Artikel
Guru Di Pahang Perlu Baca 6 Buah Buku dalam 6 Bulan
oleh Roziyah pada 03 Nov 2011
Jabatan Pelajaran Negeri Pahang mengarahkan guru-guru di negeri terbabit membaca 6 buah buku dalam masa 6 bulan.
Tindakan ini bagi menggalakkan minat membaca di kalangan guru sekolah.
Buku yang wajib dibaca oleh guru-guru di negeri Pahang adalah Haluan Kerja Pendidikan yang ditulis sendiri oleh Ketua Pengarah Pelajaran, Kementerian Pelajaran Malaysia, Datuk Seri Abdul Ghafar Mahmud.
"Buku-buku lain yang perlu dibaca oleh guru adalah buku berkaitan pengurusan, pendidikan dan motivasi," jelas Pengarah Pelajaran Pahang, Tuan Yahya Zainal Abidin.
"Guru di sekolah perlu mempunyai banyak pengetahuan dalam usaha mendidik pelajar," jelas beliau yang dipetik media.
"Melalui pembacaan, guru juga dapat menjadi ikon dan ikutan terbaik kepada pelajar itu sendiri," jelas beliau lanjut.
Tuan Yahya menjelaskan semua guru diwajibkan menghantar laporan rumusan daripada setiap buku yang sudah dibaca kepada Pejabat Pelajaran Daerah.