Artikel

Gempa Bumi Cetuskan Tsunami di Jepun

oleh Roziyah pada 11 Mar 2011

Satu gempa bumi kuat bermagnitud 8.8 pada skala richter melanda Pantai Timur Honshu, Jepun mencetuskan tsunami setinggi empat meter.

Tsunami yang menghayutkan kereta dan bangunan di sepanjang pantai berkenaan.

Media juga memaparkan berlakunya banjir dengan puluhan kereta, kapal serta bangunan dihanyutkan air.

Media juga melaporkan, terdapat sebuah kapal besar yang dibawa arus deras melanggar pemecah ombak di bandar kesunnuma di Wilayah Miyagi.

Agensi meteorologi mengeluarkan amaran tsunami bagi kawasan pantai Pasific seluruh Jepun.

Stesen televisyen nasional Jepun turut mengeluarkan peringatan kepada mereka yang berada di kawasan berdekatan pantai agar berpindah ke kawasan tanah lapang yang lebih selamat.

Pusat amaran Tsunami Pasifik di Hawaii juga mengeluarkan amaran tsunami kepada Jepun, Rusia, Pulau Marcus dan Marina Utara. Amaran berjaga-jaga juga dikeluarkan kepada Taiwan, Filipina, Indonesia, dan Hawaii.

 

Petikan Media

Reuters melaporkan tsunami setinggi 10 meter membadai pelabuhan Sendai dengan ombak terus merosakkan kawasan pertanian dan menghanyutkan rumah, kenderaan dan apa-apa sahaja di laluannya.

Keadaan itu juga dilaporkan menyebabkan kebakaran dan tanah runtuh. Pusat penapisan di Chiba berhampiran Tokyo juga dilaporkan sedang terbakar.

Setakat ini bekalan elektrik kepada empat juta penduduk di Tokyo dan kawasan sekitarnya diputuskan.

Kebanyakan laluan di Tohoku yang menyambung ibu negara Jepun itu dengan kawasan utara terputus.

Perkhidmatan keretapi ke utara Jepun juga dihentikan manakala lapangan terbang antarabangsa Narita ditutup. Ribuan penumpang terkandas dan dipindahkan manakala semua penerbangan dibatalkan.

Lapan pesawat tentera sedang meronda dan memantau kesan tsunami yang memusnahkan negara paling maju di Asia itu.

Perdana Menteri Jepun, Naoto Kan mengarahkan tentera melakukan apa yang terdaya bagi membantu keadaan. Beliau dijangka akan mengadakan mesyuarat jemaah menteri.

Menurut jurucakap kerajaan lebih banyak tsunami dijangkakan.

Bank pusat Jepun pula memberi jaminan akan memastikan kestabilan pasaran kewangan.

Beberapa pusat tenaga nuklear juga ditutup secara automatik.

Serentak dengan perkembangan itu, beberapa negara seperti Cina dan Taiwan juga mengeluarkan amaran tsunami kepada penduduknya supaya berpindah.
- Reuters

Hakcipta Terpelihara • PTS Media Group Sdn Bhd (198801006125) © 2000 - 2025