Artikel

Lolongan Tandas Sekolah: Dendam Yang Terkunci

oleh Izzati Nadia ZI pada 07 Mar 2016

Sebut sahaja nama Ain Maisarah, pasti para pembaca teringat pada siri novel ‘Aku Mahu…’. Gaya penulisan Ain Maisarah yang santai dan mengandungi elemen-elemen humor pasti mencuit hati sesiapa sahaja yang membacanya.

Tambahan pula, penulis ini gemar menggunakan nama selebriti-selebriti tempatan yang diubah sedikit namanya daripada nama asal sebagai watak-watak untuk penulisan beliau.

Usai Ain Maisarah menjadi terkenal melalui siri novelnya yang berjaya menambat hati ramai peminat cilik, kini beliau kembali dengan kolaborasi bersama Alam Anuar dalam menghasilkan ‘Siri Seram’ terbitan Blink Book Sdn. Bhd.

Untuk novel siri ini, Ain Maisarah bersama Alam Anuar bergabung  bagi mencipta sebuah novel yang bertajuk Lolongan Tandas Sekolah: Dendam yang Terkunci. Seperti novel seram lain, karya dua penulis ini tidak kurang hebatnya.

Latar belakang cerita ini berkisarkan tentang tandas sekolah dan saya pasti kita sering dimomokkan dengan kejadian dan khabar angin berkenaan mistik sewaktu berada di bangku sekolah suatu ketika dahulu.

Buku ini menceritakan tentang kejadian buli yang dahsyat di sebuah sekolah menengah elit, iaitu Sekolah Menengah Kebangsaan Sri Bangsar.

Ia dilakukan oleh tiga orang samseng sekolah yang dikenali sebagai Beto Kushairi (Kurus), Syarnaaz Ahmadi (Ganas), dan Johan Asaari (Botak).

Kejadian buli ini menyebabkan Airil Zafril,  seorang pengawas yang tidak bersalah mati apabila dia terbakar hidup-hidup dalam insiden ini. Ekoran daripada kejadian ini, roh Airil  sentiasa menghantui kehidupan tiga orang samseng ini di lokasi kematiannya.

Gaya penulisan mereka berdua begitu relaks dan bahasa yang digunakan juga sesuai untuk para pembaca yang masih bersekolah. Malah, jalan penceritaan novel ini juga menarik.

Para pembaca pasti berasa suspen dan bersifat ingin tahu apa yang akan terjadi di pengakhiran novel ini .

Walaupun begitu, para pembaca tidak perlu khuatir kerana di sebalik cerita seram ini, penulis masih sempat menyelitkan elemen lawak bagi mengurangkan perasaan takut para pembaca.

Isu yang penting untuk diperhatikan adalah kes buli yang berlaku dalam kalangan pelajar sekolah rendah ataupun menengah. Malah, di universiti juga tidak terlepas  daripada kejadian ini.

Elemen seram yang dimuatkan ini barangkali sebagai nilai tambah bagi menjadikan jalan penceritaan novel ini menarik dan dramatik.

Hakcipta Terpelihara • PTS Media Group Sdn Bhd (173482-A) © 2000 - 2024