Artikel
Mengapa Karya HAMKA Kembali Relevan Hari Ini?
oleh Nor Fadhilah Fauzan pada 23 Apr 2026
HAMKA, merupakan seorang tokoh intelektual Islam, penulis, wartawan dan pemikir yang berpengaruh di Nusantara. Keupayaan beliau menggabungkan ilmu agama dengan realiti kehidupan menjadikan karya-karyanya bukan sahaja bernilai dari sudut kesusasteraan, malah sarat dengan pemikiran yang mendalam dan bersifat merentas zaman. Beliau juga merupakan seorang tokoh ulama dan sasterawan yang bukan sahaja terkenal melalui karya novel, malah turut menyumbang dalam bidang tafsir al-Quran. Antara karya agung beliau ialah Tafsir Al-Azhar, yang ditulis sekitar tahun 1950-an hingga 1960-an dan masih kekal relevan serta menjadi rujukan masyarakat hingga hari ini. Walaupun telah hampir satu abad berlalu, karya-karya Hamka masih kekal relevan kerana mengangkat tema cinta, agama, dan nilai kemanusiaan yang bersifat universal.
Persoalannya, mengapa karya HAMKA kembali mendapat perhatian dan kekal relevan pada hari ini?
Pertama, karya-karya HAMKA mengangkat isu kemanusiaan yang bersifat universal. Novel seperti Di Bawah Lindungan Kaabah, Tenggelamnya Kapal van der Wijck dan Merantau ke Deli bukan sekadar kisah cinta atau konflik individu, tetapi membicarakan soal maruah, perbezaan darjat, tekanan sosial dan pencarian makna hidup. Isu-isu ini masih berlaku dalam masyarakat moden, menjadikan pembaca hari ini mudah mengaitkan diri dengan watak dan jalan cerita yang dibawakan.
Kedua, karya HAMKA mencerminkan realiti sosial masyarakat dengan pendekatan yang jujur dan kritis. Melalui penceritaan yang berlatarkan budaya Minangkabau, beliau menyoroti pertembungan antara adat dan perubahan zaman. Konflik antara tradisi dan kemodenan yang digambarkan dalam karya-karya beliau masih relevan, terutama dalam dunia hari ini yang semakin pantas berubah dan sering menguji nilai serta identiti masyarakat.
Selain itu, karya-karya beliau turut menjadi bahan penting dalam kajian akademik, khususnya dalam bidang sosiologi dan kesusasteraan. Ini kerana HAMKA bukan sekadar bercerita, tetapi menganalisis masyarakat melalui naratif, menjadikan karyanya sebagai rujukan dalam memahami struktur sosial, nilai budaya dan dinamika kehidupan manusia.
Ketiga, gaya penulisan HAMKA yang ringkas tetapi menyentuh jiwa menjadikan karyanya mudah diakses oleh pelbagai lapisan pembaca. Walaupun ditulis dalam konteks zaman yang berbeza, bahasa dan emosi yang digunakan tetap dekat dengan pembaca masa kini. Inilah yang menjadikan karya beliau terus “hidup” dan tidak terasa lapuk.
Tambahan pula, kerelevanan karya HAMKA selain novel iaitu Tafsir al-Azhar terletak pada pendekatan beliau yang menggunakan bahasa yang mudah difahami serta dekat dengan kehidupan masyarakat. Beliau bukan sahaja menghuraikan maksud ayat-ayat al-Quran, malah mengaitkannya dengan realiti sosial, politik dan cabaran kehidupan manusia. Pendekatan ini menjadikan tafsir beliau sentiasa segar dan sesuai merentas zaman.
Selain itu, nilai-nilai yang diketengahkan seperti keikhlasan, keadilan dan pembentukan akhlak menjadikan karya ini bersifat universal. Sama seperti novel-novel beliau, HAMKA sentiasa menekankan pembinaan jiwa dan hubungan manusia dengan Tuhan. Oleh itu, walaupun masa terus berlalu, karya-karya HAMKA tetap hidup dan memberi manfaat kepada generasi masa kini.
Usaha penerbitan semula oleh pihak seperti PTS Media Group dengan reka bentuk yang lebih segar dan kontemporari telah membantu memperkenalkan karya HAMKA kepada generasi baharu. Pendekatan ini menjadikan karya klasik lebih mesra pembaca muda, khususnya generasi generasi kini yang mencari bahan bacaan yang bukan sahaja menarik, tetapi juga memberi makna.
Akhirnya sekali, kekuatan sebenar karya HAMKA terletak pada kemampuannya menyentuh persoalan asas kehidupan manusia—tentang cinta, pengorbanan, iman dan nilai diri. Walaupun zaman berubah, persoalan ini tetap sama. Justeru, tidak hairanlah karya-karya HAMKA terus dibaca, dikaji dan dihargai hingga ke hari ini. HAMKA bukan sekadar penulis pada zamannya, tetapi seorang pemikir yang meninggalkan warisan yang terus relevan bukan hanya untuk dibaca, tetapi untuk difahami dan direnungkan dalam kehidupan moden.

