Artikel

Cicit Hasilkan Novel Sejarah Tok Kenali

oleh Roziyah pada 04 Jul 2011

Bagi seseorang yang mengkaji sejarah tanah air, lebih-lebih lagi menyelidiki sejarah Kelantan, secara tidak langsung kita akan menemui nama Tuk Kenali.

Menjadi cicit kepada tokoh pembangunan pemikiran umat Islam membuka peluang kepada penulis ini bercerita dengan lebih dekat mengenai tokoh besar ulama Kelantan ini.

Minat yang mendalam dalam ilmu tasawwuf membawa Nor Hayati Ridhwani melakar kembali susur kehidupan moyangnya dalam bentuk penulisan kreatif.

"Menulis buku moyang sendiri menjadikan diri saya ini tersangat dekat dengan beliau. Sepanjang penulisan, saya membayangkan diri saya berada bersama beliau di setiap lokasi dan memerhati segala gerak langkah dan perkataan yang diucapkan. Kerana perasaan inilah, saya menulis dialog satu watak yang wujud dalam cerita iaitu watak yang bernama Midah, yang dia juga seolah-olah mahu kembali ke zaman Tok Kenali dan berguru dengan beliau. Tatkala menulis, saya sangat merindui beliau biarpun tidak pernah bertemu," jelas Cikpuan Nor Hayati Ridhwani lanjut.

Cikpuan Nor Hayati menjelaskan, sebagai cicit kepada tokoh ulama terkenal, beliau rasa terpanggil bagi menulis kisah moyang beliau supaya keturunan Tok Kenali dapat mencontohi kehidupan Tok Kenali dalam menuntut dan membangunkan ilmu.

"Sebagai generasi keempat ulama ini, rasa tangungjawab terbit bagi meneruskan perjuangan dalam memantapkan ilmu serta meneruskan legasi menulis seperti yang dilakukan oleh Tok Kenali," ujar Cikpuan Nor Hayati lagi.

Sebagai maklumat, naskah Tok Kenali yang menceritakan kisah ulama tersohor ini juga akan dirasmikan oleh Sasterawan Negara, Dato' A. Samad Said pada 18 Julai ini di KDU Universiti Kolej. Rakan penulis dan peminat novel sejarah dijemput hadir bagi memeriahkan suasana dan mendapatkan buku Tok Kenali yang istimewa daripada penulis ini.

Hakcipta Terpelihara • PTS Media Group Sdn Bhd (198801006125) © 2000 - 2025