Artikel
Pasport Musafir: Panduan Lengkap Ibadah dalam Perjalanan
oleh Roziyah pada 20 Jun 2011
Dalam kehidpuan seharian, kita tidak dapat lari daripada bermusafir kerana kehidupan ini sebenarnya adalah sebuah perjalanan. Tidak kira ke mana sahaja kita bermusafir dan apa juga tujuannya, sebaiknya perjalanan yang ditempuhi sentiasa diberkati dan diredai Ilahi. Bagi menjadikan perjalanan sebagai ibadah, kita perlu memahami hukum-hakam berkaitan musafir.
Pertama kali dalam sejarah penerbitan buku Islam, PTS Islamika menerbitkan panduan dan maklumat lengkap musafir sebagai rujukan dan panduan ketika bermusafir.
Buku yang lengkap dengan maklumat dan panduan ketika bermusafir termasuk adab musafir, panduan bersuci bagi musafir, solat bagi yang bermusafir serta maklumat penting yang perlu diketahui oleh musafir. Selain itu, buku ini juga menyediakan panduan menggunakan kenderaan awam, panduan melancong termasuk senarai hotel dan restoran halal yang disediakan di dalam dan luar negara.
"Buku panduan musafir ini adalah cetusan idea daripada seorang sahabat yang ingin tajuk ini diketengahkan kepada umum. Keperluan masyarakat bagi memahami tajuk ini mendesak supaya alternatif mudah dibukukan sebagai panduan dan rujukan.
Ini juga kerana masih terdapat banyak kekeliruan serta persoalan yang belum terjawab serta berlakunya salah faham berkenaan kemudahan (rukhsah) beribadah dalam bermusafir sehingga masalah itu dapat membantutkan kesempurnaan beribadah," jelas penulisnya Tuan Mohd Zuhdi Ahnad Khasasi.
Melalui buku ini juga dapat disimpulkan, musafir bukan halangan bagi beribadah. Bahkan ia adalah tuntutan yang perlu diselarikan dengan kehendak syarak dari segi perlaksanaan dan konsep kesempurnaan agama Islam sebagai agama yang pratikal kepada semua lapisan masyarakat dengan pelbagai keadaan serta sesuai diamalkan hingga ke hari kiamat.
Editor PTS Islamika Sdn Bhd, Tuan Imran Azmi menjelaskan buku Pasport Musafir ini disediakan dalam bentuk yang mudah difahami oleh semua lapisan masyarakat.
"Hukum-hukum berkaitan musafir yang jarang diketahui juga didedahkan dalam buku ini selain doa harian serta niat yang dapat diamalkan dalam bermusafir," jelas Tuan Imran.
Pasport Musafir yang disediakan dalam bentuk yang mudah dibawa ke mana-mana ini juga dilengkapi dengan direktori lengkap melancong bagi memudahkan mereka yang bermusafir di dalam dan luar negara.
Dapatkan buku pasport Musafir: Fikah dan Panduan Ibadah dalam Perjalanan dengan melayari www.bookcafe.com.my atau mendapatkannya di kedai-kedai buku terpilih seluruh Malaysia.