Artikel
Pak Samad Jadi Ikon Besar PTS Fortuna
oleh Roziyah pada 11 Oct 2010
Pada satu Oktober lalu tercatat sejarah apabila secara rasminya PTS Fortuna Sdn bhd menerbitkan semula karya hasil tulisan sasterawan negara, Dato' A. Samad Said atau lebih dikenali sebagai Pak Samad.
Melalui kerjasama ini, Pak Samad akan menjadi ikon besar yang mewarnai PTS selepas terbitnya karya beliau melalui PTS Fortuna kelak.
"PTS Fortuna juga akan mengadakan jelajah sasterawan bersama PTS ke sekolah-sekolah di seluruh negara agar karya-karya hebat sasterawan ini lebih dekat dengan pelajar sekolah. Kita juga berharap Pak Samad sendiri akan turun ke sekolah-sekolah yang terlibat bagi mendekatkan sastera kepada pelajar," jelas Editor Perolehan PTS Fortuna, Tuan Syafiq Zulakifli.
Tuan Syafiq yang mewakili PTS Fortuna juga berharap lebih ramai sasterawan negara turut sama bernaung di bawah PTS dalam memperjuangkan sastera di Malaysia.
Kini, PTS Fortuna sedang menerbitkan semula buku-buku Pak Samad yang sebelum ini diterbitkan oleh Wira Bukit Sdn. Bhd.
Buku tulisan sasterawan negara ini akan menemui peminat buku-buku Melayu pada awal Januari 2011 ini.
Kini PTS juga menerbitkan buku-buku sasterawan luar negara seperti Sasterawan Singapura, Tuan Isa Kamari dan Sasterawan Indonesia, Tuan Andrea Hirata.
"Tidak mustahil satu masa nanti sasterawan Arab seperti Naquib Mahfouz dan Hafez Ibrahim juga akan dibawa masuk dan diterbitkan karyanya di PTS.
PTS Fortuna yang sebelum ini mengadakan perbincangan bersama pengurus Wira Bukit Sdn. Bhd mencapai kata sepakat bagi menerbitkan dan mempromosikan semula semua karya-karya tulisan sasterawan negara itu.
Wira Bukit Sdn. Bhd yang diuruskan oleh Anak Pak Samad sendiri iaitu Tuan Helmy Samad memberikan sepenuhnya hak penerbitan kepada PTS Fortuna bagi menerbitkan semua karya-karya hasil tulisan Pak Samad.
Nantikan buku-buku tulisan Pak Samad terbitan PTS yang bakal menemui peminat buku pada Januari 2011 ini.