Artikel

Ke arah mana kempen membaca

oleh Helmi pada 05 May 2006

Oleh HISHAM HUSSEIN


AGAK menarik dalam Dasar Buku Negara dinyatakan pada tahun 2000, akan terbentuknya masyarakat Malaysia yang membaca dalam erti kata yang sebenarnya. Dan kini, sudah pun hampir enam tahun, kita masih ‘bercakap’ tentang budaya membaca.

Ironinya! Sehingga kini juga kita tidak tahu apakah rupa bentuk masyarakat membaca yang ingin kita lahirkan: Apakah indikator utama masyarakat membaca, apakah ciri-cirinya?. Apakah ia bergantung semata-mata pada jumlah buku yang dibacanya?, Apakah ia juga bergantung jumlah buku yang diterbitkan setahun? Apakah ukuran kita? Apakah ia hanya cukup dengan merujuk kepada jumlah pengunjung yang luar biasa yang mengunjungi Ke Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur dan berkesimpulan masyarakat Malaysia memang membaca dan sanggup membeli buku dan bahan bacaan.

Pada hemat penulis, kempen gerakan budaya membaca memang sesuatu yang murni dan perlu berterusan dan kini ianya tidak lagi hanya berfokus pada bulan Julai bahkan sepanjang tahun. Ini merupakan langkah yang bijak yang diterajui oleh Kementerian Kebudayaan dan Warisan. Kempen budaya membaca tidak seperti kempen membeli produk yang mudah dilakukan dan jelas orientasinya. Kempen budaya membaca ialah kempen bercitra budaya dan ia bukannya budaya mengisi masa lapang dan memenuhi masa santai. Budaya membaca adalah satu tuntutan dalam kehidupan dan bukannya terikat dengan tujuan-tujuan tertentu seperti memenuhi tuntutan peperiksaan, kemajuan kerjaya, naik pangkat dan lain-lain variasi keperluan. Dan kita juga tidak boleh take for granted bahawa golongan cerdikpandai kita, para pensyarah, sarjana mahupun para profesional telah pun mengamalkan budaya membaca yang sejati. Barangkali mereka hanya membaca buku ‘bidang’ mereka tetapi bukan buku-buku umum untuk memperluaskan nuansa pemikiran yang mencendekiakan mereka.

Pengetahuan

Dalam kajian yang dijalankan oleh Malaysia New Generation Group Intellectuals (MANGGIS) yang diketuai oleh Dr. Abu Hassan Hasbullah (2006) kepada beberapa syarahan perdana yang disampaikan oleh para penyandang baru jawatan profesor sepanjang suku akhir 2005 hingga suku pertama 2006 jelas menunjukkan tidak ada satu pun pembentangan ilmu baru, sama ada dari aspek falsafah, teori, bentuk mahupun kandungan. Banyak pembentangan hanyalah bersifat ‘konstruksi monolog’ pengajian dan pengetahuan para sarjana yang dikutip lewat pengalaman berciri kesejarahan peribadi sedangkan keperluan pemajuan idea, teori, dan falsafah bagi disiplin ilmu yang dibincangkan untuk masa depan tidak ada sama sekali.

Lingkaran pengembangan idealisme, ideologisme, intelektualisme serta konstruksi dinamika terhadap wacana ilmu, teori dan bentuk serta kandungan ilmu, dan pembinaan falsafah ilmu yang baru tidak berlaku (Abu Hassan Hasbullah, 2006). Ini jelas menunjukkan simpto pembacaan yang rendah telah menyebabkan tidak adanya kebolehan pengolahan, penyerapan dan perekaciptaan teori dan praksis dalam mencabar isu-isu silam, kontemporari dan masa depan (Abu Hassan Hasbullah, 2006).

Kajian MANGGIS juga mendapati tidak sampai 10 peratus pelajar pascasiswazah di negara ini yang pernah membaca adikarya atau karya agung Melayu dan daripada 50 calon pascasiswazah, hanya lima orang yang pernah membaca Hikayat Hang Tuah dan Sejarah Melayu. Ini sesuatu yang agak membimbangkan kerana pembacaan karya agung Melayu amat berkaitan dengan pembinaan jati diri bangsa yang mengakar kepada sumber kebudayaan, kesenian, kesusasteraan dan peradaban bangsa. Harold Bloom dalam The Western Canon: The Book and School of the Ages (1994) telah menyenaraikan karya-karya agung Barat yang harus dibaca oleh ‘manusia Barat’ untuk mengetahui akar sejarah dan pembinaan jati diri pembinaan bangsa Barat. Harus diingatkan bahawa pembangunan negara berperadaban banyak lahir dari pemikiran-pemikiran sasterawan, budayawan, cendekiawan, intelektual dan bukan semata dari tindak-tanduk ahli politik dan pentadbir.

Kesemuanya ini banyak menimbulkan tentang persoalan pengisian sebenar budaya membaca di negara kita dan ke arah mana yang hendak kita tuju dalam melahirkan rupa bentuk pembaca yang diinginkan negara. Kita tidak boleh lagi beretorik kosong dalam kempen budaya membaca selagi kita tidak jelas bentuk pembaca yang ingin kita lahirkan. Dalam istilah Dato’ Hassan Ahmad (2006), kita perlukan golongan pembaca umum atau general readers yang membaca buku-buku umum atau buku yang merentasi pelbagai disiplin. Menurut Hassan lagi, golongan inilah yang membaca untuk meluaskan fikiran dan pengetahuan mereka dan bukannya mengisi masa santai. Golongan inilah yang mengamalkan budaya membaca sebagai sumber pendidikan sepanjang hayat, dan mereka inilah yang berguna bukan sahaja kepada diri mereka tetapi juga kepada negara.

Hakcipta Terpelihara • PTS Media Group Sdn Bhd (198801006125) © 2000 - 2025