Artikel
Diskusi Sastera Jadi Medan Pertemuan Penulis dan Penerbit
oleh Roziyah pada 06 Oct 2010
Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI). Tanjung Malim mengadakan Diskusi Sastera dan Media bagi mendekatkan mahasiswa dan penulis baru kepada dunia penerbitan agar mereka tahu hala tuju karya mereka.
Diskusi yang diadakan di UPSI pada jam 3 petang ini akan membincangkan peranan dan pembabitan media massa dalam perkembangan kesusteraan Melayu di Malaysia.
Menurut Ketua Satu Persatuan Penulis Budiman Malaysia (BUDIMAN), Dr. Abdul Halim Ali berkata diskusi ini menjadi medan pertemuan tokoh kesusteraan Melayu dengan pihak media bagi membina jaringan hubungan dan kerjasama yang lebih erat.
"Diskusi ini bertujuan membuka kefahaman pelajar dan penulis baru agar mereka tahu menyalurkan fikiran mereka dalam bentuk penerbitan," jelas Dr. Abdul Halim lagi.
Beliau juga berkata diskusi ini juga membincangkan perkembangan media yang cenderung menumpukan kepada bidang hiburan, ekonomi dan politik dan meminggirkan bidang sastera.
Selain itu, diskusi ini membuka ruang yang besar kepada media dan pihak penerbit agar dapat membentuk penulis baru disamping menerima karya penulis-penulis yang sudah matang.
Diskusi terbabit menampilkan Pengarang Sastera Berita Harian, Puan Salbiah Ani, Editor Kanan Majalah Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Puan Rozninah Abd Azib, Penolong Editor Mingguan Malaysia, Ku Seman Ku Hussien, Setiausaha Agung Persatuan Penulis Nasional Malaysia (PENA), Syed Mohd Zakir Syed Othman dan Editor PTS, Asma Fadila.