Artikel

Fatwa Khusus Tentang Wanita dan Keluarga: Fatwa Kontemporari (Jilid 1, Siri 3)

oleh Noor Hidaya Arshad pada 01 Sep 2015

Rasulullah s.a.w ada menyatakan, ‘Dunia itu adalah perhiasan, dan sebaik-baik perhiasan adalah wanita solehah.’ Adakah wanita yang cantik sahaja layak bergelar wanita solehah hanya kerana ia diumpamakan sebaik-baik perhiasan? Tidak sama sekali kerana ciri-ciri solehah itu sudah digariskan dengan jelas di dalam al-Quran dan sunnah.

Buku Fatwa Kontemporari kali ini membawakan topik yang penting dan universal. Isu wanita dan keluarga boleh dikatakan suatu topik yang seiring kerana Islam sangat menjaga keberadaan wanita sebagai entiti penting dalam sesebuah keluarga.

Walaupun naskhah ini berbentuk soal jawab, tetapi jawapan yang diberi oleh Sheikh Dr. Yusuf Al-Qaradhawi sangat padat dengan petikan ayat-ayat al-Quran dan hadith yang menjadikan jiwa yang membaca lebih puas dan yakin. Tambahan pula, setiap dalil yang diberikan, dihurai dengan jelas.

Naskhah ini mengetengahkan isu wanita dan keluarga yang merangkumi isu akhlak, perkahwinan, hubungan berpasangan, hubungan kekeluargaan dan keibubapaan. Semua isu ini adalah isu semasa yang menjadi tanda tanya masyarakat sekarang.

Jangan tunggu sudah dilanda masalah baru kita mencari penyelesaian. Tetapi kita perlu bersiap sedia dengan ilmu yang dengan izin Allah dapat membantu kita di kala sukar. Oleh itu, membaca buku ini bukan pilihan tetapi satu kemestian.

 

Hakcipta Terpelihara • PTS Media Group Sdn Bhd (173482-A) © 2000 - 2024