Artikel
Empat Sasterawan Pertahan Novel Interlok
oleh Roziyah pada 08 Mar 2011
Empat orang sasterawan negara hari ini tampil mempertahankan novel Interlok karya Datuk Abdullah Hussain.
Mereka, Muhammad Haji Salleh, Datuk Anwar Ridhwan, Datuk Shahnon Ahmad dan Noordin Hassan beranggapan novel interlok itu tidak mempunyai masalah melalui istilah dan lukisan yang digambarkan oleh penulisnya.
Empat sasterawan negara itu juga menyifatkan tujuan Datuk Abdullah Hussain adalah mulia dengan melukis gambaran kaum di negara ini melalui karya itu.
Novel itu juga tiada unsur menghina mana-mana kaum.
"Akhinya, karya ini menawarkan harapan dan kecerahan. Itulah tujuan penting pengarang," jelas empat sasterawan yang dipetik media.
Muhammad Haji Salleh. Datuk Anwar Ridhwan, Datuk Shahnon Ahmad dan Noordin Hassan juga menyeru rakyat membaca kembali buku terbabit melalui mata sastera dan menghormati karya tersebut agar pemikiran sasterawan negara itu dapat diperolehi.
"Kami Sasterawan Negara Malaysia menegaskan sebuah teks sastera bukanlah sebuah teks politik, dan bukan juga teks sejarah atau geografi. Sebuah karya sastera adalah sebuah teks yang melukis jiwa manusia, perasaannya, nilai dan kepentingannya melalui konteks zaman dan sejarahnya," jelas empat sasterawan terbabit.
Mereka menjelaskan Interlok adalah sebuah novel yang menggambarkan latar 1910 hinggalah sebelum merdeka. Penulis menghasilkan karya yang menggambarkan masalah dalaman ketika latar itu dan bersatu pada akhirnya bagi mendapatkan negara dan harapan baru.
"Manusia yang dilukiskan juga cukup mulia, terutamanya Maniam yang besar hati dan jiwanya malah masih membantu yang lain walaupun beliau menjadi mangsa," jelas mereka lagi.
Empat sasterawan terbabit menjelaskan sekiranya perubahan hanya dilakukan kepada satu kaum sahaja dan tidak kepada kaum yang lain, dibimbangi akan wujud lukisan yang tidak seimbang dan tidak benar.
Masyarakat di Malaysia juga diminta membenarkan penulis negara ini menggambarkan kenyataan Malaysia walaupun kenyataan tersebut pahit untuk ditelan.