahun dan masa menonton yang keterlaluan juga menjadi punca anak pasif.

Ibu bapa kita mula menyedari hakikat ini dan mengubah pandangan dan perhatian anak-anak kepada buku. Buku dianggap menjadi pembimbing terbaik kepada anak-anak supaya dapat membentuk imaginasi dan kreativiti mereka.

Namun masalah yang dihadapi anak-anak hari ini apabila anak-anak dipaksa membaca buku dan menjadikan anak-anak fobia dengan buku.

Menurut Pakar Perkembangan Pendidikan Kanak-Kanak, Dr Mastura Badzis, Di Malaysia banyak dilambakkan dengan buku akademik untuk kanak-kanak. Tidak banyak buku yang dihasilkan membentuk kreativiti dan imaginasi serta emosi kanak-kanak terutamanya bagi anak-anak yang belum boleh membaca.

Beliau yang juga Profesor di Institut Pendidikan Universiti Islam Antarabangsa (UIAM) menjelaskan guru, ibu bapa dan penerbit perlu memahami emosi dan psikologi kanak-kanak bagi mendapatkan buku yang sesuai untuk mendidik anak-anak.

"Anak-anak yang berusia 1 hingga 2 tahun juga boleh dididik melalui buku. Mereka diasuh dengan bahan yang boleh dirasai dan dilihat. Manakala bagi usia 2 hingga 3 tahun mereka perlu lebih didedahkan dengan buku bergambar yang bercerita. Ibu bapa dan guru boleh menunjukkan gambar-gambar yang ada di dalam buku supaya dapat melatih emosi dan kreativiti anak-anak," jelas Dr Mastura Badzis lagi.

Fungsi gambar menjadi elemen penting dalam mendekati kanak-kanak yang berusia 4 tahun ke bawah. Minat membaca akan hadir sendiri apabila anak-anak didedahkan dengan buku yang membentuk imaginasi dan kreativiti mereka.

"Buku boleh menjadi elemen yang membentuk emosi kanak-kanak. Contohnya buku yang memberi gambaran bahawa ke klinik gigi itu menyeronokkan. Apabila anak-anak diberi gambaran mengenai keadaan klinik yang menyeronokkan, mereka akan tahu keadaan klinik itu dan tidak fobia apabila ke klinik." jelas beliau lanjut.

Di Malaysia kini dilambakkan dengan buku yang dikhususkan kepada anak-anak yang sudah boleh membaca. Bagi beliau, penerbit di Malaysia perlu lebih banyak menghasilkan buku yang membantu pembelajaran anak-anak di usia awal selain menjadi alat bantu penting kepada anak-anak yang menghadapi masalah pembelajaran.

"Buku itu sendiri memainkan peranan bagi memupuk minat membaca. Benda yang menarik yang ditonjolkan dalam buku akan menyebabkan anak-anak tertarik bagi mendekati dan membaca buku," jelas Dr Mastura Badzis lagi.

Hakcipta Terpelihara • PTS Media Group Sdn Bhd (198801006125) © 2000 - 2025