Artikel

Dari Dapur Ibu: Resipi Daun Kari

oleh Adzkia Amanah Ugi Suharto pada 21 May 2015

Teringat dahulu jika bermain ‘mak-mak’ dengan kawan-kawan perempuan, pasti tidak akan melepaskan peluang memetik daun kari untuk dijadikan bahan masakan.

Begitulah bagaimana daun kari begitu dikenali masyarakat kita kerana aroma yang dihasilkan daunnya sangat kuat dan menyelerakan.

Bagi penggemar masakan berasaskan daun kari, buku terbaru dengan tajuk Resipi Daun Kari dari tukang masak terkemuka tanah air, Chef Hanieliza ini wajar menjadi salah satu daripada koleksi buku masakan anda.

Naskhah nipis yang mengumpulkan 30 resipi berasaskan daun kari ini diterbitkan dalam saiz A5, menjadikannya bahan bacaan yang ringan namun padat dengan penerangan dan ilustrasi  berwarna.

Membelek lembaran-lembaran pada buku ini, pembaca dinasihatkan untuk tidak membataskan kreativiti masakan yang menggunakan daun kari hanya kepada masakan jenis kari sahaja.

Anda akan terkejut mendapati banyak resipi menggunakan daun istimewa ini bermula dari sajian pencuci mulut seperti kuih sehinggalah ke lauk-pauk berat untuk makan tengah hari.

Jika dulu mungkin anda harus ke restoran mamak untuk menikmati hidangan kegemaran anda, dengan adanya buku ini anda kini boleh menikmatinya pada bila-bila masa anda menginginkannya.

Satu saranan ikhlas buat mereka yang benar-benar fanatik dengan masakan berasaskan daun kari, jangan lupa menanam pokok kari sendiri di halaman rumah kerana selepas ini anda pasti akan banyak menggunakannya dalam masakan sehari-hari.

Selamat memasak!

Hakcipta Terpelihara • PTS Media Group Sdn Bhd (173482-A) © 2000 - 2024