Artikel
Filem, buku dan kadar membaca
oleh Helmi pada 06 Mar 2006
Langit Petang hadir kepada khalayak sebagai sebuah novel. Kemudian diadaptasi ke filem oleh Shahrom Mohd Dom. Tetapi saya membaca novel ini selepas menonton filem adaptasinya. Hal yang sama juga berlaku apabila menonton filem Ranjau Sepanjang Jalan sebelum membaca novelnya.
Begitu juga dengan beberapa novel John Grisham yang dibaca selepas menonton filem adaptasi daripada novel-novel berkenaan. Kecenderungan ini juga tentu berlaku kepada orang lain.
Membaca novel dan menonton filem adalah dua pengalaman yang berbeza. Malah ada orang berkata, novel lebih demokratik apabila memberi banyak ruang imaginasi berbanding filem.
Maka usaha Perpustakaan Negara Malaysia (PNM) menjadikan filem adaptasi sebagai jambatan membaca ada kewajarannya. Usaha meningkatkan kadar membaca perlu dipelbagai dan salah satunya dengan filem yang diadaptasi daripada karya sastera.
Dunia buku dalam konteks negara ini tidak harus dibiarkan bersendirian. Kalau di Barat buku yang popular menjadi jambatan untuk menarik penonton apabila dibawa ke filem. Tetapi fenomena di negara ini berbeza.
Kerana itu wajar ada usaha timbal balik antara dunia buku dengan medium-medium lain yang lebih dominan dalam masyarakat. Salah satunya filem dan drama televisyen. Biarlah mereka membaca selepas menonton. Asalkan mahu membaca, sudah memadai.
Usaha PNM menganjurkan forum Sembang Karyawan Selasa minggu lalu yang cuba menghidupkan simbiosis novel dengan filem dan seni pentas di negara ini suatu yang baik. Biarlah kalau pembacaan lahir selepas menonton.
Dunia buku memerlukan pendekatan yang begini. Kempen membaca sebenarnya tidak banyak menyumbang kepada peningkatan kadar membaca. Maka menghidupkan simbiosis novel dan filem suatu yang dijangka memberikan hasil yang diharapkan.
Melihat sambutan hebat terhadap novel Harry Potter, apakah tidak mungkin fenomena itu berlaku di sini sekiranya dua medium iaitu filem dan buku saling bantu membantu.
PNM nampaknya begitu proaktif untuk mengubah stigma terhadap buku yang hanya diperlukan oleh pelajar sama ada di sekolah ataupun universiti. Selepas dunia sebagai pelajar, buku seolah-olah tidak diperlukan untuk menyumbangkan kualiti dalam hidup.
Tetapi proses adaptasi ada kerenahnya yang tersendiri. Tetapi PNM melihat filem adaptasi ada potensi membawa penonton membaca novel yang menjadi sumbernya.
Dalam dunia filem pula, novel wajar membantu kerana krisis ketandusan kekaguman sangat menjadi-jadi di filem dan juga televisyen. Kembalilah kepada novel yang baik apabila filem di layar semakin kontang.
E-mel: [email protected]