Artikel
KDN Arah Al-Quran Berhologram Bermula November
oleh Roziyah pada 02 Nov 2011
Bermula November ini, Kementerian Dalam Negeri (KDN) mengarahkan semua pengedar dan pengeluar al-Quran menyertakan pelekat hologram pada al-Quran yang ingin dijual di pasaran.
Setiausaha Bahagian Kawalan Penerbitan dan Teks Al-Quran, Abdul Aziz Md nor menjelaskan hologram al-Quran itu bagi mengatasi masalah Al-Quran yang tidak sah dijual di Malaysia.
Menurutnya semua teks al-Quran yang ingin dicetak, diterbit dan dijual perlu mendapat Perakuan Betul Pruf Akhir Teks Al-Quran dari Lembaga Pengawalan dan Perlesenan Pencetakan Al-Quran KDN terlebih dahulu.
Pengedar dan pengeluar al-Quran diberi masa sehingga Oktober lalu bagi menyertakan pelekat hologram pada al-Quran yang ingin dijual.
"Menurut KDN, ini bagi mengatasi masalah Al-Quran yang tidak 'sah' dijual di Malaysia. Dari segi niatnya memang bagus dan patut kita semua sokong. Dari segi pelaksanaan objektif ini, kami mohon supaya dibuat kajian yang lebih kemas," jelas Pengarah Urusan PTS, Tuan Arief Hakim Sani Rahmat.
"Ramai penerbit al-Quran yang membantah kerana langkah ini akan menyebabkan harga al-Quran naik tanpa ada sebab yang munasabah," jelas beliau lanjut.
Hologram yang dilengkapi dengan ciri keselamatan berteknologi tinggi dikatakan berupaya membantu pihak KDN mengesan penerbit dan pencetak kitab suci terbabit sekiranya wujud masalah berbangkit termasuk kesilapan dalam al-Quran itu sendiri.