Artikel

Fizikal Remaja

oleh Helmi pada 22 Dec 2004

Perkembangan fizikal adalah perubahan bentuk badan termasuk perubahan otak dan organ-organ dalaman. Tanda-tanda perubahan fizikal yang menandakan berakhirnya zaman kanak-kanak adalah tumbesaran mendadak, datang haid bagi kanak-kanak perempuan, kehadiran sperma bagi kanak-kanak lelaki, kematangan organ seks dan perkembangan karakter-karakter seks sekunder. Perubahan perkembangan fizikal berlaku sebelum masa baligh di mana perkembangan fizikal mendadak menandakan bermulanya baligh. Pertumbuhan perubahan fizikal dan kematangan dilihat mempunyai kaitan antara satu sama lain, di mana perkembangan kedua-duanya adalah hasil peningkatan dalam penghasilan hormon.

Perkembangan Fizikal

Menurut Rogers (1962), remaja adalah tahap perkembangan fizikal dan sosiologi mengikut umur kronologi seperti berikut:
- 11-15 tahun: Keadaan fizikal berubah.
- 15-17 tahun: Remaja mengutamakan identiti diri.
- 17 tahun ke atas: Remaja berlatih memainkan peranan sebagai orang dewasa.
Pertumbuhan berlaku pada bahagian-bahagian tubuh mengikut masa dan kadar yang berbeza dan ia dikenali sebagai asynchrony. Puncak tumbesaran berbeza antara lelaki dan perempuan. Lelaki berlaku pada umur 14 tahun dan perempuan pada umur 12 tahun. Biasanya, perempuan mengalami tumbesaran dua tahun lebih awal daripada lelaki kerana tumbesaran perempuan berhenti pada umur 18 hingga 21 tahun. Manakala, bagi lelaki pula, tumbesarannya berhenti pada umur 19 hingga 25 tahun.

Remaja juga ditakrifkan sebagai masa berlakunya proses adaptasi dalam masyarakat apabila mencapai akil baligh atau cukup umur. Akil baligh bermula daripada segi fizikal dan pertumbuhan pembiakan manusia semakin ketara. Semasa baligh, fungsi-fungsi pembiakan menjadi matang, tumbesaran berlaku pada organ-organ pembiakan dan muncul karakter-karakter seks sekunder.

Kedua-dua jantina menghasilkan hormon sepanjang hidup mereka. Tetapi hormon lebih banyak dihasilkan apabila mereka mencapai umur baligh. Peningkatan dalam penghasilan hormon ini disebabkan oleh kematangan karakter-karakter seks primer dan perkembangan karakter-karakter seks sekunder.
Karakter seks primer adalah organ-organ pembiakan itu sendiri. Manakala, seks sekunder pula merujuk kepada perubahan tubuh badan disebabkan oleh kematangan organ-organ seks dan hormon-hormon seks. Karakter seks primer adalah organ-organ yang diperlukan bagi pembiakan. Bagi wanita, organ-organ ini terdiri daripada ovari, uterus dan vagina. Manakala bagi lelaki adalah testis, kelenjar prostat, zakar dan vesikel air mani. Tanda utama kematangan seks bagi wanita adalah keluarnya darah haid, manakala bagi lelaki adalah kehadiran sperma. Tanda yang lebih jelas lagi adalah apabila mereka mengalami mimpi basah iaitu mengalami pancutan air mani semasa tidur.

Karakter seks sekunder adalah tanda fisiologi kematangan seks yang tidak terlibat secara langsung dengan organ-organ seks. Bagi remaja perempuan, mereka mengalami pembesaran buah dada dan pelebaran tulang pelvis. Remaja lelaki pula mengalami pertumbuhan misai ataupun janggut, bahu yang melebar dan kedua-dua jantina mengalami perubahan suara, bertambah tinggi, mula ditumbuhi jerawat, tumbuhnya bulu-bulu ketiak dan kemaluan, nafsu seks meningkat dan badan berbau. Perubahan dan pertumbuhan ini menimbulkan pelbagai perasaan emosi seperti segan, takut, bimbang, rasa janggal, kaku dan tegang.

Kedatangan haid wanita adalah kemuncak di mana ia menunjukkan remaja itu sudah baligh. Haid berlaku apabila tisu-tisu pada dinding rahim luruh kerana tiada persenyawaan berlaku. Haid terjadi dua tahun selepas pembesaran buah dada. Namun, wanita hanya boleh hamil selepas 12 ataupun 18 bulan selepas haid pertama.

Kanak-kanak lelaki yang mengalami baligh lebih awal biasanya lebih popular di kalangan teman-teman, menjadi tumpuan gadis-gadis, selalu dilantik menjadi ketua, mempunyai tubuh berotot, tegap, sasa dan aktif dalam sukan. Namun, mereka juga mengalami tekanan kerana terpaksa menerima tanggungjawab yang lebih berat berbanding kanak-kanak seusia. Ini memaksa mereka bertingkah laku lebih matang daripada usia sebenar.

Bagi kanak-kanak lelaki yang lewat baligh pula, mereka mengalami lebih banyak tekanan. Mereka rasa tersisih, kekurangan, lebih bergantung pada orang lain, agresif, merasa tidak selamat, memberontak pada ibu bapa dan mempunyai estim diri yang rendah. Walaupun mereka lambat matang dan bersikap keanak-anakan, tetapi mereka mempunyai masa yang lebih lama dalam zaman kanak-kanak kerana mereka kurang dibebani tanggungjawab dan tugas-tugas orang dewasa.
Bagi kanak-kanak perempuan yang baligh awal, mereka kurang bergaul, kelihatan lebih matang, malu dan menganggap negatif pada haid. Mereka mengalami estim diri yang rendah dan mempunyai bentuk badan yang buruk berbanding kanak-kanak yang lewat baligh. Ini kerana, mereka yang cepat baligh selalu mendapat perhatian guru-guru dan orang dewasa dan dilayan seperti orang dewasa sedangkan mereka masih kanak-kanak.

Mereka juga mempunyai bentuk tubuh yang lebih besar daripada kanak-kanak lelaki yang seusia. Ini menimbulkan rasa kurang selesa. Tetapi, apabila mereka dapat mengatasi masalah ini, ia mungkin membantu mereka menangani masalah hidup pada masa hadapan.

Peringkat remaja sentiasa dipenuhi konflik. Remaja perempuan yang sentiasa membantah ibunya, mengalami masa baligh lebih awal berbanding mereka yang mempunyai hubungan harmoni dengan ibunya. Ini mungkin disebabkan tekanan yang timbul akibat konflik dengan ibu serta pengeluaran hormon-hormon yang mempercepatkan masa baligh.

Haid menandakan kanak-kanak sudah menjadi wanita dewasa. Kanak-kanak yang mula didatangi haid mempunyai kesedaran yang lebih berkenaan kewanitaan. Mereka mula berminat dengan perhubungan berlainan jantina dan personaliti lebih matang. Pada masa dahulu, haid dianggap negatif dan menyebabkan ketidakselesaan serta memalukan. Namun, remaja sekarang lebih mempunyai kesedaran dan diberi persediaan serta pengetahuan haid supaya mereka lebih bersikap positif dan mengurangkan kemurungan semasa didatangi haid.

Trend Sekular

Kajian yang dibuat menunjukkan saiz tubuh badan dan berat remaja semakin bertambah. Ini menjadikan remaja mencapai ketinggian dan berat badan orang dewasa pada umur baligh. Keadaan ini dinamakan trend sekular dan berlaku sejak 100 tahun dahulu terutamanya di negara-negara industri. Mereka dikatakan mempunyai standard kehidupan yang tinggi di mana kanak-kanak mempunyai taraf kesihatan yang baik, lebih subur kerana mendapat nutrien yang cukup, protein yang tinggi dalam makanan, persekitaran hidup yang lebih selesa dan meningkatnya perubahan pada pelbagai gen yang berbeza.

Contohnya, di negara membangun New Guinea, kanak-kanak perempuan mula didatangi haid pada peringkat umur antara 15 hingga 18 tahun. Manakala di negara industri USA, purata umur kanak-kanak perempuan mula haid adalah antara 12 hingga 13 tahun. Walau bagaimanapun, trend sekular ini dikatakan akan berakhir terutamanya di USA kerana ia mencapai tahap maksimum bagi genetik pada umur itu supaya terus membesar.
Dalam penampilan fizikal, kebanyakan remaja lebih memberi perhatian pada rupa paras berbanding aspek-aspek diri yang lain. Antara diri ideal yang diingini oleh remaja lelaki adalah tinggi, bahu lebar, gagah serta tegap. Manakala, bagi gadis pula, mereka inginkan rupa paras yang cantik, tubuh menawan dengan kulit dan rambut yang cantik. Remaja perempuan lebih menitik-beratkan rupa paras berbanding remaja lelaki yang sebaya dan ini menimbulkan tekanan di dalam diri. Orang dewasa yang pada masa remaja dianggap menarik, mempunyai estim diri yang tinggi dan lebih gembira dalam hidup.

Jarang terdapat remaja mengalami masalah kesihatan yang berkaitan dengan ketidakupayaan dan penyakit kronik. Biasa-nya, masalah kesihatan ini adalah yang dapat dicegah dan berkaitan dengan personaliti, kemiskinan dan faktor-faktor gaya hidup.

Hakcipta Terpelihara • PTS Media Group Sdn Bhd (173482-A) © 2000 - 2024