Artikel

Buku Sastera Boleh Dijual: Dapat Perhatian Generasi Muda

oleh Roziyah pada 17 Jun 2011

Sebelum ini kita sering dimomokkan dengan cerita yang buku sastera kurang digemari dan dibaca pembaca muda. Akibatnya buku-buku sastera di Malaysia kurang mendapat sambutan di pasaran.

Tanggapan ini seharusnya diubah. Hal ini jelas menyimpang apabila buku-buku tulisan Sasterawan Negara (SN), Datuk A. Samad Said jelas mendapat tempat di hati peminat buku tempatan terutamanya generasi muda.

Buku sasterawan ulung itu yang diterbitkan semula oleh PTS Pop Sdn Bhd mula mendapat perhatian semua generasi termasuk generasi muda.

"Dalam masa tiga bulan, buku Al-Amin sudah dicetak tiga kali. Permintaan terhadap buku ini semakin hari semakin meningkat," jelas editor PTS Pop, Tuan Zaki Zainol kepada wakil media PTS.

Selain itu buku Siri Buku Apreasiasi Remaja Sasterawan Negara juga mendapat perhatian golongan muda yang ingin mendapatkan dan membaca buku sasterawan negara itu.

Terdahulu, SN Datuk A. Samad Said dijemput ke program bual bicara terkemuka, Nasi Lemak Kopi O bagi membicarakan buku Al-Amin tulisan beliau yang diterbitkan semula oleh PTS Pop Sdn Bhd.

Beliau juga turut menghadiahkan penonton Nasi Lemak Kopi O dengan dendangan puisi Al-Amin yang menyentuh hati. Kehadiran beliau jelas mendapat perhatian generasi muda apabila penonton-penonton muda yang terdiri dari pelbagai lapisan masyarakat memberi komen positif terhadap buku sasterawan negara itu.

"Saya kagum melihat kudrat serta kesungguhan Pak Samad dalam memperjuangkan penulisan beliau yang hebat sekali," ujar Najwa Hanim yang juga penonton Nasi Lemak Kopi O dalam facebook rasmi Nasi Lemak Kopi O.

Pembaca juga kin mudah mendapatkan karya-karya ulung Datuk A. Samad Said yang jelas memberi inspirasi dalam dunia penulisan tempatan. Melalui terbitnya buku sasterawan negara ini, pembaca muda juga dapat menjamah hasil karya sasterawan yang berkualiti dan diiktiraf di negara luar.

Hakcipta Terpelihara • PTS Media Group Sdn Bhd (198801006125) © 2000 - 2025