Artikel

Hantu Kutip Hutang: Hutang Tetap Kubawa Mati

oleh Izzati Nadia ZI pada 09 Mar 2016

Kepada para peminat Ain Maisarah, pasti anda berasa gembira apabila mengetahui penulis ini menerbitkan lagi sebuah buku di bawah kategori ‘Siri Seram’.

Tambahan pula, untuk siri seram terbaru ini, Ain Maisarah berkolaborasi dengan Eima Manan bagi menghasilkan novel terbaru mereka yang berjudul Hantu Kutip Hutang: Hutang Tetap Kubawa Mati.

Acapkali kita sering memandang remeh kepada isu hutang, bukan? Tambahan pula, terdapat sesetengah penghutang yang gemar menggunakan konsep ‘buat-buat lupa’ tentang hutang mereka kepada si pemiutang.

Bagaimana pula dengan isu mencuri? Sudahlah mencuri, kemudian menganiaya orang yang tidak bersalah dan menuduh mereka yang melakukannya. Hal ini adalah perkara yang sering berlaku di sekeliling kita.

Oleh itu, Ain Maisarah dan Eima Manan menghasilkan sebuah karya yang mampu memberi 1001 pengajaran kepada para pembaca.

Siri Seram kali ini pasti membuatkan para pembaca semakin teruja bagi menerokai isi penceritaan penulis buku ini. Lihat sahaja pada kulit buku, imej yang digunakan tampak lebih seram dan realistik berbanding dengan muka buku Siri Seram yang lain.

Malah, cerita yang ditulis kali ini lebih mistik dan mendebarkan. Ini kerana, sehingga ke akhir penceritaan, para pembaca pasti tertanya-tanya siapakah yang menghantui watak-watak berikut sehingga ada yang mati disebabkan oleh hantu ini.

Pada pendapat saya, novel kali ini mampu memberi banyak pedoman kepada para pembaca.

Bukan saya ingin menakutkan para pembaca dengan kepercayaan hantu mahupun mistik, tetapi tambahan kepada watak makhluk halus ini sekurang-kurangnya boleh membuatkan pembaca terpana dengan segala tragedi ekoran daripada isu hutang dan penganiayaan dalam kalangan sahabat-sahabat kita.

Selain itu, para penulis juga cuba mengetengahkan isu nilai persahabatan dalam novel ini. Betapa pentingnya tali persahabatan yang dipupuk perlu disemai sehingga ke akhir hayat. Bukannya untuk diputuskan atas alasan hasad dengki dan cemburu.

Dalam Islam juga, Allah melarang hamba-Nya memutuskan tali persahabatan mereka walaupun berlainan agama dan bangsa.

Untuk edisi seram kali ini, kisahnya berkisar tentang seorang pelajar yang dikenali sebagai Neeloma yang dituduh mencuri duit Kelab Supercef sebanyak RM 1,500.00. Majoriti ahli kelab tersebut menuduh Neeloma tanpa usul periksa.

Mereka tidak mahu mencari kebenaran kes kehilangan duit tersebut. Akibat daripada masalah ini, Neeloma dipulaukan. Secara mengejut, satu per satu ahli Kelab Supercef menemui ajal mereka disebabkan enggan membayar hutang.

Katanya ada hantu yang berupa gadis Cina kerap mengganggu ahli-ahli kelab ini. Siapakah hantu ini? Apakah kaitan hantu ini dengan Neeloma? Dan mengapa hantu ini pula yang marah pada ahli Kelab Supercef?


Misteri, bukan?

Hakcipta Terpelihara • PTS Media Group Sdn Bhd (173482-A) © 2000 - 2024