Artikel

Nabi-Nabi yang Terpelihara Daripada Dosa

oleh Helmi pada 15 Jul 2004

Adam
Konsep maksum dapat dilihat dengan lebih jelas dalam peristiwa Adam. Ia menjadi sasaran pertama perselisihan pendapat di kalangan ulama Islam. Kemaksuman Adam dipertikaikan kerana perkataan yang digunakan kepada perbuatan beliau menurut kebiasaannya mengandungi makna dosa. Justeru, ketika membahaskan perkara itu, secara keseluruhannya terdapat dua pendapat ulama. Satu pihak mendakwa Adam melakukan dosa manakala satu pihak yang lain menafikannya dengan mentakwilkan perkataan yang mengandungi pengertian dosa.

Quran menceritakan dengan maksudnya, “Hai Adam, diamilah kamu dan isterimu di syurga ini dan makanlah makanan-makanan yang banyak lagi baik di mana sahaja yang kamu sukai, dan janganlah kamu dekati pohon itu, yang menyebabkan kamu termasuk orang-orang yang zalim.”1 Tuhan berkata lagi, “Derhakalah Adam kepada Tuhan dan sesatlah dia.”2

Dalam Quran terdapat ayat-ayat yang menunjukkan be-berapa peristiwa mengenai Adam. Pertama,  beliau dinasihatkan oleh Tuhan supaya tidak menghampiri sepohon pokok semasa berada di syurga. Kedua, bagaimana syaitan berjaya menipu Adam dan Hawa menerusi janji palsu.3 Ketiga, bagaimana Hawa yang berasa yakin dengan kebenaran syaitan yang memujuk Adam, serta bagaimana Adam secara tersalah memakan buah daripada pokok itu dan lantas diturunkan ke bumi.

Pertama, Quran menjelaskan Adam diciptakan sebagai khalifah Tuhan4 di bumi. Sebelum diutus ke bumi, beliau ditempatkan di syurga. Di sini seharusnya diterima, bahawa syurga bukan tempat kediaman yang kekal bagi Adam sebelum bumi diciptakan kerana beliau memang ditetapkan supaya diturunkan ke bumi pada suatu masa nanti.

Kedua, menurut syariah Islam,  setiap perintah bukan bererti wajib. Ada perintah seperti mengerjakan sembahyang lima kali sehari dan perintah sembahyang di tengah malam. Umat Islam mengetahui perintah yang pertama adalah wajib, manakala perintah yang kedua sunat. Begitu juga, ada larangan bermaksud haram dan ada pula bermaksud makruh. Umat Islam diharamkan meminum arak dan juga dilarang makan menggunakan tangan kiri. Perkara yang pertama adalah haram, manakala yang kedua adalah makruh. Lantaran itu, larangan mendekati pokok itu bukan bermaksud haram mendekatinya.5  

Ketiga, tempat menguji manusia menurut syariah adalah di dunia dan bukannya di syurga. Selepas ujian, barulah ditentukan, bagi mereka yang berjaya akan memasuki syurga dan yang gagal akan ke neraka. Yang pastinya, di syurga memang tidak ada sebarang bentuk ujian. Ujian hanya dilakukan di dunia semata-mata. Justeru, tempat menguji manusia adalah di dunia, bukannya di syurga. Oleh itu, sebarang perintah yang dikeluarkan di syurga adalah menurut kebiasaan tempat itu, iaitu ia adalah suatu nasihat dan bukannya perintah wajib.6 Dengan kata lain, sekiranya seseorang itu menentang nasihat orang yang baik, dia hanya akan meletakkan dirinya dalam kesusahan dan kesengsaraan, tetapi dia sudah pasti tidak boleh dikatakan melakukan suatu perbuatan jenayah. Dalam hal ini, dia hanya kehilangan sesuatu sahaja.
 
Perkataan zalim berasal daripada perkataan zulm yang mempunyai beberapa pengertian. Antaranya, ia bererti meletakkan sesuatu tidak kena pada tempatnya7, menghampiri kemurkaan, penindasan dan mempercepatkan sesuatu sebelum tiba masanya.8 Perkataan zulm daripada segi bahasa mengandungi empat pengertian apabila dihubungkan kepada para nabi dan rasul iaitu orang yang dibuktikan maksum. Perkataan-perkataan yang tidak membawa maksud dosa dan salah adalah lebih wajar.

Sekiranya diambil pengertian menghampiri kemurkaan Tuhan, ini jelas menunjukkan Tuhan memberitahu Adam, seandainya beliau menghampiri pokok itu, dia hanya akan meletakkan dirinya dalam kesusahan. Maksud menghampiri kemurkaan di sini bukanlah dosa, kesalahan atau jenayah. Dalam konteks ini, perkataan itu juga boleh digunakan dengan maksud mempercepatkan sesuatu sebelum tiba masanya. Dalam hal ini, ia bermaksud walaupun Adam sudah ditetapkan oleh Tuhan akhirnya akan turun ke bumi, tetapi seandainya dia mendekati pokok itu, dia akan dihantarkan lebih cepat. Adalah wajar diakui tiada suatu pengertian baru diberikan kepada perkataan itu.  Pada masa yang sama, Adam tidak pula diumumkan sebagai seorang nabi yang berdosa dan bersalah. Dosa bukanlah maksud sebenar perkataan zalim.  Ia hanyalah kerana Adam yang dianggap berdosa itu tersalah meletakkan pemikirannya dan menyalahgunakan kuasa yang diberikan kepadanya sehingga dia secara simbolik digelar zalim.9

Titik tolak yang membezakan peristiwa Adam dengan manusia lain terletak pada kedudukan beliau di sisi Tuhan. Ini kerana bagi manusia biasa, gambaran sedemikian tidak mendatangkan sebarang kesan dan mereka masih dianggap baik. Sebaliknya, kesan peristiwa itu kepada seorang nabi adalah berlainan dan ia dipandang sebagai suatu kesalahan yang besar. Ini tepat seperti kata-kata al-Junayd, “Baik bagi manusia biasa yang baik, namun buruk bagi manusia yang dekat dengan Tuhan.”10 Lantaran itu, kemaksuman nabi dapat dibuktikan sebelum mahupun selepas mereka menjadi nabi dengan cara mengambil pengertian daripada sudut bahasa yang tidak bercanggah dengan dalil-dalil daripada Quran mengenai konsep maksum para nabi. Walau bagaimanapun, al-Asy‘ari dan Ibn Furak berpendapat dosa Adam berlaku sebelum beliau diutus sebagai nabi. Al-Asy‘ari menjelaskan Adam melakukan dosa besar kerana mengingkari tegahan Tuhan yang melarangnya daripada berbuat demikian.11

Secara keseluruhannya, ayat-ayat Quran yang berkaitan konsep maksum dapat dibahagikan kepada dua bentuk iaitu ayat muhkamah dan ayat mutasyabihah. Justeru itu, ayat-ayat yang membuktikan kemaksuman para nabi wajar dimasukkan ke dalam kumpulan ayat muhkamah manakala ayat-ayat selainnya ke dalam kumpulan ayat mutasyabihah.12 Sehubungan dengan itu, sekiranya ayat-ayat Quran yang dikemukakan memperlihatkan para nabi tidak maksum, ciri-ciri itu perlu dicari maksud yang lebih sesuai supaya ia bertepatan dan bersesuaian dengan martabat mereka sebagai nabi dan rasul.13 Tambahan lagi, ciri-ciri yang berlawanan pada sesuatu masa tertentu tidak mungkin wujud pada nabi dan rasul.

Oleh kerana itu, kedudukan Adam perlu diletakkan pada tempat yang wajar dan terpelihara daripada sebarang dosa dan salah. Secara umumnya, Adam melakukan tindakan yang menyalahi perintah Tuhan atas alasan meninggalkan perkara yang lebih utama sedangkan beliau pada hakikatnya seorang nabi yang maksum daripada perbuatan itu.

*****

Nuh
Peristiwa Nuh dapat dilihat menerusi kata-kata Tuhan yang bermaksud, “Nuh berseru kepada Tuhannya sambil berkata: Ya Tuhanku, sesungguhnya anakku termasuk keluargaku dan sesungguhnya janji Engkau itulah yang benar. Engkau adalah hakim yang seadil-adilnya. Tuhan berkata: Hai Nuh, sesungguhnya dia tidak termasuk keluargamu yang dijanjikan akan diselamatkan, sesungguhnya perbuatannya perbuatan yang tidak baik. Oleh sebab itu, janganlah kamu memohon kepadaku sesuatu yang kamu tidak katahui. Sesungguhnya Aku memperingatkan kepadamu supaya kamu tidak termasuk di kalangan orang-orang yang tidak berpengetahuan. Nuh berkata: Ya Tuhanku, sesungguhnya aku berlindung kepada Engkau daripada memohon kepada Engkau sesuatu yang aku tidak mengetahui hakikatnya. Sekiranya Engkau tidak memberi ampun kepadaku dan tidak menaruh belas kasihan kepadaku, nescaya aku akan termasuk orang-orang yang rugi.”14

Menerusi ayat ini, ada tiga perkara penting yang menunjukkan kemaksuman Nuh:

Permohonan Nuh.
Larangan Tuhan ke atas beliau.
Permohonan ampun kepada Tuhan.

Permohonan dan seruan Nuh mengandungi maksud penghormatan15 kerana Tuhan berjanji menyelamatkan anaknya. Seandainya janji itu benar, tentulah anaknya akan diselamatkan. Ia bukan bererti Tuhan menegah beliau mempersoalkan perkara yang tidak diketahuinya, kerana pertanyaan itu diajukan berdasarkan sesuatu kebaikan dan bukan bersifat tetap.16

Berhubung kedudukan anak beliau, penetapannya bergantung kepada faktor-faktor keagamaan. Anaknya tidak termasuk di kalangan kaum kerabatnya kerana dia melakukan amalan-amalan yang tidak baik. Pertalian keluarga dalam agama menjadi faktor penghalang pertalian keturunan. Oleh itu, seseorang yang tidak berada dalam aliran kepercayaan agama yang sama walaupun mempunyai pertalian hubungan keturunan yang rapat, pada hakikatnya adalah jauh.17 Begitu juga dengan pertalian kewalian antara seseorang mukmin dengan kafir bergantung pada amalan dan agama.

Faktor utama yang dapat menyelamatkan anak itu daripada ditenggelamkan oleh banjir besar terletak pada amalan yang baik dan bukannya kerana dia menjadi kaum kerabat Nuh. Justeru itu, sekiranya dia melakukan perbuatan yang bercanggah dengan perintah Tuhan sudah tentu janji Tuhan itu tidak termasuk anak beliau. Al-Baydawi berpendapat Nuh mengajukan permintaan itu dalam keadaan tidak mengetahui sama ada permintaannya mengandungi balasan baik ataupun sebaliknya. Disebabkan alasan itu, Tuhan mencelanya.18
Al-Khazin pula menjelaskan ayat itu tidak mengandungi sebarang pengertian dosa atau ingkar. Ini kerana ia dilakukan dengan alasan tersalah takwil. Permohonannya tidak di-perkenankan oleh Tuhan untuk dikemukakan.19 Sebaliknya al-Naysaburi mengatakan sikap tidak sabar adalah faktor-faktor yang mendorong beliau meninggalkan perkara yang lebih utama dan lanjutan daripada itu, Tuhan mencelanya.20

Al-Razi berpendapat, peristiwa Nuh wajib dianggap sebagai perbuatan meninggalkan perkara yang lebih utama. Alasan itu menyebabkan Tuhan mencela dan memerintahkan mereka, khususnya beliau supaya memohon ampunan. Di samping itu, al-Razi turut mengemukakan bukti-bukti lain bagi menyokong hujah-hujahnya dengan dalil, “Apabila datang pertolongan Tuhan dan kemenangan, dan kamu lihat manusia masuk agama Tuhan dengan berduyun-duyun, maka bertasbihlah dengan memuji-muji Tuhanmu dan mohonlah ampun kepadanya.”21 Kedatangan pertolongan dan ke-menangan Tuhan serta gerombolan manusia menganuti agama Tuhan bukanlah dengan dosa-dosa yang mewajibkan mereka memohon ampunan. Bukti selanjutnya adalah, “...dan mintalah keampunan kepada Tuhan kamu dengan dosa kamu dan dosa mukminin dan mukminat.”22

Semua ayat itu tidak membuktikan mereka berdosa. Keadaan ini menunjukkan permohonan ampun berlaku disebabkan perbuatan meninggalkan perkara yang lebih utama.23 Justeru, sekiranya perbuatan yang dilakukan berdasarkan alasan itu, mereka seharusnya tidak dicela kerana ia tidak menunjukkan mereka berdosa. Keampunan yang dipinta oleh Nuh dipandang daripada sudut kedudukan mereka sebagai golongan yang sangat hampir kepada Tuhan, sudah tentu perbuatan itu menunjukkan ciri-ciri kekurangan mereka. Lantaran itu, Tuhan mencela mereka dan pada masa yang sama, mereka pula turut mengakui kesalahan itu walaupun pada hakikatnya tidak demikian.

*****

Ibrahim
Kemaksuman Ibrahim dapat diperhatikan daripada maksud ayat Quran berikut, “Ya Tuhanku, perlihatkan kepadaku bagaimana Engkau menghidupkan orang mati. Tuhan berkata: Apakah kamu belum percaya? Ibrahim menjawab: Saya percaya akan tetapi supaya bertambah tetap hati saya.”24

Kemaksuman Ibrahim dapat dilihat daripada dua sudut: Pertama, penggunaan bentuk pertanyaan seperti bagaimana serta maksud yang terkandung dalam pertanyaan itu. Kedua, jawapan yang dikemukakan oleh Ibrahim semasa ditanya, sama ada mengandungi keraguan mengenai kekuasaan Tuhan ataupun sebaliknya.

Dalam persoalan pertama, kebanyakan ulama mengatakan penggunaan bentuk pertanyaan seperti bagaimana adalah dalam bentuk memohon penjelasan iaitu Ibrahim ingin memahami bagaimana Tuhan menghidupkan sesuatu yang sudah mati dan bukannya dengan maksud mengingkari kekuasaannya. Pertanyaan yang dikemukakan berbentuk perlambangan kerana ayat susulannya membuktikan kesempurnaan perintah Tuhan dan pembebasan pemikiran Ibrahim daripada sebarang unsur keraguan.25

Meskipun begitu, kemaksuman Ibrahim tergugat disebabkan beberapa hadis yang menunjukkan beliau berdusta sebanyak tiga kali. Dua daripadanya mengenai sifat Tuhan.26 Atiyyah menolak hadis-hadis itu. Beliau menjelaskan para nabi tidak harus berada dalam keadaan ragu-ragu kerana ia boleh menyebabkan kufur, sedangkan semua nabi beriman dengan hari kebangkitan. Tuhan juga menerangkan para nabi dan bahkan wali tidak dapat dipengaruhi atau dikuasai oleh syaitan27, menerusi beberapa kata-katanya yang bermaksud, “Sesungguhnya hamba-hambaku tidak ada jalan bagimu terhadap mereka kecuali orang-orang yang mengikuti kamu iaitu orang-orang yang sesat.”28 Katanya lagi, “Sesungguhnya hamba-hambaku, kamu tidak dapat berkuasa atas mereka. Cukuplah Tuhanmu sebagai penjaga.”29

Qadi Iyad membahaskan persoalan ini dan menolak penguasaan syaitan ke atas nabi dan rasul.30 Muhammad berkata, “Kami lebih utama berada dalam keadaan ragu-ragu ber-banding Ibrahim,”31 menjadi hujah dan jawapan kepada keraguan yang berlaku kepada Ibrahim. Al-Alusi mengatakan hadis ini menjadi hujah yang kuat membuktikan kemaksuman nabi. Ia menunjukkan Ibrahim dinafikan daripada sifat itu sama sekali.32 Inti sari hadis ini juga menjelaskan sekiranya Muhammad tidak pernah ragu-ragu, sudah tentu Ibrahim juga demikian. Dalam konteks ayat itu tadi, persoalan meng-hidupkan sesuatu yang sudah mati, memang diketahui oleh beliau. Ini berpandukan hujah beliau sendiri sebagai jawapan kepada Namrud dalam ayat Quran yang bermaksud, “Tuhanku adalah yang menghidupkan dan mematikan.”33

Keteguhan iman Ibrahim tidak diragukan sama sekali. Di samping itu, secara keseluruhannya kebanyakan ulama bersepakat mengatakan para nabi dan rasul terpelihara daripada dosa besar dan kecil yang boleh mencacati mereka.34 Lantaran itu, hadis-hadis yang menampakkan para nabi tidak maksum tertolak dengan sendirinya. Ibrahim tidak wajar sama sekali dituduh berasa ragu-ragu mengenai zat Tuhan kerana secara langsung, ia mencela kedudukan mereka yang maksum di sisi Tuhan.

*****

Musa
Tuhan menerangkan kisah Musa dalam kata-katanya yang bermaksud, “Musa masuk ke kota Memphis ketika penduduknya sedang beristirahat, maka didapati di dalam kota itu, dua orang lelaki sedang berkelahi, seorang daripada golongannya iaitu bani Israel manakala seorang lagi daripada musuhnya iaitu kaum Firaun. Maka orang daripada golongannya meminta pertolongan daripadanya supaya mengalahkan musuhnya, lalu Musa menumbuknya dan matilah musuh itu. Musa berkata: “Ini adalah perbuatan syaitan. Ya Tuhanku, sesungguhnya aku menganiayai diriku, maka kerana itu ampunilah aku. Maka Tuhan mengampunimu, sesungguhnya Dialah Tuhan Yang Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.”35

Dalam peristiwa yang disebutkan, kelihatan Musa terlibat dalam pembunuhan seorang Qibti dalam usaha beliau membantu salah seorang pengikutnya. Secara umumnya, Musa melakukan suatu dosa yang besar, tetapi kedudukan itu perlu diperhatikan menerusi perkataan penting yang digunakan iaitu wakaza. Ibn Faris mengemukakan beberapa maksud wakaza. Antaranya, cacian, memukul dengan seluruh tangannya atau menolaknya.36

Menurut al-Alusi, perkataan wakaza atau al-wakz menunjukkan perbuatan itu dilakukan dalam keadaan tersalah dan bukan dengan niat.37 Oleh kerana itu, ia tidak termasuk dalam pengertian dosa.38 Ini menepati jawapan Musa kepada Firaun semasa kedua-duanya bersoal jawab, “Aku melakukannya sedangkan aku pada waktu itu termasuk daripada kalangan orang-orang yang khilaf.”39 Musa tidak melakukan perbuatan itu dengan sengaja, sebaliknya bertujuan menghalang musuh melakukan kezaliman ke atas pengikutnya daripada kalangan bani Israel. Lantaran itu, Musa memukulnya dan di luar dugaan ia menyebabkan kematian. Al-Tabarsi berpendapat, pembunuhan itu bertujuan membebaskan orang mukmin daripada tangan orang zalim dan melampaui batas. Dengan cara ini, ia dapat menegah perbuatan makruh itu.40

Al-Bazdawi mengatakan pembunuhan orang Qibti berlaku atas alasan tersalah, tetapi perbuatan menumbuk bagi mempertahankan diri daripada kezaliman sehingga menyebabkan kejadian itu berlaku diharuskan. Walau bagaimanapun, keharusan di sini bukanlah dengan keizinan Tuhan, kerana Musa sendiri yang mengharuskannya bagi dirinya.41

Al-Razi mengatakan perbuatan Musa berlaku sebelum menjadi nabi dalam keadaan tersalah. Justeru itu, meminta ampun atas perbuatan tersalah adalah baik dan disunatkan.42 Al-Murtada menjelaskan Musa berbuat demikian atas alasan terputus hubungan dengan Tuhan dan ingin kembali semula kepadanya. Oleh kerana itu, Musa mengakui kekurangan-kekurangan yang dilakukannya sedangkan pada masa yang sama beliau sepatutnya melakukan perbuatan lain yang ditetapkan. Kekurangan yang berlaku juga disebabkan kegagalan menegah dirinya daripada perkara-perkara yang tidak diharuskan.43

Bagaimanapun al-Zamakhsyari berpendapat, Musa terlibat dalam perbuatan itu sebelum dibenarkan bertindak demikian. Sebaliknya, Ibn Jurayh pula mengatakan sekiranya perbuatan yang mereka lakukan tidak diperintahkan oleh Tuhan, para nabi tentu tidak akan melakukannya.44 Ini bererti perbuatan Musa ini adalah berdasarkan perintah Tuhan. Pendapat para ulama yang dikemukakan menunjukkan Musa melakukannya dalam keadaan tersalah. Justeru itu, beliau memohon ampun kepada Tuhan. Tambahan pula, sekiranya diteliti dalam syariah para nabi yang terdahulu dan syariah Muhammad, perkara-perkara seumpamanya tidak mengandungi pengertian dosa.45

Kemaksuman para nabi daripada dosa besar dan dosa kecil tidak dinafikan sama sekali, sebelum mahupun sesudahnya. Di samping itu, perkataan al-wakz pada hakikatnya hanyalah mengandungi dosa kecil sahaja. Sebagai seorang yang sangat hampir kepada Tuhan, yang mempunyai darjat yang tinggi dan terpuji, mereka dapat menyedari kekurangan yang terdapat pada diri mereka kerana menyalahi perbuatan yang lebih utama.46 Pendapat yang mengatakan perbuatan al-wakz dilakukan oleh Musa atas alasan menyalahi perbuatan yang lebih utama adalah lebih kuat kerana ia dapat dibuktikan dalam peristiwa al-Ma’mun yang menanyakan Ali al-Rida mengenai kata-kata Musa, “Ya Tuhanku, sesungguhnya aku menganiayai diriku sendiri.” Beliau menjelaskan Musa sebenarnya meletakkan dirinya di tempat yang tidak sesuai dengan memasuki kota itu.47

Dengan memberikan pengertian menyalahi perbuatan yang lebih utama ini, Musa terbukti bersifat maksum daripada perbuatan dosa sama ada daripada segi perkataan mahupun perbuatan. Tambahan lagi, perbuatan itu tidak mengandungi pengertian dosa yang membolehkannya dicela. Tuhan menghendaki mereka menjadi contoh kepada umat manusia. Sebagai manusia terpilih, sebarang perbuatan yang menyalahi perintah Tuhan dianggap sebagai kecelaan dan kekurangan. Walaupun pada hakikatnya ia tidak mengandungi sebarang dosa. Bagi seorang nabi, perintah Tuhan tidak layak diabaikan biarpun ia berupa nasihat atau suruhan. Manakala bagi umat manusia, mereka perlu mencontohi nabi dengan cuba mengelakkan perbuatan yang dilarang oleh Tuhan dengan bersungguh-sungguh.

*****

Muhammad
Menerusi Quran, terdapat banyak ayat yang membuktikan kemaksuman Muhammad daripada dosa dan salah.48 Antaranya adalah seperti berikut. Yang pertama, “Sesungguhnya Tuhan bermaksud hendak menghilangkan dosa daripada kamu dan membersihkan kamu dengan sebersih-bersihnya.”49 Ayat ini membuktikan kebersihan dan kesucian Muhammad daripada sebarang bentuk dosa dan salah dengan jelas. Penyucian ke atas mereka bukan dilakukan oleh manusia, tetapi oleh Tuhan. Seandainya keluarga Muhammad dibersihkan dengan sesuci-sucinya, tentulah Muhammad yang termasuk dalam pengertian yang sama juga dibersihkan daripada perbuatan yang tercela. Kalau berlaku sebaliknya, tentulah kedudukannya lebih rendah daripada mereka dan ia mustahil boleh berlaku. Ibn Kathir menyebutkan beberapa buah hadis mengenai keluarga Myhammad yang mengandungi permohonan Muhammad kepada Tuhan supaya mereka dibersihkan daripada dosa dan kekotoran.50 Ini menunjukkan Muhammad juga bersih dan maksum.

Kedua, “Apa yang diberikan kepadamu, maka terimalah ia dan apa yang dilarangnya bagimu, maka tinggalkanlah ia.”51 Ayat ini menunjukkan perintah dan larangan Muhammad sentiasa diperkenankan oleh Tuhan. Bersesuaian dengan maksud kata-kata Tuhan berikut, “Taatilah Tuhan dan rasulnya, dan jika kamu berpaling maka sesungguhnya Tuhan tidak menyukai orang-orang yang kafir.”52 Kedua-dua ayat yang dikemukakan saling melengkapi antara satu dengan yang lain, kerana tugas Muhammad adalah menyampaikan perintah dan larangan Tuhan. Manakala tugas pengikut pula mentaati setiap perintah dan larangan Tuhan yang disampaikan menerusi Muhammad. Oleh itu, seseorang akan mendapat keyakinan dan kepercayaan sepenuhnya dengan mentaati dan menuruti perintah seorang yang maksum, dibandingkan dengan seorang bukan maksum.

Ketiga, “Katakanlah: Jika kamu benar-benar mencintai Tuhan, ikutilah aku, nescaya Tuhan mengasihi dan mengampuni dosa-dosamu.” Quran menjelaskan kecintaan kepada Tuhan bergantung kepada kecintaan dan ketaatan manusia kepada Muhammad. Kedua-dua cinta terangkum secara serentak dalam ayat ini. Kalaulah seseorang itu mencintai Tuhan, sewajarnya dia mentaati dan menuruti Muhammad kerana dengan melakukan perbuatan sedemikian, Tuhan akan mencintai mereka. Tentulah perkara-perkara seumpama ini tidak berlaku, sekiranya para nabi tidak maksum daripada keburukan dan kecelaan.

Keempat, kemaksuman Muhammad tidak terbatas kepada perbuatan semata-mata, malah kata-katanya juga termasuk dalam himpunan perintah Tuhan. Tuhan menjelaskan, “Tiada apa yang diucapkannya itu menurut kemahuan hawa nafsunya. Ucapannya itu tiada lain hanyalah wahyu yang diwahyukan kepadanya.”53 Dalam usaha Muhammad menyampaikan perintah Tuhan, segala-galanya berpandukan wahyu, tanpa sebarang penambahan mahupun pengurangan. Tepat seperti apa yang dikatakan oleh Muhammad, “Tulislah, demi Tuhan yang diriku di tangannya, tiada sesuatu yang ada pada diriku melainkan kebenaran.”54

Kelima, “Dialah yang mengutuskan kepada kaum yang buta huruf itu seorang rasul, yang membacakan ayat-ayatnya kepada mereka, mensucikan mereka dan mengajarkan mereka kitab dan hikmah.”55 Muhammad adalah seorang nabi dan rasul yang suci, bersih dan maksum. Justeru itu, beliau diutus oleh Tuhan supaya mensucikan orang lain daripada perbuatan dosa dan salah. Begitu juga dalam persoalan mengajarkan orang lain mengenai kitab dan hikmah. Seandainya beliau sendiri tidak boleh menentukan kebenaran dan kebatilan, serta tidak mampu menghindarkan diri daripada perkara-perkara yang batil selepas beliau mengetahuinya, sudah tentu beliau tidak dibenarkan berbuat demikian kepada manusia lain.

Ini bererti Muhammad memahami setiap perintah dan larangan Tuhan. Lantaran itu, beliau berusaha membersihkan dan memelihara umatnya serta mengajarkan mereka mengenai hikmah. Ini menunjukkan Muhammad adalah seorang yang maksum. Para nabi tentu tidak layak memikul tugas itu, sekiranya mereka mengetahui perkara-perkara yang tidak dikehendaki oleh Tuhan, tetapi masih juga melakukannya.

Keenam, “Penyaksian mengenai akhlak Muhammad yang tinggi dan sempurna menerusi maksud kata-kata Tuhan, “Sesungguhnya engkau mempunyai akhlak yang tinggi.”56 Pujian menurut kebiasaannya diberikan kepada orang yang benar-benar berhak mendapatkannya. Demikian juga pujian Tuhan ke atas makhluknya. Quran membuktikan hakikat kemaksuman Muhammad sehinggakan beliau dipuji oleh Tuhan. Justeru itu, Muhammad bukanlah seorang yang ber-dosa dan tidak pula memiliki akhlak yang hina kerana Tuhan akan menafikan beliau daripada pujian itu.

Walau bagaimanapun, terdapat pula beberapa ayat al-Quran mengenai Muhammad yang disalah fahami oleh umat Islam. Ini kerana apabila dilihat daripada sudut zahir ayat, kelihatan Muhammad melakukan perbuatan-perbuatan yang tidak sesuai dengan kedudukannya di sisi Tuhan secara khusus, serta di sisi manusia secara umumnya. Pertama, “Bukankah Dia mendapatimu sebagai seorang yang yatim, lalu Dia melindungimu. Dia mendapatimu sebagai seorang yang kebingungan lalu Dia memberikan petunjuk. Dia mendapatimu sebagai seorang yang kekurangan, lalu Dia sempurnakan kekurangan itu.”57

Menerusi ayat keenam daripada surah ad-Duha, Muhammad dinyatakan sebagai seorang yang yatim piatu. Bapanya meninggal dunia sebelum beliau dilahirkan. Ibunya pula meninggalkannya semasa usianya enam tahun. Kemudian datuknya menyusul tidak lama kemudian apabila beliau berusia lapan tahun. Akhirnya beliau dijaga di bawah asuhan dan kasih sayang bapa saudaranya, Abu Talib.58 Dalam semua keadaan yang disebutkan, Muhammad menerima asuhan dan kasih sayang lebih daripada yang patut diberikan oleh seorang ayah. Justeru itu, ayat tadi memperingatkan beliau mengenai rahmat Tuhan yang melimpah ke atasnya di dalam rumah bapa saudara dan datuknya, Abu Talib dan Abd al-Muttalib.

Ayat kelapan pula menjelaskan Muhammad seorang yang miskin, tetapi selepas berkahwin dengan Khadijah, ketulusan cinta Khadijah bukan hanya melebihi sepatutnya, bahkan menjadikan beliau bebas daripada sebarang keperluan duniawi pada hari-hari seterusnya. Ini menggambarkan peringatan Tuhan kepada beliau mengenai rahmatnya menerusi diri Khadijah.59

Antara kedua-dua sifat kemurahan Tuhan itu, Tuhan mengingatkan Muhammad mengenai kedudukannya yang tidak mengetahui dan Tuhan memberikan petunjuk kepadanya. Perkataan yang diberikan maksud tidak mengetahui, berdasarkan maksud dalil Quran, “Kamu tidak mengetahui apakah itu al-kitab dan tidak juga mengetahui mengenai iman.”60 Satu lagi maksud yang hampir dengan maksud dall adalah terlupa berpandukan maksud ayat Quran, “...supaya jika seorang lupa maka seorang lagi mengingatkannya.”61

Ibn Abbas menjelaskan perbuatan tidak mengetahui iaitu dalalah dalam ayat itu tidak mengandungi pengertian maksiat.62 Seandainya perkataan dall bermakna sesat, ia tidak bererti Muhammad sesat daripada kebenaran. Ayat ini boleh diinterpretasikan dengan maksud hilang daripada kalangan umatmu. Menurut al-Rida, pengertian itu boleh ditujukan kepada Muhammad kerana penduduk kota Mekah pada waktu itu tidak mengetahui kedudukan beliau yang sebenarnya. Oleh kerana itu, Tuhan memberikan petunjuk dan mengemukakan dalil atau bukti berkenaan diri Muhammad kepada mereka.63 Pengertian itu bukan sahaja selari dengan logik akal, malah menepati maksud ayat Quran, “Muhammad tidak sesat dan tidak pula keliru.”64

Kedua, peristiwa al-Gharaniq al-Ula adalah salah satu peristiwa yang menimbulkan polemik dalam pemikiran Islam kerana dikatakan Muhammad mengucapkan ayat-ayat syaitan dan memuji-muji Tuhan golongan kafir. Persoalan al-Gharanic al-Ula atau berhala yang mulia boleh dihubungkan dengan Salman Rushdie yang pernah menghasilkan sebuah novel yang menimbulkan kontroversi kepada dunia Islam suatu ketika dahulu dan sehingga kini yang bertajuk The Satanic Verses. Sekiranya kenyataan ini benar-benar berlaku tentulah ia boleh mencacatkan kedudukan dan keutamaan nabi-nabi secara umum dan Muhammad secara khususnya. Ia juga boleh menjejaskan pemeliharaan Tuhan ke atas mereka daripada sebarang dosa dan kesalahan pada pandangan Islam dan Quran.

Dalam hal ini, para ulama tafsir memberikan perhatian yang besar dalam perbincangan mereka mengenainya dalam kitab-kitab tafsir mereka masing-masing. Quran menjelaskan dalam ayat berikut yang bermaksud, “Kami tidak meng-utuskan sebelum kamu seorang rasul dan tidak pula seorang nabi, melainkan apabila dia mempunyai sesuatu keinginan, syaitan pun memasukkan godaan-godaan terhadap keinginan itu. Tuhan menghilangkan apa yang dimasukkan oleh syaitan itu dan Tuhan menguatkan ayat-ayatnya.”65  

Daripada perspektif bahasa, perkataan tamanna bermaksud mentakdirkan sesuatu perkara dan membayangkan gambarannya.66 Walau bagaimanapun, perkataan al-tamanna menunjuk-kan ia menyentuh perkara-perkara yang tidak wujud.67 Kebanyakan ulama menjelaskan perkataan al-tamanna ber-maksud bacaan68 manakala al-Murtada menambahkan dengan pengertian keinginan hati. Sekiranya perkataan itu diertikan sebagai bacaan, ia bermaksud orang yang diutus sebelum kamu daripada kalangan rasul apabila dia membacakan apa yang disampaikan kepada umatnya, mereka meminda dan memalsukannya dan kemudian mendakwa itu adalah bacaan nabi yang mengandungi pujian terhadap tuhan-tuhan mereka, sedangkan pada hakikatnya perkara itu tidak pernah terjadi.69

Jikalau perkataan al-tamanna dirujuk dengan pengertian keinginan hati, ia bermaksud apabila rasul mempunyai keinginan dalam hatinya mengenai sesuatu perkara yang dicita-citakannya, syaitan lalu membisikkan hal-hal yang batil dan menyerunya ke arah itu. Lantaran itu, Tuhan menghapuskannya.70  
Terdapat beberapa pendapat berhubung peristiwa yang dikenali sebagai al-Gharaniq al-’Ula. Qadi ‘Iyad mengatakan peristiwa yang menyebutkan Muhammad membaca surah an-Najm di Mekah, kemudian orang-orang Islam, musyrik, jin dan manusia sujud bersama-samanya ditolak daripada sudut Quran. Tambahan lagi maksum nabi-nabi dan Muhammad secara khusus daripada perbuatan kufur dengan sengaja mahupun tersalah sudah terbukti menerusi ijmak dan dalil yang lain.71 Puak al-Karramiyyah dan al-Hasyawiyyah mengatakan Muhammad melakukan kesalahan semasa menyampaikan perintah Tuhan kerana mereka berhujah berdasarkan dalil itu. Kemudian, ada pula para ulama selain mereka berpendapat Muhammad harus melakukan kesalahan dalam perkara-perkara yang tidak didapati hujah yang kuat semasa mereka menyampaikan perintah Tuhan.72  

Peristiwa al-Gharaniq al-’Ula yang dicatatkan oleh para ulama ini berkait rapat dengan hadis-hadis yang menunjukkan Muhammad dikatakan menambahkan perkataan tilka al-gharaniq al-ula wa inna syafa’ata-hunna la-turtaja.73 Hadis-hadis tersebut telah pun dibahaskan dan kebanyakan ulama mempertikaikan kesahihannya kerana ia bercanggah dengan dalil-dalil Quran dan akal. Di kalangan ulama al-Mu‘tazilah, mereka berselisih pendapat mengenai hadis-hadis itu. Sebahagiannya menolak hadis itu dan mencela para perawinya. Manakala sebahagian yang lain pula mengatakan ia bukan bacaan yang diturunkan tetapi percakapan Muhammad kepada diri beliau atas alasan mengingkari perbuatan kaum Quraisy.74 Qadi ‘Iyad75, Ibn Atiyyah76, al-Zamakhsyari77, al-Razi78, al-Khazin79, Ibn Kathir80, Haykal81 dan lain-lain menolak hadis-hadis itu dan menganggapnya tidak berasas sama sekali. Para ulama yang menolak hadis-hadis yang membenarkan celaan ke atas Muhammad mengatakan tidak mungkin dapat dibenarkan hadis-hadis ahad ke atas Muhammad. Ini dinyatakan dalam beberapa ayat al-Quran82:   
1.“Demikianlah supaya Kami perkuatkan hatimu dengannya.”83
2.“Kami akan membacakan Al-Quran kepada Muhammad maka kamu tidak akan lupa.”84
3.“Seandainya Muhammad mengada-adakan sebahagian perkataan atas nama Kami, nescaya benar-benar Kami pegang dia pada tangan kanannya kemudian benar-benar Kami potong urat tali jantungnya.”85  

Muhammad Husayn Haykal menjelaskan hadis-hadis mengenai peristiwa itu diciptakan oleh golongan Zindik.86 Beliau juga mengemukakan beberapa hujah bagi menolak hadis-hadis itu. Pertama, hadis yang dilaporkan mencapai bilangan yang meragukan menunjukkan ia adalah hadis-hadis palsu atau yang dicipta oleh golongan zindik yang bertujuan menimbulkan keraguan mengenai kebenaran perutusan daripada Muhammad. Qadi ‘Iyad menunjukkan Muhammad seorang yang maksum daripada sebarang kecelaan termasuklah keinginan memuji selain Tuhan kerana ia dianggap kufur.87  

Kedua, konteks surah an-Najm yang tidak pula menyebutkan persoalan al-Gharaniq. Penambahan beberapa perkataan selepas ayat afara ‘ai-tumu’l-lata wa’l-uzza wa manata’l-thalithata’l-ukhra, menunjukkan ia penuh dengan kekeliruan dan percanggahan. Ini jelas membuktikan hadis itu palsu dan sengaja diada-adakan.88  

Ketiga, hujah daripada perspektif bahasa. Muhammad Abduh mengatakan dalam syair Arab, orang-orang Arab tidak menggelarkan tuhan-tuhan mereka dengan perkataan al-Gharaniq. Begitu juga dalam pertuturan biasa mereka. Perkataan gharnuq dan gharniq ialah nama sejenis burung air yang berwarna hitam atau putih, dan pemuda yang putih dan cantik. Ia tidak berkait langsung dengan maksud tuhan.89

Keempat, kebenaran Muhammad berdasarkan kehidupan beliau semasa kecil sehingga dewasa. Beliau dikenali di kalangan kaumnya sebagai seorang yang tidak pernah berdusta sehingga digelar al-Amin sebelum usianya 25 tahun. Kebenaran beliau tidak diragukan oleh sesiapa pun. Ini menunjukkan peristiwa al-Gharanic al-Ula mustahil berlaku ke atasnya. Di samping hujah-hujah ini, Qadi ‘Iyad juga turut mengkritik hadis-hadis mengenai al-Gharaniq yang secara keseluruhannya menunjukkan ia lemah dan mustahil berlaku ke atas diri Muhammad.90 Kesimpulannya ia menunjukkan konsep kemaksuman para nabi secara umum dan Muhammad secara khusus daripada perspektif Quran memang terbukti dengan jelas. Quran juga memperlihatkan Muhammad sebagai nabi dan rasul terpilih adalah seorang yang terpelihara daripada sebarang bentuk kesalahan, dosa dan maksiat, sesuai dengan kedudukannya sebagai utusan Tuhan yang terbaik kepada umat manusia.

Peristiwa Muhammad dituduh bermasam muka dan berpaling ketika didatangi seorang buta juga ada diceritakan dalam Quran yang bermaksud, “Dia bermasam muka dan memalingkan mukanya kerana sudah datang seorang buta kepadanya.”9i Menurut persepakatan ulama, ayat tadi diturunkan kepada Ibn Ummi Makhtum yang menemui Muhammad ketika beliau sedang bersama-sama beberapa orang pembesar bani Umaiyyah. Dia meminta Muhammad mengajarkannya ilmu Tuhan tanpa mengetahui beliau sedang melayani tetamu, lalu dikatakan Muhammad bermasam muka dan berpaling daripadanya.92 Al-Murtada mengatakan ayat itu pada zahirnya tidak menunjukkan ia ditujukan kepada Muhammad, sebaliknya adalah suatu penyucian kerana bukan beliau sendiri yang menjadi sasaran tetapi sebaliknya orang lain. Ini disebabkan sifat bermasam muka bukanlah salah satu sifat Muhammad.

Al-Razi berpendapat keraguan Muhammad dalam membuat penentuan menyebabkan terjadi peristiwa itu atas dasar meninggalkan perkara yang lebih utama.93 Qadi ‘Iyad menafikan perbuatan dosa kepada Muhammad dengan alasan, ia hanyalah pemberitahuan Tuhan mengenai orang yang datang kepadanya adalah orang yang tidak bersih dan cara yang paling baik dilakukan adalah dengan menerima kedatangannya.94 Berdasarkan kepada apa yang dilaporkan oleh Ja‘far al-Sadiq, ayat itu diturunkan ke atas seorang pembesar bani Umaiyyah yang berada di sisi Muhammad. Apabila dia melihat Ibn Ummi Makhtum, perasaan tidak tenteram timbul menerusi sikap bermasam muka dan berpaling. Laporan lain menyebutkan beliau sentiasa bersikap lembut kepada Ibn Ummi Makhtum sehingga melarang beliau berbuat demikian terhadapnya.95

Quran menggunakan pelbagai bentuk ayat bagi mendidik umat manusia dengan cara yang paling baik dan berkesan. Antaranya Tuhan memberitahu nabi tetapi sebenarnya ia ditujukan kepada orang lain supaya mereka mendengarnya, seperti dalam maksud ayat, “Jika Muhammad berada dalam keraguan mengenai apa yang Kami turunkan kepadamu, maka tanyakanlah orang-orang yang membaca kitab sebelum kamu.”96 Perkataan ragu-ragu zahirnya ditujukan kepada Muhammad tetapi pada hakikatnya ia ditujukan kepada umatnya. Ini bermaksud ‘kalau kamu ragu-ragu, bertanyalah.’ Dalilnya terbukti pada akhir surah itu disebutkan dengan maksud, “Katakanlah: Hai manusia, jika kamu masih dalam keraguan mengenai agamamu, maka ketahuilah aku tidak menyembah selain Tuhan.”97

Demikian juga dengan maksud ayat ini, “Wahai nabi, apabila kamu menjatuhkan talak atau tallaq-tum ke atas isteri kamu.” Perkataan tallaq-tum disebutkan dalam bentuk jamak, sedangkan ia ditujukan kepada Muhammad seorang sahaja. Pendapat itu dipegang oleh Ibn Abbas dan kebanyakan ulama lain.98 Qadi ‘Iyad juga mengemukakan beberapa buah hadis yang menunjukkan secara keseluruhannya, para nabi tidak pernah ragu-ragu, kerana ayat-ayat Quran yang disebutkan ditujukan kepada orang-orang Arab.99 Ini menunjukkan Tuhan menyalahkan Muhammad secara langsung bagi menekankan kepentingan sesuatu perkara, sedangkan sebenarnya ia tidak melibatkan diri beliau sama sekali.

Seterusnya dalam maksud ayat, “ Tidak patut bagi seorang nabi mempunyai tawanan sebelum dia dapat melumpuhkan musuhnya di muka bumi, kamu menghendaki harta benda dunia, sedangkan Tuhan menghendaki Akhirat.”100 Menurut kebanyakan ulama tafsir, ayat ini diturunkan semasa perang Badar dan mengandungi celaan terhadap para sahabat yang mengisyaratkan pengambilan fidyah atau ghanimah.101 Begitu juga maksud ayat ini, “Kalau Kami tidak memperkuatkan hatimu, nescaya kamu sedikit demi sedikit cenderung kepada mereka.”102

Dalam persoalan ini, al-Razi berpendapat:
Perkataan kada bererti hampir-hampir. Ia bermaksud Muhammad hampir-hampir terlibat dalam perkara itu, walaupun sebenarnya ia tidak berlaku.

Perkataan kada membuktikan kewujudan maksum yang menghalang kebinasaan. Tuhan bertujuan menjelaskan pemeliharaannya ke atas Muhammad. Oleh itu, diri Muhammad dibentengi daripadanya.103

Ancaman terhadap keingkaran bukanlah bermaksud perbuatan itu sudah dilakukan.104 Sebagaimana dikemukakan dalam maksud Quran, “Seandainya Muhammad mengada-adakan sebahagian perkataan atas nama Kami, nescaya Kami benar-benar pegangnya tangan kanannya, kemudian Kami potong urat jantungnya.”105

Perkara itu sebenarnya tidak pernah terjadi kepada Muhammad. Ibn Abbas mengatakan beliau maksum daripada dosa, tetapi ayat ini sebenarnya ditujukan kepada umatnya supaya mereka tidak cenderung kepada golongan musyrikin apabila menetapkan syariah Tuhan.106 Terdapat juga maksud ayat Quran yang menganjurkan Muhammad memohon ampun. Antaranya, “...dan mohon ampun untuk dosamu,”107 juga “...supaya Tuhan memberi keampunan kepadamu ter-hadap dosamu yang terdahulu dan yang akan datang.”108 Ayat itu tidak mengandungi dosa kerana Tuhan menggesa Muhammad supaya berdoa dan beristighfar bagi mempertingkatkan kedudukannya, di samping menjadi suatu ketetapan kepada generasi berikutnya.109 Dosa-dosa yang disandarkan kepada Muhammad berdasarkan hubungan beliau dengan umatnya kerana beliau adalah sebahagian daripada mereka.110 Justeru itu, walaupun Muhammad tidak berdosa tetapi tanggungjawab itu diletakkan ke atasnya semata-mata bagi membolehkan Tuhan mengampuni mereka bagi pihak beliau.

Muhammad sendiri tidak pernah mengingkari perintah dan larangan Tuhan kerana ketakwaan beliau kepada penciptanya. Beliau mengakui hakikat itu menerusi kata-katanya yang dapat diperhatikan dalam maksud ayat ini, “Sesungguhnya aku takutkan azab hari Kiamat, jika aku menderhaka kepada Tuhanku.”111 Surah al-Fath iaitu surah ke-48 hanya menyusul selepas surah al-An‘am iaitu surah ke-6 diturunkan oleh Tuhan.112 Lantaran itu, ia membuktikan pada zahirnya ayat berkenaan ditujukan kepada Muhammad sedangkan hakikat-nya ia ditujukan kepada umatnya. Oleh kerana itu, kemaksuman Muhammad tidak dapat dinafikan sama sekali.

Kesucian keturunan Muhammad
Persoalan kesucian keturunan adalah suatu topik yang turut mendapat perhatian umat Islam seluruhnya. Dalam konteks ini, nabi dan rasul wajib terpelihara daripada kecelaan keturunan daripada pihak lelaki, kecelaan keturunan pihak perempuan, malahan kelemahan dan kekurangan dalam kejadian dan penciptaannya kerana kenyataan-kenyataan itu memberi implikasi ketidaksempurnaan. Ini kerana seandainya mereka berada dalam keadaan demikian, sudah tentu mereka tidak akan diyakini dan dipercayai. Kenyataan ini dianggap berlawanan dengan akal yang rasional dan bertentangan dengan keterangan al-Quran.

Seterusnya, oleh kerana setiap manusia bergantung kepada para nabi dan rasul dan dikehendaki menerima mereka sepenuhnya, tentu mereka wajib mempunyai sifat-sifat yang terpuji seperti akal yang sempurna, tidak pernah lupa, mempunyai pendapat yang kuat, bersifat berani dan tahan sabar, pemurah, berpandangan luas, baik, bersemangat tinggi, lemah lembut, kasih sayang, tawaduk dan rendah diri.113 Nabi dan rasul juga perlu menghindari daripada sesuatu yang boleh menyebabkan kecelaan kepada Tuhan, sama ada sesuatu yang berhubung aspek luaran seperti bapa yang tidak bermaruah dan ibu yang tiada kehormatan diri.114 Selain itu, sesuatu yang berhubung aspek dalaman mereka sendiri sama ada dalam perilaku seperti makan di jalanan yang dianggap tidak wajar bagi nabi dan rasul, hubungan dengan orang yang mempunyai akhlak yang buruk dan seumpamanya.

Seterusnya sesuatu yang berhubung akhlak seperti jahil, dengki, kasar, keras, penakut, cinta dunia, inginkan keduniaan dan memberikan layanan kepada golongan yang mementing-kan kebendaan atau materialis serta melepaskan mereka daripada perintah-perintah Tuhan dan kesalahan-kesalahan lain dan juga dalam sifat semula jadi seperti berpenyakit sopak, gila, pekak, bisu dan seumpamanya. Ini kerana semua sifat itu adalah tidak sempurna yang menyebabkan manusia hilang keyakinan dan kepercayaan kepada mereka.115 Dalam persoalan kesucian keturunan nabi dan rasul khususnya Muhammad, Tuhan mengemukakan keterangannya yang bermaksud, “Dia melihat perubahan gerak badanmu di kalangan orang-orang yang sujud.”116
Perubahan gerak badan Muhammad dihuraikan dengan maksud beliau yang berasal daripada keturunan Adam, berpindah daripada sulbi seorang nabi kepada sulbi seorang nabi yang lain sehingga akhirnya beliau menjadi nabi.117 Ketika Tuhan menjadikan Adam, Tuhan menurunkan Muhammad ke dalam sulbinya, kemudian diletakkan ke dalam sulbi Nuh di dalam kapal, dicampakkan ke dalam api di dalam sulbi Ibrahim dan seterusnya beliau sentiasa berpindah di dalam sulbi-sulbi yang mulia ke dalam rahim-rahim yang suci sehinggalah beliau dilahirkan tanpa sedikit pun terlibat dengan ciri-ciri kelahiran jahiliah.118 Ianya menerusi pernikahan yang baik119 antara kedua-dua ibu bapanya tanpa terdapat sebarang unsur keburukan kepada mereka berdua.120
Dalam kebanyakan keterangan mengenainya menunjukkan Muhammad mempunyai keturunan yang suci dan terpelihara daripada amalan-amalan jahiliah.121 Beliau sentiasa berada di dalam sulbi yang bersih dan kemudian berpindah ke kandungan rahim yang suci sehinggalah ibunya melahirkannya. Berhubung dengan nenek moyang Muhammad sebelah ibu adalah seramai 500 orang, tetapi tiada seorang pun terlibat dengan amalan jahiliah.122 Keturunan sebelah bapa juga demikian, mereka tetap Muslim dan tidak pernah melakukan perbuatan syirik.123 Mereka juga terdiri daripada ketua, pemimpin, serta daripada keturunan yang mulia, suci serta menepati syarat-syarat kenabian.124
Sehubungan dengan itu, Ali bin Abi Talib menjelaskan kedudukan keturunan Muhammad dalam khutbahnya, “Tuhan menempatkan para nabi pada kedudukan yang terbaik dan menetapkan mereka pada kediaman yang terbaik juga. Tuhan menggerakkan mereka secara silih berganti daripada nenek moyang mereka yang mulia kepada kandungan rahim-rahim yang bersih dan suci. Apabila generasi terdahulu meninggal dunia, pengganti mereka akan bangkit menegakkan agama Tuhan. Keadaan itu akan berterusan sehingga zaman Muhammad. Tuhan mengutuskan Muhammad daripada susur galur keturunan yang terhormat dan tapak semaian yang termulia, pokok yang terus menerus membuahkan para nabi yang juga menjadi sumber pemilihan para pemegang amanah-nya. Keturunan Muhammad adalah sebaik-baik keturunan, begitu juga kaum kerabat beliau adalah sebaik-baik kaum kerabat. Manakala keturunannya pula adalah keturunan yang terbaik, tumbuh dan berkembang dengan penuh kemuliaan dan penghormatan.”125

Secara keseluruhan, kata-kata dan penjelasan Ali bin Abi Talib sebagai sepupu, sahabat serta tokoh yang paling dekat dengan Muhammad memperlihatkannya sebagai manusia pilihan Tuhan yang terbaik daripada semua aspek, sama ada puak126, kabilah, rumah127 dan lain-lain.

Hakcipta Terpelihara • PTS Media Group Sdn Bhd (173482-A) © 2000 - 2024