Artikel

Buku Terjemahan Lahirkan Pakar dalam Pelbagai Bidang

oleh Roziyah pada 17 Aug 2010

 

Editor Perolehan Terjemahan PTS Profesional Sdn Bhd, Fatin Farhana Hasan

 

Buku-buku terjemahan PTS mampu meghidangkan segala ilmu yang wujud di dunia luar dan disalurkan ke dalam bahasa Melayu agar lebih banyak ilmu dapat disedut bagi memandaikan bangsa.

Menurut Editor Perolehan Terjemahan PTS Profesional Sdn Bhd, Cikpuan Fatin Farhana Hasan, PTS melihat keperluan menghasilkan buku terjemahan agar bangsa di Malaysia lebih bertambah ilmunya.

“Projek terjemahan ini bagi mewujudkan pakar-pakar di Malaysia melalui buku-buku luar negara selain melahirkan pakar dalam pelbagai bidang. Sekaligus kita mahu memandaikan bangsa melalui terjemahan bahan-bahan berilmu ini,“jelas Cikpuan Fatin.

Beliau juga berkata, editor terjemahan cuba memastikan bahasa yang digunakan dalam buku terjemahan lebih ringkas dan mudah difahami.

“PTS menghasilkan karya terjemahan yang boleh dibaca dan bersesuaian dengan selera pembaca. Kita akan berusaha sehabis baik supaya bahan yang diterjemahkan mampu memandaikan bangsa setanding dengan negara lain,” jelas beliau lagi.

PTS Profesional Sdn Bhd kini sedang giat meluaskan skop buku-buku terjemahan. Antara buku yang diterjemah termasuklah buku berkaitan perniagaan, pendidikan dan motivasi.

PTS Profesional juga sedang berusaha keras ke arah menghasilkan buku-buku bagi rujukan profesional agar pelajar juga mampu mendapatkan input daripada bahan terjemahan ini. PTS juga berbesar hati mempelawa penterjemah-penterjemah yang berminat bagi membuat terjemahan dengan PTS.

Hakcipta Terpelihara • PTS Media Group Sdn Bhd (173482-A) © 2000 - 2024