Artikel
HAMKA Kembali: Edisi Baharu untuk Pembaca Masa Kini
oleh Nor Fadhilah Fauzan pada 25 Apr 2026
Sebagai usaha menghargai legasi pemikiran Buya HAMKA serta memperluaskan capaian karyanya kepada generasi baharu, PTS Media Group tampil dengan inisiatif penerbitan semula karya-karya agung beliau dengan wajah yang lebih segar dan kontemporari.
Antara novel terkenal HAMKA yang telah diterbitkan semula termasuk Ayahku, Merantau ke Deli, Tenggelamnya Kapal van der Wijck, Di Bawah Lindungan Kaabah dan Tuan Direktur. Karya-karya ini sebelum ini telah melalui beberapa edisi penerbitan, namun bagi tahun 2026, PTS mengambil langkah memperbaharui reka bentuk kulit buku serta memperkemas penerbitan agar lebih sesuai dengan citarasa pembaca masa kini, khususnya generasi muda.
Usaha ini bukan sekadar perubahan pada aspek visual, tetapi juga satu pendekatan strategik untuk menghidupkan kembali karya-karya klasik dalam bentuk yang lebih dekat dan relevan. Dengan wajah baharu yang lebih menarik, diharapkan karya HAMKA dapat terus menembusi kelompok pembaca baharu tanpa menghilangkan nilai dan kekuatan asalnya.
Selain novel, PTS turut menerbitkan semula karya besar HAMKA, iaitu Tafsir al-Azhar, dengan nafas dan pendekatan yang lebih teliti. Edisi terkini ini telah melalui proses penelitian dan semakan oleh pihak berautoriti seperti Kementerian Dalam Negeri (KDN), Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) dan Universiti Sains Islam Malaysia (USIM). Langkah ini memastikan kandungan tafsir tersebut lebih tepat, sahih dan diyakini, sekali gus mengangkat lagi kualiti penerbitannya.
Dengan pembaharuan dari segi kandungan dan reka bentuk, Tafsir al-Azhar edisi baharu ini dijangka menjadi rujukan penting buat pembaca yang ingin mendalami tafsir al-Quran dalam konteks yang lebih jelas dan tersusun. Reka bentuk kulit baharu yang akan diperkenalkan tidak lama lagi juga mencerminkan keseriusan PTS dalam memartabatkan karya agung ini.
Sebagai permulaan kepada usaha ini, PTS akan mengadakan pelancaran awal bagi edisi baharu karya-karya HAMKA dan zine HAMKA sempena acara Kota Baca pada 25 April 2026, yang akan disempurnakan oleh Tuan Syamsul Amri A. Razak (SABAR). Acara ini menjadi platform untuk memperkenalkan wajah baharu karya HAMKA kepada umum sebelum pelancaran rasmi yang lebih besar di PBAKL akan datang.
Dengan semangat dan pendekatan baharu ini, PTS berharap dapat memperkenalkan semula HAMKA kepada generasi masa kini, bukan sekadar sebagai penulis klasik, tetapi sebagai pemikir yang kritis dalam mengangkat isu sosial melalui karya sastera. Pemikiran beliau yang tajam dan penuh nilai masih relevan untuk difahami dalam konteks masyarakat hari ini. PTS juga mengharapkan usaha ini mendapat sokongan daripada para pembaca setia karya HAMKA serta mereka yang baru ingin mengenali dunia pemikiran beliau. Kerana dalam setiap karya HAMKA, tersimpan bukan sekadar cerita tetapi cerminan kehidupan, masyarakat dan nilai yang tidak pernah luput ditelan zaman.

