Artikel
Segera selesai isu bahasa rojak
oleh Helmi pada 17 Aug 2004
POLEMIK mengenai pemakaian dan penerbitan bahasa rojak (saya lebih mesra memanggil bahasa klon), nampaknya semakin mengelirukan. Tidak ada kesudahan dan perdebatan mengenainya jadi berjela-jela. Mungkin satu forum khas untuk mencapai konsensus mengenai perkara ini perlu diadakan segera.
Ia mengelirukan apabila ada pro dan kontra - puak menyokong dan puak yang menentangnya. Apa lagi individu yang mewakili puak itu adalah orang yang pakar dalam ilmu persuratan serta ilmu bahasa! Situasi ini menjadi tambah mengelirukan, sebab fikiran dan pandangan mereka selalunya dijadikan rujukan dan panduan.
Pihak yang merasakan perkara itu perlu, berpendapat ‘pengklonan’ bahasa bukan satu kesalahan. Malahan bagi mereka ia adalah wajar. Hujah mereka bahasa harus berkembang dan dinamik mengikut arus semasa. Dalam erti kata lain, kepada mereka bahasa juga hidup seperti bidang lain yang memerlukan evolusi dan penyesuaian semasa.
Di sini pihak yang membenarkannya lebih melihat kepada keperluan bahasa untuk tujuan komersial bukannya atas prinsip bahasa itu sebagai lambang dan maruah sesuatu bangsa.
Sementara di pihak yang menentangnya pula, berdiri di atas semangat bahasa yang tidak boleh diubah sewenang-wenangnya. Pihak ini mempertahankan roh bahasa dan ketulenannya itu tidak boleh diganggu gugat kerana ia adalah roh kepada sesuatu bangsa itu. Mereka ini adalah penjunjung bahasa dan budaya dan menerimanya sebagai elemen penting dalam ketamadunan sesuatu bangsa.
Mereka memberi contoh, bangsa Perancis, Jerman, Korea dan Jepun, adalah bangsa yang maju bersama bahasa ibunda masing-masing tanpa mengambil bahasa Inggeris sebagai medium utama komunikasi. Bangsa-bangsa ini ternyata mempunyai kekuatan dan keyakinan diri yang tinggi.
Dalam hal ini saya cuba berdiri di tengah-tengah. Pada saya kedua-dua pihak ada kebenaran tersendiri. Bahasa sebagai alat penutur (komunikasi) tidak perlukan kepada ketulenan dan mempedulikan kepada rohnya.
Cuma apa yang ingin saya ajukan dalam mengizinkannya sejauh mana kita dapat jamin (berkemampuan) untuk mengawalnya, apabila kita memberi ruang untuknya bergerak atau hidup kelak?
Suka tidak suka kita kena mengakui kelemahan kita. Kita bangsa yang lemah dan mudah lena dan larut dalam sesuatu ‘paradigma’. Kalau tidak ada kawalan akan hanyut dan ini akan menyuburkan proses pengklonan. Inilah yang ditakuti oleh penegak atau pejuang keaslian bahasa itu.
Bila itu berlaku, waktu inilah bahasa sebagai rupa diri dan identiti, akan jadi kabur. Sedangkan kita harus ingat kekuatan sesuatu bangsa itu terletak kepada bahasa dan budaya.
Kalau budaya sudah tidak ada, bahasa sudah hanyut, maka orang tidak lagi akan kenal bangsa itu. Apakah kita mahu diketahui sebagai kelompok manusia yang tidak ada rupa diri atau pengenalan diri?
Sebagai jalan tengah walaupun polemik ini bukan masalah global waktu ini, tetapi ia perlu diberikan tumpuan sewajarnya.
Kaji kesan dan implikasinya kepada perkembangan bahasa ibunda kita pada jangka masa panjang. Selepas kita mengambil keputusan demikian maka semua pihak hendaklah mematuhi dan menghormatinya.
- MOHD. SAYUTI OMAR, Kuala Lumpur.
————
Artikel penuh boleh didapati dari