Artikel
HEBAHAN MEDIA: Hikayat Amir Hamzah
oleh [email protected] pada 14 Mar 2008
Menjelang abad ke 20 barulah orang-orang Melayu dapat membaca Hikayat Amir Hamzah ini dalam naskhah jawi “cap batu” dan penyebarannya lebih meluas berbanding naskhah bertulisan tangan.
Mengikut kajian terdapat 2 naskhah Hikayat Amir Hamzah bertulisan tangan. Naskhah pertama dihadiahkan oleh Tengku Zahrah binti Tengku Kassim kepada Dewan Bahasa dan Pustaka pada 23 November 1962.
Naskhah ke 2 pula kepunyaan Encik Muhamad Bakar bin Mohd Amin. Kedua naskhah itu mengandungi 77 bab,
Hikayat Amir Hamzah diterbitkan dalam tulisan rumi oleh Dewan Bahasa dan Pustaka pada tahun 1987 mengandungi 30 bab sahaja kerana bab yang pendek-pendek telah disatukan oleh penyelenggara naskhah ini, A.Samad Ahmad. Beliau masih mengekalkan gaya bahasa Melayu lama.
Pada tahun 2008, PTS Fortuna telah menerbitkannya dalam bahasa Melayu Moden supaya memudahkan generasi muda membacanya. Hikayat Amir Hamzah ini diterbitkan dalam 3 jilid yang mengandungi 30 bab juga.
Watak utama dalam cerita ini ialah Saidina Hamzah, pahlawan Islam yang gugur syahid dalam Perang Uhud. Sesuai dengan bentuk hikayat, ceritanya telah ditokok tambah. Amir Hamzah digambarkan begitu hebat contohnya seperti berikut:
Disebabkan kuatnya tempikan Amir Hamzah boleh kedengaran hingga 18 penjuru bumi jauhnya. Segala harimau yang mendengar tempikan itu terkejut lari. Segala unta dan kuda menjatuhkan diri. Panah yang ada di tangan musuhnya jatuh ke tanah.
Sebuah karya klasik yang menarik menceritakan kegagahan dan kepahlawanan Amir Hamzah, seorang pahlawan Islam yang pernah hidup pada zaman Nabi Muhamad SAW, gugur syahid dalam Perang Uhud menentang tentera Quraisy.
Kisah ini berlatarbelakangkan negeri-negeri Arab khususnya Mekah. Latar masanya bermula semenjak Amir Hamzah masih kecil ataupun sebelum kedatangan Islam sehingga Amir Hamzah meninggal dunia iaitu sesudah kedatangan Islam.
Dalam kisah ini diceritakan Mekah ketika itu diperintah oleh Khoja Abdul Mutalib iaitu ayah pahlawan Amir Hamzah. Ketika itu Mekah di bawah kekuasaan negeri Yaman ataupun Raja Yaman yang mana pada setiap tahun Khoja Abdul Mutalib terpaksa membayar ufti kepada raja Yaman. Tetapi Amir Hamzah telah membebaskan negeri Mekah daripada kekuasaan raja Yaman serta menebus maruah ayahnya dengan tidak lagi membayar ufti kepada raja Yaman.
Amir Hamzah telah menghalang rombongan yang membawa ufti dari Mekah daripada memasuki kota Yaman. Tindakan itu telah membuat raja Yaman marah lalu memerintahkan hulubalangnya membunuh Amir Hamzah. Tetapi usaha itu tidak berjaya, kerana Amir Hamzah telah mengalahkan semua hulubalang raja Yaman. Raja Yaman terpaksa menyerah kalah dan menerima hukumannya. Kegagahan dan kejayaan Amir Hamzah itu sampai ke pengetahuan semua raja yang lain. Mereka mengaku tunduk dan menjalin hubungan baik dengan Amir Hamzah.
Berita mengenai kegagahan dan kepahlawanan Amir Hamzah sampai ke pengetahuan raja negeri Madain yang bernama Raja Nusyirwan Adil. Kebetulan pula pada ketika itu baginda baru sahaja menerima surat daripada Raja Serindib, sebuah negeri jajahan takluk baginda yang mengatakan kerajaannya telah dirampas oleh saudaranya yang bernama Landahur. Maka Raja Nusyirwan menghantar utusan ke Mekah bagi menjemput Amir Hamzah datang ke negeri Madain bagi membantunya mengembalikan semula takhta raja Serindib.
Keseluruhan kisah Amir Hamzah ini diterbitkan dalam tiga jilid. Jilid pertama mengisahkan peristiwa yang berlaku pada abad ke-7, sebelum kedatangan Islam hingga membawa kepada kedatangan Islam. Ia menceritakan kegagahan dan keperwiraan seorang pejuang Islam bernama Amir Hamzah.
Jilid kedua pula menceritakan Amir Hamzah luka ditetak Bahaman dan dia dilarikan oleh kuda Asqar Dewa ke tempat seorang pengembala kambing. Malik Bahaman dibunuh Umar bin Hamzah. Asma Peri dan Quaraisy Peri dibawa Amir Hamzah pergi berjumpa Puteri Mihran Negara.
Umar bin Hamzah pergi ke negeri Farkhari. Di sana dia digoda dan dibunuh oleh saudara perempuan Zubin. Hikayat ini bermula apabila Amir Hamzah yang menetap di Mekah membenarkan Raja Syadad kembali ke negerinya
Apabila menghampiri Mekah, Raja Syadad berbisik dalam hati, “sekiranya tidak disebabkan Raja Nusyirwan mengutuskan surat menyuruhnya ke Mekah, aku tidak akan dimalukan Hamzah Arab itu. Raja Nusyirwan punca segala-galanya dan aku patut membalas dendam kepadanya.”
Jilid ketiga pula menceritakan Quraisy Peri melihat ke udara, dia ternampak ayahandanya, Amir Hamzah memakai pakaian keemasan yang cantik-cantik, berhadapan dengan semua sahabatnya dan beberapa orang anak bidadari mengelilinginya. Demikianlah kemuliaan yang dianugerahkan Allah kepada dia dan semua yang syahid itu
Selepas itu Quraisy Peri dan Asma Peri serta jin yang bersama mengiringi memeluk agama Islam.