Artikel

Novel Sejarah Mampu Jadi Rujukan Mudah - Pak Latip

oleh Roziyah pada 17 Aug 2010

Sejarah yang diadaptasi menjadi novel mampu menjadikan sejarah itu lebih mudah dibaca dan diingati. Sejarah perlu ditulis dengan lebih baik dan mudah agar golongan muda dapat mengetahui sejarah dengan mudah dan menghiburkan.

Menurut penulis novel sejarah terkemuka, Tuan Abdul Latip Talib atau lebih dikenali sebagai Pak Latip masih banyak lagi sejarah yang perlu diadaptasi menjadi novel agar sejarah itu tidak dilupakan.

“Ada yang tidak berani menulis novel sejarah ini kerana novel sejarah ini berkait dengan fakta. Mungkin juga mereka takut menghasilkan novel sejarah ini kerana takut karya mereka dipertikaikan.

“Seharusnya penulis baru jangan fikir apa kata orang dan terus hasilkan karya tersebut. Jika ada kritikan membina kita terima dengan hati yang terbuka,” jelas Pak Latip kepada mereka yang ingin menghasilkan novel sejarah ini.

Pak Latip juga tidak lokek memberikan panduan bernilai kepada mereka yang ingin menghasilkan novel sejarah ini.

Bagi beliau, sebelum menghasilkan novel sejarah ini, penulisnya perlulah membuat rujukan dan kajian terlebih dahulu kerana novel sejarah ini berkait dengan fakta dan kebenaran.

“Baca dahulu sejarah dan lengkapkan maklumat, kemudian baru hasilkan novel daripada rujukan tersebut,” jelas Pak Latip.

Beliau yang ditemui dalam program Baca@Sekolah di Asrama Anak Yatim dan Miskin Ulu Gadong memuji PTS yang berusaha keras bagi menghasilkan penulis novel sejarah terutamanya sejarah Islam.

Pak Latip juga berbesar hati memberikan buku-buku tulisan beliau kepada anak-anak di asrama tersebut. Beberapa sukarelawan juga tidak melepaskan peluang menyumbang tenaga bagi mengindahkan perpustakaan mini di asrama ini.

Baca@Sekolah juga mendapat tajaan buku dari PTS dan individu-individu lain yang berbesar hati memberikan buku-buku baru bagi dibaca oleh pelajar asrama tersebut.

“Anak yatim ada perasaan rendah diri dan sensetif. Dengan adanya usaha sebegini akan menjadikan mereka lebih berani. Mungkin dikalangan anak yatim ini juga akan muncul pemimpin yang bakal memimpin masa hadapan,” jelas Pak Latip lagi.

Beliau berharap usaha-usaha seperti program Baca@Sekolah ini teruskan agar pelajar yang tidak berkemampuan mendapat manfaat daripadanya.

Hakcipta Terpelihara • PTS Media Group Sdn Bhd (173482-A) © 2000 - 2024