Artikel
Hassan sanggah menteri
oleh Helmi pada 16 Aug 2004
SEORANG menteri Melayu telah membuat kenyataan yang mengelirukan terhadap nilai dan fungsi bahasa Melayu di negara ini dan terhadap orang yang cuba mempertahankan kedudukan bahasa Melayu sesuai dengan tarafnya sebagai bahasa rasmi dan bahasa kebangsaan negara. Dalam sebuah akhbar berbahasa Inggeris, kenyataan menteri itu disiarkan secara besar-besaran di muka depannya dengan tajuk Master English or the nation will lose out, Ignore language chauvinists’.
Saya katakan bahawa kenyataan ini mengelirukan atau boleh menimbulkan kekeliruan pada pandangan rakyat dan pelbagai pihak di negara ini terhadap kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi dan bahasa kebangsaan di negara ini kerana dua sebab.
Pertama, daripada kenyataan itu, kita diberikan gambaran seolah-olah negara akan kalah atau rugi atau ‘lose out’ jikalau rakyat Malaysia, khususnya agaknya orang Melayu, tidak menguasai bahasa Inggeris, dan kedua, orang atau kumpulan yang cuba mempertahankan bahasa Melayu dianggap ‘cauvinis’.
Kita ingin tahu bagaimanakah Malaysia akan rugi atau kalah - mungkin agaknya kalah dengan negara berbahasa Inggeris seperti Amerika Syarikat, Britain dan Australia, mungkin juga negara seperti Singapura - jikalau rakyatnya tidak menguasai bahasa asing ini, iaitu bahasa Inggeris. Kalah atau rugi dari segi apa? Kalah semata-mata kerana rakyat di negara ini tidak menguasai bahasa Inggeris?
Kita tahu bahawa banyak negara di dunia ini cukup maju dalam apa jua bidang, baik dalam bidang ilmu, bidang ekonomi dan teknologi, walaupun rakyat di negara tidak menggunakan bahasa asing, khususnya bahasa Inggeris, sebagai alat utamanya.
Kita boleh menyebut banyak contohnya. Di Eropah, misalnya, bahasa Inggeris bukan bahasa utama untuk kemajuan bangsa Perancis, Jerman, Itali, dan lain-lain lagi. Di negara-negara Scandinavia - walaupun kecil, misalnya Norway dan Sweden - bahasa ilmu pengetahuan, bahasa sains dan bahasa teknologi mereka ialah bahasa mereka sendiri, bukan bahasa Inggeris.
Di Asia, Jepun dan Korea, bahkan negara Thai, juga maju walaupun majoriti penduduk di negara itu tidak ‘menguasai’ bahasa Inggeris. Tetapi Filipina yang boleh dikatakan merupakan negara berbahasa Inggeris yang terbesar di Asia, adalah negara yang selalunya dianggap, ‘tidak maju’ dalam bidang ekonomi dan teknologi.
Saya teringat seorang pembentang kertas kerja dalam suatu persidangah atau seminar yang diadakan di Kuala Lumpur tidak lama dahulu, berkata bahawa ‘produk’ utama yang dieksport oleh Filipina, negara yang majoriti penduduknya berbahasa Inggeris atau boleh berbahasa Inggeris (termasuk khususnya golongan elit dan para pemimpin mereka) hanyalah housemaids’, yakni orang gaji, dan pekerja restoran di negara asing.
Di Afrika, kita tahu beberapa banyak negara di kawasan itu tidak maju, malah daif dalam bidang apa pun, walaupun bahasa rasmi di negara itu ialah bahasa Inggeris atau bahasa Perancis. Ini bukan soal sama ada rakyat sesebuah negara itu menguasai atau tidak menguasai bahasa Inggeris, tetapi ialah soal, keupayaan sesuatu bangsa atau negara itu untuk memajukan diri mereka dan negara mereka dalam bahasa mereka sendiri.
Orang yang memperjuangkan bahasa Melayu bukar fanatik atau cauvinis bahasa, mereka tidak melanggar apa-apa undang-undang, mereka cuma mahu memastikan bahawa dasar bahasa di negara ini tidak digugat oleh golongan cauvinis bahasa Inggeris - yakni, golongan yang secara emosional dan tidak rasional percaya bahawa bahasa Inggeris adalah bahasa segala-segalanya bahasa kemajuan manusia, kemajuan orang Melayu kemajuan kaum Cina, kaum India, kaum Iban dan kaum Kadazan di negara ini.
Orang yang ‘memperjuangkan’ bahasa Melayu bukan anti bahasa Inggeris. Hal ini perlu diketahui oleh menteri berkenaan dan semua kaum di Malaysia. Hampir semua mereka yang ‘memperjuangkan’ bahasa Melayu sangat fasih berbahasa Inggeris.
Jadi, kita hendaklah berhati-hati apabila membuat apa-apa kenyataan tentang kegunaan bahasa Inggeris dalam proses pembangunan negara, atau tentang nilai bahasa Melayu sebagai alat pembangunan bangsa kita sendiri, bukan bangsa yang berbahasa Inggeris di dunia lain.
Bangsa Jepun maju bukan kerana bahasa lnggexls. Bangsa Perancis atau Jerman maju bukan kerana thasa Inggeris, tetapi kerana mereka mencipta kemajuan dan kekayaan dalam bahasa mereka sendiri dan berdasarkan kepentingan budaya dan bangsa mereka.
Jikalau bangsa Melayu maju maka bahasanya pasti secara logiknya akan turut maju, dengan syarat, mereka menggunakan bahasa itu sebagai alat kemajuannya. Dan salah satu tanda yang menunjukkan bangsa itu maju ialah, kemampuannya memindahkan ilmu yang dipelajari daripada tamadun ke dalam bahasa mereka sendiri. Dengan demikian, mereka dapat terus berfikir dalam bahasanya sendiri untuk mengembangkan ilmu yang diperolehnya itu dan seterusnya mencipta yang baru melalui bahasanya sendiri.
Demikianlah sejarah yang berlaku pada bahasa Inggeris, misalnya. Kalau bahasa Inggeris tidak meminjam kata-kata dan istilah daripada bahasa Latin dan Greek sejak abad ke-15 lagi, bahasa Inggeris tidak akan menjadi bahasa ilmu dan sains pada hari ini. Bahasa itu meminjam banyak sekali istilah dari bahasa Latin dan Greek kerana adanya orang Inggeris, seperti Francis Bacon dan Isaac Newton yang dapat berfikir dan mengembangkan ilmu dalam bahasa Inggeris - bahasa Inggeris Anglo-Saxon. Hari ini tidak ada satu pun ayat bahasa sains dan ilmu dalam bahasa Inggeris yang tidak mengandungi dua atau lebih perkataan yang asalnya dipinjam dari bahasa Latin dan bahasa Greek.
Jadi, kalau pada hari ini, ada orang yang berkata, bahawa orang Melayu hendaklah menjadi bangsa yang maju, barulah bahasa Melayu akan maju, maka hendaklah dipastikan bahawa bangsa Melayu itu maju dalam bahasanya sendiri, tidak dalam bahasa lain. Bagaimana bahasa Melayu hendak menjadi bahasa sains dan bahasa matematik, misalnya, jikalau orang Melayu disekat mempelajari dan mengembangkan ilmu itu dalam bahasanya sendiri? Bahasa Latin dan bahasa Sanskrit tidak maju lagi sebagai bahasa ilmu kerana tidak ada orang yang menggunakannya sebagai bahasa ilmu pada hari ini.
Seingat saya, tidak ada atau jarang jarang saya mendengar para pemimpin di negara seperti Jepun atau Perancis yang seolah-olah melancarkan semacam kempen menyeru rakyat di negara mereka supaya menguasai bahasa Inggeris untuk menjadi bangsa yang maju’.
Yang saya tahu ialah, bahasa Inggeris diajarkan juga di sekolah mereka, tetapi tujuannya bukan untuk menggantikan bahasa sendiri sebagai bahasa utama untuk rakyat mereka, sebagai bahasa kemajuan bangsa mereka, mereka mempelajari bahasa asing itu sebagai bahasa kedua ‘atau’ sebagai bahasa asing, dengan tujuan tertentu atau tujuan khusus atau for ‘special purposes’, tidak dengan tujuan untuk menandingi bahasa mereka dalam negeri dan masyarakat sendiri.
Kita janganlah menjadi cauvinis bahasa Inggeris!
∎ DATUK DR. HASSAN AHMAD ialah Ketua Ek­sekutif Yayasan Karyawan Malaysia.
————
Artikel penuh boleh didapati dari Utusan Malaysia, Sabtu 14 Ogos 2004 atau layari arkib utusan online http://www.utusan.com.my