Artikel
Rebiu: Filem ‘Hikayat Merong Mahawangsa’
oleh [email protected] pada 11 Mar 2011
Menonton sebuah filem epik Melayu besar yang diadaptasi dari kitab cerita sejarah lama 'Hikayat Merong Mahawangsa', ternyata suatu pengalaman yang luarbiasa. Ianya memaparkan babak-babak penuh aksi dengan watak-watak mitos yang sarat penggunaan kesan khas visual(CGI) dan set, busana serta props zaman lampau yang begitu anti-ortodoks dibandingkan dengan filem-filem tempatan dewasa ini.
Secara dasarnya, cerita ini mengisahkan seorang nakhoda dan pahlawan yang bernama Merong Mahawangsa yang dikatakan berasal dari keturunan Iskandar Zulkarnain. Pada tahun 120SM, Empayar Rom ketika itu dibawah pemerintahan Hadrian sementara di negara China, Dinasti Han merupakan sebuah empayar yang kuat dan telah memperluaskan pemerintahannya ke negara Asia Tengah.
Sewaktu angkatan Rom sedang membaik pulih kapal mereka di Goa, mereka meminta pertolongan Merong Mahawangsa mengiringi Putera Rom ke Langkasuka (dikatakan terletak di utara Malaysia) untuk berkahwin dengan seorang Puteri China yang cantik dari Dinasti Han. Bagaimanapun, puak lanun dari Geruda mempunyai perancangan yang berbeza. Mereka memutuskan untuk menculik Puteri China dan menjadikannya sebagai tebusan. Di hujung pengairan Selat Melaka, Merong Mahawangsa dan angkatannya diserang oleh Geruda. Maka disinilah bermulanya pengembaraan dan cabaran sebenar buat pahlawan jati filem ini.
Filem epik/aksi berjudul 'Hikayat Merong Mahawangsa' terbitan KRU Studios ini telah mengambil masa lebih dua bulan bagi sesi penggambaran prinsipal. Penggambaran yang bermula pada awal bulan Jun, 2009 ini juga telah dijalankan di beberapa buah negeri di Malaysia, yang mana majoritinya di negeri Terengganu. Antara lokasi-lokasi lain termasuk di Kuala Lumpur, Pahang dan beberapa lokasi terpilih yang lain.
Ianya dibintangi oleh barisan pelakon yang terdiri dari dalam dan luar negara, antaranya termasuk bintang utama Stephen Rahman Hudges(Malaysia/UK), Jing Lu(UK), Gavin Stenhouse(UK), Hendrik Norman(Sweden), Dato Rahim Razali(Malaysia), Wan Hanafi Su(Malaysia), Ummi Nazeera(Malaysia), Khir Rahman(Malaysia), Craig Fong(Australia). Pelakon-pelakon tempatan yang lain termasuk Nell Ng, Keith Chong, Jehan Miskin, Deborah Henry, Ravi Sunderlingam, Kuswadinata, Mano Maniam dan Faiz Aizuddin Azmi (pemenang Drama Pendek ERA).
Hikayat Merong Mahawangsa dibawah arahan Yusry Abdul Halim yang telah membawa pelbagai kelainan dan pencetus penggunaan teknologi CGI di Malaysia dalam setiap filem arahannya. Filem ini turut menggunakan barisan kumpulan seni mempertahankan diri yang berpengalaman dibawah bimbingan Chan Man Cheng. Beliau pernah terlibat didalam kapasiti yang sama bagi filem-filem blockbuster antarabangsa antaranya Hellboy 2, Rush Hour dan Police Story.
Filem ini menelan belanja RM8juta yang sekaligus menobatkannya sebagai filem termahal dalam tempoh 5 tahun kebelakangan ini dan kedua termahal dalam sejarah industri perfileman tempatan selepas filem 'Puteri Gunung Ledang'. Namun, ini tidak bermakna ianya kurang dari segi kualiti berbanding dengan Puteri Gunung Ledang kerana KRU Studios percaya bahawa penjimatan kos dapat dibuat melalui penggunaan teknologi CGI. Dengan adanya CGI, penyediaan set tidak perlu menelan belanja yang sangat besar. Hanya prop dan set utama dibina seperti empat (4) buah kapal, perkampungan Melayu pada kurun ke-2, pelabuhan kapal, set gambaran Istana di Rom, China dan juga pelabuhan Goa di India. Walaubagaimanapun, kejayaan pemibikinan filem ini mungkin tidak dapat dilaksanakan tanpa kerjasama dan sokongan yang diberikan oleh MOSTI (Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi) melalui dana “e-content”.
Sementara filem ini menjalankan sesi penggambarannya, KRU Studios mengusahakan strategi pengedaran filem ini ke peringkat antarabangsa dengan menandatangani MOU dengan salah sebuah studio gergasi iaitu Universal Pictures International Entertainment Ltd. Syarikat ini telah diberikan “First Option” untuk mengedarkan filem Hikayat Merong Mahawangsa ini ke seluruh dunia apabila siap kelak. Hikayat Merong Mahawangsa dijangka siap sepenuhnya untuk tayangan umum pada September 2010.
KRU berterima kasih di atas segala sokongan yang diperoleh dari semua pihak termasuk sektor-sektor kerajaan, swasta, media dan yang paling utama kepada MOSTI dan Kerajaan Negeri Terengganu kerana banyak membantu dalam pembikinan filem ini. KRU juga berharap agar kerjasama ini dapat dipertingkatkan lagi di masa-masa akan datang untuk mencapai wawasan kerajaan dalam menjadikan Malaysia sebuah negara pengeluar utama di seluruh dunia bagi industri media dan hiburan.
Fakta-fakta menarik mengenai filem 'Hikayat Merong Mahawangsa':
1. Menurut sumber, lapan minit daripada satu jam 50 minit sedutan aksi-aksi menarik filem 'Hikayat Merong Mahawangsa' telah ditayangkan ketika di European Film Market, Berlin, baru-baru ini. Ia telah berjaya menarik sebanyak 25 buah negara untuk mendapatkan hak pengedaran filem tersebut.
2. Filem epik terbitan KRU Studios arahan Yusri Abdul Halim itu berjaya menarik minat sejumlah pembeli antarabangsa semasa berlangsungnya program pasaran filem itu walaupun baru sahaja selesai proses produksinya.
3. Menurut Ketua Pegawai Eksekutif KRU Studios, Norman Abdul Halim, antara negara yang bersetuju untuk membeli hak pengedaran filem HMM ialah United Kingdom, Perancis, Jerman, Rusia dan negara Asia Barat.
4. Untuk pasaran luar negara, filem ini ditukar tajuk menjadi 'The Malay Chronicles' dan terpulang kepada negara tersebut untuk mengekalkan bahasa yang digunakan atau dialih bahasa.
5. Filem epik yang menelan kos penerbitan RM8 juta ini turut terlibat dengan promosi pada program pasaran filem antarabangsa lain seperti Hong Kong Film Market, Cannes Film Festival dan American Film Market. Dianggarkan, ianya akan terus mendapat sambutan dan meningkatkan lagi penjualan di negara-negara lain sehingga mencapai 50 hingga 60 buah negara yang membelinya.