Artikel

Dr Mahathir Lancar Buku A Doctor In The House

oleh Roziyah pada 09 Mar 2011

Mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir baru-baru ini melancarkan buku terbaru beliau yang bertajuk A Doctor In The House: The Memoirs of Tun Dr Mahathir Mohamad.

Buku A Doctor in the House yang diterbitkan oleh kumpulan MPH itu menghimpunkan kisah Mahathir sejak 85 tahun kehidupannya, termasuklah ketika zaman pemerintahan beliau.

Memoir itu berkisar mengenai perjalanan kehidupan Dr Mahathir sejak zaman kanak-kanak sehinggalah beliau masuk ke dalam bidang politik dan seterusnya menjadi perdana menteri Malaysia.

Tun Dr Mahathir yang dipetik daripada media merasmikan buku itu di pusat membeli belah Mid-Valley menjelaskan terdapat bahagian dalam memoir itu yang menyentuh sensitiviti tertentu khususnya sebab beliau menyingkirkan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Timbalan Perdana Menteri.

Namun, beliau menjelaskan, setakat ini beliau tidak menerima sebarang litigasi daripada pihak tertentu yang mungkin terkilan dengan hasil tulisannya.

Dr Mahathir yang dipetik daripada media menjelaskan beliau mengambil tempoh lapan tahun bagi menghasilkan buku tersebut.

"Bagi mereka yang mengenali saya, saya biasanya membuang draf pertama, kedua, tulis draf ketiga. Sekiranya masih tidak berpuas hati, saya akan menulis draf keempat. Mungkin draf kelima menjadi draf yang terakhir. Buku ini juga ditulis dengan tulisan tangan," jelas beliau mengapa buku tersebut mengambil masa bagi disiapkan.

Tajuk A Doctor in The House diambil kerana latar belakang Dr Mahathir sebagai seorang doktor.

"Mesej utama buku ini secara keseluruhannya adalah di mana ada kemahuan, di situ ada jalan." jelas beliau lanjut.

Buku yang dicetak sebanyak 50,000 naskah ini akan diedarkan di seluruh negara termasuklah Singapura dan Asia Tenggara.

Buku ini diterbitan dan diedarkan oleh rangkaian kedai buku MPH.

Hakcipta Terpelihara • PTS Media Group Sdn Bhd (198801006125) © 2000 - 2025