Artikel

Catatan Haji Sainstis Sepayol Pada tahun 1807

oleh Roziyah pada 18 Oct 2010

Artikel dipetik daripada buku Cerita-Cerita Motivasi untuk Ibadat oleh Khair Abd. Salam dan Zulkifli Khair

Pelayaran Ali Bey Abbasi dapat dianggap sebagai pelayaran sainstifik. Ali Bey Abbasi adalah sainstis Muslim daripada benua Eropah yang hidup pada akhir kurun ke-18 dan awal kurun ke-19. Pengalaman pelayaran beliau itu akhirnya pernah dibentangkan di Institut de France. Ia dibukukan dalam dua jilid.

Pada tahun 1803, Abbasi singgah ke Tangier, Magribi. Di sana dia dibayar dan diberikan kemuliaan oleh Qadi Sidi-Abderrahman Mfarrash dan Caid lantaran berjaya membuat ramalan gerhana matahari dengan tepat pada 17 Ogos. Pada tahun 1804, beliau ke Fez dan kemudian ke Marrakesh. Menggunakan pencerap buatan Paris, beliau berjaya mencerap latitud 31 darjah 32’ 40” U dan longitud 11 darjah 55’ 45” B di Marrakesh.

Sewaktu berada di Samelalia, beliau aktif mengumpulkan tumbuh-tumbuhan, serangga dan fosil di sana. Sewaktu beliau membuat ramalan mengenai gerhana bulan pada 15 Januari 1805, maka ramailah pembesar yang datang berkunjung ke rumah beliau bagi menyaksikannya. Malangnya, pada malam itu hujan lebat dan mendung. Di situlah hasrat mengerjakan haji timbul.

Beliau ke Oujda pada tahun 1806 dan ke Mekah pada 1807. Beliau mempunyai hubungan baik dengan pemimpin Mekah dan keluarga Saud. Permohonan beliau bagi mengukur Mekah diluluskan oleh pemimpin Ghalib, pemimpin Mekah yang sudah berkuasa selama 20 tahun bersama hubungan baik dengan orang Turki.

Sewaktu ukuran Mekah dijalankan, beliau dikawal oleh seramai 45 ribu tentera Wahabi. Mereka ini mementingkan tatasusila dan agama, gagah dan kasar perwatakannya dengan fahaman mereka yang tegas mengenai Islam mempercayai, sains adalah sesuatu yang terkutuk dan penulisan adalah bagi pengintip. Pujian kepada Abbasi terus tetap tanpa goyah.

Abbasi pergi ke Mekah bagi kali kedua pada tahun 1818 tetapi meninggal dunia dalam perjalanan di Syria. Kematian beliau dipercayai diracun dan mungkin dilakukan oleh orang British.

Hakcipta Terpelihara • PTS Media Group Sdn Bhd (173482-A) © 2000 - 2024