Artikel

Konteks Masyarakat dan Budaya

oleh Helmi pada 22 Dec 2004

Bab 8 Konteks Masyarakat dan Budaya

Masyarakat memainkan peranan besar membentuk remaja cemerlang. Masyarakat bermula daripada jiran. Konsep kejiranan yang longgar menjadi punca utama meluasnya gejala sosial. Konsep kejiranan semakin luntur hari ini terutamanya di bandar-bandar utama di seluruh negara. Ada jiran yang tinggal selama tiga tahun tetapi masih belum mengenali jiran-jiran lain. Kegagalan mengenali jiran membuka peluang keemasan kepada penjenayah beroperasi terutamanya dalam aktiviti pecah rumah. Jiran sukar membezakan jiran sebenar dengan penjenayah yang berkeliaran di kawasan rumah mereka. Hal ini diakui oleh pihak polis sendiri.

Pengaruh Masyarakat

Sikap tidak kisah pada persekitaran menyebabkan urusan keselamatan harta dan nyawa masyarakat diserahkan kepada polis dan mahkamah sepenuhnya. Apabila berlaku jenayah, anggota masyarakat tidak mahu ambil tahu dan tidak melakukan sebarang tindakan membanteras seperti sekurang-kurangnya menelefon polis. Sikap individualisme menyebabkan tiada kawalan sosial ke atas remaja. Justeru, jiran dan persekitaran yang sesuai perlu dimantapkan.

Bagi membina generasi cemerlang melalui konsep kejiranan dan masyarakat penyayang memerlukan sekurang-kurangnya tiga tahun. Tetapi, menjadi remaja liar dan jahat cukup sekadar kurang daripada tiga hari. Tiga hari memadai bagi menjerumuskan remaja ke lembah gejala sosial, kejahatan dan kehinaan.

Konsep Budaya

Pengabaian bimbingan, asuhan dan pendidikan remaja mengakibatkan kelahiran pelbagai gejala sosial seperti samseng sekolah, budaya lepak, tidak minat belajar, vandalisme, berjudi, lari dari rumah, penyalahgunaan dadah dan pil khayal, bohjan, pengguguran dan pembuangan anak, budaya punk, skin head, black metal, lumba haram dan sebagainya.

Kesan gejala sosial kepada agama, bangsa dan negara begitu besar. Masyarakat menjadi kacau bilau, porak-peranda dan sengsara. Remaja menjadi tidak berharga dan hilang nilai individu. Ketidakstabilan negara yang disebabkan oleh gejala sosial dapat menggugat masa depan negara. Dalam erti kata lain, gejala sosial bertanggungjawab menggugat agama, bangsa dan tanah air. Kita tidak boleh menuding jari ke arah orang lain apabila berlaku perkara negatif dalam masyarakat seperti gejala sosial di kalangan remaja. Setiap orang mempunyai saham masing-masing. Justeru, langkah terbaik adalah menuding jari ke arah diri sendiri dan berusaha mengatasinya.

Antara faktor utama berlakunya gejala sosial di kalangan remaja pada hari ini adalah kelemahan dan keruntuhan institusi keluarga terutamanya kekurangan kasih sayang, perhatian, asuhan dan didikan akhlak daripada ibu bapa kepada anak-anak. Ibu bapa yang dibuai kebendaan dan mementingkan karier serta wang selalu mengabaikan tanggungjawab mereka ke atas anak-anak di rumah. Anak-anak dibiarkan hanyut dalam dunia khayalan yang menjerumuskan mereka ke lembah kehinaan. Mereka mudah menyimpang daripada lunas yang murni dan berakhlak. Kini, mereka hidup bebas tanpa segan silu dan tidak menghiraukan masyarakat apabila melakukan pelbagai gejala sosial. Kebebasan tanpa pedoman, batasan dan didikan agama akan berakhir dengan kehancuran.

Faktor rakan sebaya, persekitaran masyarakat, media massa dan kelemahan undang-undang memburukkan lagi keadaan. Ia juga menjadi pemangkin kepada meluasnya gejala sosial di kalangan remaja. Bagi remaja yang tercicir dalam persekolahan, kewujudan peluang-peluang pekerjaan di kawasan bandar ekoran pertumbuhan aktiviti perindustrian mengakibatkan penghijrahan meluas ke kawasan bandar. Penghijrahan remaja dari kampung bagi mencari pekerjaan di bandar-bandar mendatangkan pelbagai kesan langsung dan tidak langsung seperti masalah sosial, keluarga serta perubahan nilai dan sikap.

Pentingnya Budaya dalam Kajian Remaja

Mengikut Brewer dan Campbell (1976), budaya mempunyai kecenderungan iaitu:
- Apa yang berlaku dalam budaya mereka adalah semula jadi dan betul. Apa yang berlaku pada budaya lain bukan semula jadi dan tidak betul.
- Budaya mereka adalah baik dan ia juga baik kepada orang lain.
- Tingkah laku yang ditunjukkan adalah seperti yang dikehendaki oleh budaya mereka.
- Budaya mereka dibanggakan.
- Budaya orang lain adalah seteru.

Perlu dijelaskan, remaja bukan hanya di Malaysia sahaja. Mereka adalah remaja dunia yang perlu memahami budaya remaja lain. Mereka perlu berinteraksi dengan remaja lain di dunia melalui sistem komunikasi terkini yang canggih.

Model Perubahan Budaya

Kumpulan remaja dalam masyarakat menjadi subbudaya. Ia berkembang sejak 25 hingga 30 tahun lalu. Media dan penghijrahan memperkenalkan gaya remaja secara meluas di mana mereka pada masa ini mengubah budaya lain dalam masyarakat. Dalam subbudaya ini, remaja menerima satu sama lain kerana mereka bersatu menentang dunia orang dewasa. Sejak mereka tidak suka penyertaan penuh dalam masyarakat orang dewasa, subbudaya mereka mencari jalan bagi mencapai status yang setanding.

Setiap remaja tidak ada pilihan melainkan menjadikan agama sebagai sumber penjana remaja cemerlang. Diri remaja perlu dikukuhkan dengan unsur kerohanian yang mantap sehingga berupaya melakukan jihad menentang segala cabaran masa depan yang lebih hebat. Remaja perlu mengetahui, memahami dan menghayati matlamat hidup di dunia. Mereka perlu sedar dari mana mereka datang, kenapa mereka dijadikan dan ke mana mereka akan dikembalikan. Hal ini menjadikan remaja bertanggungjawab kepada diri sendiri, agama, bangsa dan negara.
Mendekatkan diri dengan agama adalah peluang menjamin masa depan remaja yang lebih cerah dan cemerlang. Pegangan agama yang kukuh dan berkesan perlu bagi menimbulkan keinsafan dan kesedaran supaya remaja memanfaatkan masa remaja dengan menimba ilmu dan menghormati guru demi kebahagiaan dunia dan akhirat. Remaja juga perlu mempunyai daya tahan daripada segi fizikal dan mental bagi merealisasikan cita-cita diri, agama, bangsa dan negara. Ciri-ciri jati diri, waja diri dan kawalan diri yang kukuh perlu dimiliki oleh remaja. Ia berfungsi mengawal perasaan, emosi dan nafsu yang dapat menjerumuskan remaja ke lembah gejala sosial yang hina.

Remaja juga perlu mempunyai sifat sopan santun dan adab mulia seperti mempunyai tutur kata, maruah dan kelakuan yang dikehendaki oleh masyarakat. Meluahkan rasa syukur di atas nikmat yang diberikan oleh Tuhan sama ada kecil ataupun besar adalah dituntut. Islam mementingkan kesederhanaan dan tidak menggalakkan perbelanjaan yang boros dan mengikut nafsu.

Konsep ilmu dituntut oleh agama. Orang yang memiliki sijil perlu meneruskan pengajian ke peringkat diploma dan ijazah. Bagi mereka yang memiliki ijazah pertama perlu meneruskan pengajian sehingga peringkat ijazah kedoktoran. Umur tidak menjadi halangan. Mereka juga perlu bersedia menguasai apa jua teknologi canggih bagi menyempurnakan pekerjaan dan urusan kehidupan manusia di dunia ini.

Dalam era ledakan teknologi maklumat yang canggih ini, remaja perlu meningkatkan ketiga-tiga kemahiran iaitu konseptual, komunikasi dan teknikal terutamanya teknologi maklumat. Semua kemahiran ini diperlukan sebagai persiapan bagi menyambung hidup dan mencari rezeki dalam apa sahaja bidang pekerjaan seperti perniagaan, perindustrian, pertanian, pendidikan, sains, teknologi, perubatan dan sebagainya.

Contohnya, dalam bidang ekonomi, remaja adalah pelapis ahli korporat dan ahli perniagaan pada masa hadapan. Mereka perlu menjalankan urus niaga secara jujur dan amanah daripada segi cara, barangan dan agihan keuntungan. Mereka juga perlu menjauhkan diri daripada rasuah, penipuan dalam urus niaga dan barangan.

Daripada segi politik pula, remaja adalah pemimpin pelapis masa akan datang. Semasa berada di sekolah dan institut pengajian tinggi (IPT), individu yang mempunyai bakat kepimpinan dapat mengambil kesempatan mengembangkan bakat mereka melalui penyertaan di dalam persatuan dan kelab-kelab sebagai pemimpin dan aktivis utama. Di IPT, mereka perlu menggunakan kesempatan menjadi pemimpin pelajar seperti pemimpin majlis perwakilan pelajar dan sebagainya. Selepas terpilih menjadi pemimpin negara, mereka perlu menjauhkan diri daripada politik wang, rasuah, menyalahgunakan kuasa, menyalahgunakan kedudukan dan menggunakan taktik kotor bagi mengekalkan kuasa.

Remaja juga dipertanggungjawabkan menjaga keselamatan dan kesejahteraan jasmani sendiri. Ini kerana rohani dan jasmani sentiasa bergantungan antara satu sama lain. Antara yang terpenting adalah menjauhkan diri daripada penyakit. Agama mengutamakan pencegahan daripada pengubatan. Memelihara diri daripada makanan dan minuman keras dituntut oleh agama. Manakala, daripada segi berpakaian, remaja perlu memakai pakaian yang sopan dan tidak menjolok mata.

Pengaruh Televisyen, Muzik dan Media, Teknologi, Komputer dan ICT

Media massa yang terdiri daripada media cetak dan media elektronik. Contoh media cetak adalah seperti akhbar, majalah, komik, buletin, buku dan sebagainya. Manakala, media elektronik pula terdiri daripada televisyen, video, komputer, internet dan sebagainya. Media ini adalah sebahagian keperluan asas hidup remaja.

Terdapat pelbagai unsur negatif yang disalurkan melalui media massa terutamanya media elektronik seperti filem ganas dan lucah yang tidak sesuai dengan agama, akhlak, budaya timur dan wawasan negara. Laporan televisyen dan akhbar menunjukkan gejala sosial remaja berlaku selepas menonton filem berunsur ganas. Desakan keluarga dan kuasa sivik membantu menghalang remaja daripada terlibat dengan aliran muzik rock yang negatif dan kesan umum daripada rakaman video. Permainan video dan pengaruh televisyen cukup sinonim dengan pelbagai masalah sosial yang berlaku di kalangan remaja.

Keluarga, khususnya ibu bapa, perlu mengehadkan dan menapis pembelian video ataupun cakera padat di kalangan anak remaja. Namun pada hari ini, mereka sendiri akhirnya mengalah kepada tuntutan remaja yang dapat membelinya dengan wang mereka sendiri dan menonton apabila ibu bapa tiada di rumah sama ada di bilik sendiri ataupun di rumah rakan lain.
Pengaruh muzik, khasnya lirik-lirik muzik rock sering menimbulkan ketidakfahaman terutamanya pendengar golongan muda yang masih pada peringkat konkrit dalam perkembangan kognitif mereka. Perkara ini perlu diberi tumpuan kerana ia membawa kesan yang jelas iaitu menjejaskan kefahaman mereka berkenaan suatu perkara. Remaja memperuntukkan masa purata lebih dari dua jam sehari menonton rancangan itu. Kebanyakan mereka menonton bagi mendapatkan maklumat yang relevan dengan dunia sosial mereka, menghargai muzik, berseronok atau berhibur semata-mata.

Tempoh menonton video muzik adalah sama seperti menonton televisyen. Ia hanya dikecualikan apabila remaja merasa keseorangan. Kadangkala remaja turut menyanyi dan menari seperti di dalam video. Oleh itu, kajian yang dilakukan bagi melihat peranan ibu bapa mengawal pengaruh media ke atas anak mereka masih lagi menjadi isu. Kajian juga mendapati, ibu bapa lebih cenderung menetapkan masa bagi menonton VCR kepada anak lelaki berbanding anak perempuan.

Terdapat pelbagai pandangan dalam menyatakan kesan televisyen. Ada pihak menyatakan televisyen membawa kesan yang relatif kepada kepelbagaian sifat atau tingkah laku negatif. Tetapi ada pula yang menyangkal. Oleh itu, bagi menyampaikan makna video dan kesannya memerlukan interaksi antara video dan individu terbabit. Apa yang pasti, televisyen, video rakaman dan sebarang pembaharuan teknologi mempunyai potensi yang baik dalam bidang pendidikan, teknologi maklumat, sosial dan psikologi.

Oleh itu, media massa perlu dimanfaatkan bagi membina minda, dan menerapkan nilai-nilai murni serta akhlak mulia. Program-program seperti 3R, kuiz dan sebagainya memenuhi hasrat ini. Justeru, program seperti ini perlu dipertingkatkan lagi.

Bahan-bahan penerbitan seperti Dewan Masyarakat, Dewan Siswa dan sebagainya berupaya meningkatkan kesedaran dan keinsafan remaja pada tanggungjawab mereka. Penerbitan majalah seperti ini perlu diperbanyakkan dan diperkukuhkan lagi persembahannya supaya dapat menarik remaja ke arah pembentukan minda yang sihat.

Muzik sememangnya diminati remaja. Ia perlu dimanfaatkan bagi meningkatkan kesedaran kemanusiaan, keimanan dan keagamaan di kalangan remaja. Kumpulan Rabbani dan sebagainya adalah contoh terbaik di mana muzik dan liriknya dapat dimanfaatkan bagi menyebarkan perkara yang berkaitan dengan kemanusiaan dan agama.

Rumusan

Peranan masyarakat dalam membentuk remaja cemerlang adalah besar. Suasana persekitaran yang kondusif dapat melahirkan remaja yang cemerlang serta menyumbang kepada pembinaan masyarakat madani.

Hakcipta Terpelihara • PTS Media Group Sdn Bhd (173482-A) © 2000 - 2024