Artikel

HASROM BIN HARON - Tokoh gerakan buku ilmiah

oleh Helmi pada 05 May 2006

Oleh ROOSFA HASHIM


HASROM BIN HARON, Ketua Penerbit Universiti Kebangsaan Malaysia mencecah usia 56 tahun pada 9 April lalu dan melepaskan jawatannya di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

Hasrom bertugas di Dewan Bahasa dan Pustaka, sejak Mei 1973 - sebagai penyunting dalam bidang penerbitan buku teks dan buku umum, serta penulisan majalah di Dewan Masyarakat sehingga tahun 1981. Pada akhir 1981, beliau berpindah ke UKM menjadi Pegawai Penerbitan pertama Penerbit UKM dan kekal hingga bersara pada 9 April 2006. Di samping itu Hasrom mengetuai Pusat Penerbitan dan Percetakan, UKM.

Beliau terlibat dalam gerakan kemajuan buku. Antara yang signifikan ialah mengasaskan Jawatankuasa Penerbitan Pengajian Tinggi Malaysia (PEPET) pada tahun 1986 bersama-sama Ariffin Siri, dari Dewan Bahasa dan Pustaka, Abdul Manaf Saad dari Universiti Malaya dan Akhiar Salleh dari Universiti Sains Malaysia. Kemudiannya gerakan ini dikenali pula sebagai Majlis Penerbitan Ilmiah Malaysia (MAPIM), sejak 1996 - selepas satu keputusan mesyuarat di Dewan Bahasa dan Pustaka, cawangan Sarawak, Kuching.

Selain itu Hasrom menjadi pegawai penerbitan universiti yang pertama pernah memegang jawatan Presiden Persatuan Penerbit Buku Malaysia (MABOPA), 1994-97 menggantikan Datuk Aziz Ahmad, pengasas Pustaka Antara.

Hasrom juga pernah memegang beberapa jawatan lain dalam badan penerbitan buku: Pengerusi Majlis Industri Buku Malaysia (MBIC), ahli Majlis Kemajuan Buku Kebangsaan Malaysia yang kemudiannya dikenali pula sebagai Majlis Buku Kebangsaan Malaysia (MBKM). Beliau juga mengasaskan syarikat Malaysian Book Promotions Sdn. Bhd., pada 1996 untuk mengurus Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur.

Pada tahun 1994 Hasrom mencetuskan idea penggabungan penerbit ilmiah di bawah satu payung atas nama Penerbit Universiti Malaysia. Secara prinsipnya, kegiatan penerbit ilmiah sedia ada diteruskan selain diwujudkan satu penerbit ilmiah berpusat. Dengan demikian, universiti baru mendapat manfaat tanpa perlu tergesa-gesa mewujudkan penerbit masing-masing.

Mulai tahun 2004, Hasrom terlibat pula dalam menggubal Dasar Buku Negara yang baru.

Dalam kegiatannya juga beliau telah menghadiri beberapa kursus, pameran buku, serta lawatan sambil belajar, antara lain kursus Banff Educational Publishing Workshop, 1987, Guelph University, Guelph, Kanada; menghadiri siri seminar International Association for Scholarly Publishing IASP, New Delhi (1986), Singapura (1985), Helsinki (1988) dan Salonika (1994); menghadiri Kongres Penerbit Sedunia - IPA di New Delhi dan di London, pameran buku di London, Tokyo, Frankfurt, Jakarta, Singapura; membuat lawatan sambil belajar bersama rakan-rakan PEPET pada tahun 1987 di bawah biaya IDRC, Kanada; menghadiri seminar penerbitan ilmiah anjuran Society for Scholarly Publishing, September 1987; selain itu di dalam negeri beliau giat menyelenggara sejumlah besar seminar, bengkel dan persidangan penerbitan ilmiah serta bidang penerbitan umum.

Hasrom lebih dikenali sebagai editor dan penerbit buku ilmiah. Selama suku abad, Hasrom telah membangunkan kegiatan penerbitan ilmiah dan bertanggungjawab terhadap penerbitan kebanyakan judul yang penting. Antara yang menggilapkan mahkota kejayaannya ialah usahanya memperkenalkan hampir tiga puluh siri penerbitan yang menggambarkan sosok ilmu tertentu.

Siri yang berjaya dimajukan termasuklah Siri Memoir dan Biografi UKM, Siri Ekonomi Semasa, Siri Patani Selindung Bayu, Siri Aceh Meukota Alam, Siri Syarahan Perdana UKM dan Siri Kajian Malaysia dan Antarabangsa. Tahun lalu Penerbit UKM menyambut penerbitan judul ke 1,000. Siri memoir dan biografi UKM yang paling berjaya dan dikenali itu antara lain telah menerbitkan memoir dan biografi Arena Wati, A. Samad Ismail, Pak Sako, Asri Muda, Khatijah Sidek, Ghazali Shafie, Tuanku Jaafar, Rashdan Baba, Zurinah Hasan, Shaharom Husain, Jins Shamsudin, Yang Quee Yee, Abdul Halim Nasir, R.H. Hickling, Kalam Hamidi, Haron Johari, Ahmad Boestamam, Datuk Onn Jaafar, Hamzah Hussin, Shamsiah Fakeh, Ibrahim Chik, Abdul Majid Salleh, dan Yusof Hashim.

Kunci yang membawa kejayaan Penerbit UKM membina judul kekal yang panjang ialah kepandaian Hasrom sebagai editor perolehan. Di mana-mana penerbit, editor perolehan adalah enjin yang menggerakkan program penerbitan. Editor perolehan yang baik adalah nadi dan nyawa kepada senarai judul terbitan yang panjang dan menjadi alasan ramai penulis datang lagi menerbitkan karya mereka selepas judul pertama. Pengarang mungkin kagum dengan cara pemasaran, pengeluaran dan reka bentuk buku - akan tetapi yang mengikat pengarang dengan penerbit adalah editornya. Pada hakikatnya, Hasromlah yang membentuk dan memberi wajah kepada hampir keseluruhan judul terbitan Penerbit UKM kerana ketika mula-mula melangkah ke situ yang baru sepuluh tahun ditubuhkan, jumlah terbitan adalah terlalu kecil berbanding sekarang.

UKM melepaskan seorang pegawai dan editor yang berpengalaman dan beriltizam tinggi untuk kemajuan penerbitan ilmiah. Persaraan telah menjemput beliau pergi, tetapi meninggalkan landasan yang jelas untuk kami editor muda di UKM meneruskan kerja penerbitan selepas ketiadaannya nanti. Selama bekerja di bawah Hasrom, jarang sekali kami bertembung dengan cuti hujung minggu tanpa bengkel penerbitan bersama beliau.

Tentang penerbitan ilmiah, beliau sentiasa bertegas bahawa kita mesti sentiasa bergerak ke sempadan baru ilmu pengetahuan Maknanya, sentiasa mengejar manuskrip baru dengan hujah, fakta, data dan dapatan paling baru.

Pada usia 56 tahun, suara Hasrom belum terhenti untuk terus mengungkapkan sesuatu yang baru dalam bidangnya. Ketiadaan bebanan tugas pentadbiran dan pengalamannya yang luas melaut dalam bidang penerbitan, tentu akan mengundang Hasrom terus memberikan lebih banyak tumpuan dalam kegiatan dan gerakan penerbitan ilmiah di Malaysia. Rakan-rakan profesional beliau dalam MABOPA, MBKM, MAPIM, MBIC dan beberapa pertubuhan lain telah sedia menanti kehadiran Hasrom yang tidak lagi terikat dengan pelbagai tanggungjawab pentadbiran.

Hakcipta Terpelihara • PTS Media Group Sdn Bhd (198801006125) © 2000 - 2025