Artikel

Konsep Hubungan Kemasyarakatan Di Dalam Islam: Fatwa Kontemporari (Jilid 2, Siri 3)

oleh Muhammad Syarafuddin Sulaiman pada 07 Sep 2015

Sewaktu reviu ini ditulis, kita baru sahaja dikejutkan dengan berita pemergian seorang tokoh yang cukup terkenal, Dr. Wahbah Zuhaili. Dr. Wahbah bukan sahaja seorang ulama besar dunia, bahkan beliau juga seorang penulis yang prolifik. Buku-buku beliau cukup banyak dan menjadi rujukan penting.

Apabila Allah memanggil beliau “pulang”, maka hilanglah satu lagi permata umat. Namun begitulah hakikat dunia: Manusia akan mati.

Kita beruntung kerana sebahagian ilmu beliau kekal bersama kita dalam bentuk tulisan. Tanpa tulisan dan buku, segala khazanah yang ada akan hilang begitu sahaja.

Buku Fatwa Kontemporari oleh Syeikh Dr. Yusuf Al-Qaradhawi memainkan peranan yang sama dalam menyampaikan ilmu Syeikh Yusuf kepada semua. Sekalipun beliau masih ada, terjemahan ini membolehkan pengetahuan Dr. Yusuf sampai kepada lebih ramai orang, terutamanya mereka yang tidak menguasai bahasa Arab.

Kemudian apabila beliau sudah tiada, kita masih mampu mengakses khazanah ilmu ini.

Buku siri ke-3 daripada Fatwa Kontemporari Jilid 2 membawa judul Hubungan Kemasyarakatan. Bunyinya seperti biasa-biasa dan tidak penting, namun perbincangannya terkini dan menyentuh kehidupan sehari-harian ramai antara kita.

Antaranya Syeikh Yusuf membincangkan soal riba dan faedah. Bagaimana ingin hidup dalam keadaan hanya riba sahaja yang ditawarkan? Bagaimana pula membelanjakan hasil keuntungan daripada riba yang diperolehi, supaya kita tidak termakan harta haram?

Beliau juga membincangkan soal perniagaan tukaran matawang atau FOREX yang cukup terkenal hari ini. Bolehkah? Halalkah?

Pakej Fatwa Kontemporari ini nampak eksklusif dan reka letaknya juga menarik. Seperti siri-siri lainnya, buku ke-3 ini adalah satu lagi bahan yang bukan sahaja wajar dibaca, bahkan disimpan sebagai rujukan masa depan.

 

 

Hakcipta Terpelihara • PTS Media Group Sdn Bhd (198801006125) © 2000 - 2025