Artikel

Didik Anak Gaya Rasulullah Jadi Panduan Seisi Keluarga

oleh Roziyah pada 11 Oct 2010

PTS Millenia Sdn Bhd. menghidangkan buku Didik Anak Gaya Rasulullah yang mampu menjadi panduan ibu bapa dalam membentuk keluarga mengikut sunnah Rasulullah.

Menurut Editor Pengurusan, PTS Millennia Sdn Bhd, Puan Mazniza Mohd Nor, buku Didik Anak Gaya Rasulullah ini merupakan terjemahan daripada buku "Fiqih Anak" yang ditulis oleh Profesor Dr. Hajah Huzaemah Tahido Yanggo, terbitan P.T. Al-Mawardi Prima, Jakarta.

Buku ini kata beliau menjadi panduan lengkap kepada ibu bapa dalam mendidik anak-anak mengikut sunnah Rasulullah. Bermula dengan definisi perkataan kanak-kanak dalam bahasa arab, fasa-fasa yang dilalui kanak-kanak sehingga usia kesempurnaan baligh kanak-kanak itu sendiri.

"Buku ini juga menererangkan dengan lengkap beberapa ibadah yang berkaitan dengan kanak-kanak yang baru lahir seperti akikah, azan dan iqamah, tahnik, mencukur rambut, menamakan anak dan mengkhatankannya. Setiap ibadah diterangkan secara mendalam dan disokong dengan hadis dan petikan Quran," jelas Editor Pengurusan, PTS Millennia Sdn Bhd, Puan Mazniza Mohd Nor.

Menurut beliau buku ini menarik apabila menghidangkan bab hukum ibadah dan hukum muamalat kepada kanak-kanak. Ini juga diterangkan secara terperinci oleh Profesor Dr. Huzaemah. Perkara yang jarang berlaku dalam masyarakat sekarang iaitu pernikahan kanak-kanak juga ada disentuh di dalam buku ini.

Buku berkulit keras dan mempunyai 456 halaman ini dipenuhi dengan istilah-istilah arab dan diperjelaskan dengan terperinci supaya ibu bapa memahami dengan lebih mendalam satu-satu kaedah ataupun ibadah yang perlu dilaksanakan ke atas kanak-kanak ini.

"Hasil kupasan yang ditulis oleh penulis yang memiliki kepakaran dalam bidang Fikah dari Universiti Al-Azhar ini menjanjikan kepuasan luar biasa buat semua pembaca, khususnya para ibu bapa yang mahu mempelajari seterusnya mendalami hak-hak serta kewajipan-kewajipan permata hati mereka bagi memastikan mereka mampu mengharungi kehidupan yang sempurna di dunia yang serba mencabar ini," jelas beliau lagi

Hakcipta Terpelihara • PTS Media Group Sdn Bhd (198801006125) © 2000 - 2025