Artikel

Faktor Luaran Yang Mempengaruhi Motivasi.

oleh Helmi pada 29 Jun 2004

Pemikiran tradisional mengatakan tingkah laku dan tabiat manusia adalah berpunca daripada fungsi hati yang baik dan hati yang jahat. Apabila hati individu itu baik,oleh itu baiklah tingkah laku dan tabiatnya dan begitu juga sebaliknya.

 

Pada hari ini, pakar-pakar sains mengetahui adanya jenis-jenis tingkah laku manusia yang dipengaruhi oleh faktor-faktor luaran seperti ganjaran-ganjaran yang mereka terima.

 

Istilah ‘motivasi’ berasal daripada perkataan Latin movere yang bermakna ‘bergerak’, oleh hal yang demikian istilah motivasi bermakna mendorong, mengarah dan mengekalkan tingkah laku.

 

Apabila pakar-pakar psikologi motivasi melakukan kajian, apakah yang mereka kaji? Semua teori motivasi mempunyai objektif yang sama iaitu masing-masing cuba menerangkan mengapa manusia melakukan apa yang mereka lakukan. Mereka mengkaji motivasi daripada tiga sudut atau tiga persoalan.

 

 

1. Darjah keamatan

 

Pertama, pakar-pakar psikologi melihat sejauh mana individu itu sanggup menggunakan tenaganya melakukan sesuatu perbuatan. Daripada sudut pandangan ini, mereka mengkaji mengapakah individu itu melakukan perbuatan itu dengan sedaya upaya ataupun sebaliknya. Aspek ini disebut keamatan atau intensiti.

 

Sebagai contoh, apabila pakar-pakar mengkaji perbuatan seorang remaja lelaki yang kudung sebelah kakinya akibat barah tulang cuba bermain bola dengan menggunakan kaki palsunya,oleh itu mereka cuba melihat sejauh mana remaja itu sanggup meneruskan percubaannya itu. Apakah remaja itu sanggup berlatih dan bermain sehingga dia berjaya dipilih menganggotai pasukan bola para Olimpik negara ataupun tidak. Ataupun remaja itu berhenti sebaik-baik dia berasa tidak tahan menanggung kesakitan pada puntung kakinya akibat pergerakan yang banyak dan kasar apabila bermain.

 

 

2. Arah perbuatan

 

Kedua, pakar-pakar mengkaji apakah arah atau matlamat individu itu melakukan apa yang dilakukannya. Mengapakah perbuatan itu dilakukan menghala satu arah,bukan arah yang lain. Sebagai contoh, mengapakah sesetengah individu, selepas dia ditangkap berdusta, dia terus berdusta, bukannya berhenti berdusta.

 

Ditinjau daripada sudut ini, sebagai contoh, pakar-pakar psikologi cuba memahami persoalan mengapa sesetengah individu terus mencuri walaupun sudah berkali-kali ditangkap dan dihukum, begitu juga mengapa ada penjenayah yang mengulang jenayahnya sesudah mereka keluar dari penjara, ataupun mengapa ada individu yang terus berjudi walaupun dia sudah banyak menanggung kerugian akibat berjudi, ataupun ada isteri yang terus mengalah dan memaafkan suaminya setiap kali selepas suaminya memukulnya.

 

Daripada sudut yang lebih positif, pakar-pakar itu cuba memahami apakah faktor-faktor yang mendorong individu itu terus mengulangi usahanya melakukan sesuatu walaupun sudah berkali-kali gagal.

 

 

3. Ketekunan

 

Ketiga adalah selama manakah individu itu terus melakukan perbuatan yang dilakukannya, maksudnya mengapakah perbuatan itu terus diulang-ulang ataupun sebaliknya. Sebagai contoh, mengapakah sesetengah individu, selepas beberapa kali gagal, mereka terus mencuba dan mencuba lagi, tidak mahu berhenti. Aspek ini disebut persisten atau ‘ketekunan penerusan’.

 

Semua teori motivasi percaya setiap kelakuan manusia mempunyai sebabnya. Ia bukan perkara yang berlaku disebabkan faktor-faktor yang rawak. Ini bererti semua teori-teori itu percaya tingkah laku manusia dapat diterangkan sebab dan akibatnya.

 

 

Hakcipta Terpelihara • PTS Media Group Sdn Bhd (173482-A) © 2000 - 2024