Artikel

Kuseru Namamu Kekasih: Empat wajah menuju cinta Allah

oleh [email protected] pada 28 Jul 2008

Pendekatan memuatkan petikan ayat Quran dan hadis Nabi Muhammad (S.A.W) di setiap permulaan bab harus diberi pujian. Saya kerap melihat petikan-petikan pendek sama ada dari Bible atau kata-kata orang ternama barat masa lalu dikutip dalam novel bahasa Inggeris yang dibaca.

Maksud ayat-ayat Quran dan hadis yang disertakan mempunyai hubung kait dengan plot dan sub-plot bagi setiap bab. Walaupun mungkin kaedah ini ditunjuk ajar oleh penerbit PTS, namun penulis Maya Iris berjaya memilih dengan baik.

Novel Islami memang berlainan daripada novel-novel genre lain. Antara intipati utama novel Islami ialah kemurnian cara hidup Islam dan amalan watak-watak tertentu yang mencorakkan jalan cerita. Kuseru Namamu Kekasih memiliki ciri ini. Dalam masa yang sama, diwujudkan juga watak-watak yang begitu kontras antara satu sama lain. Kuseru Namamu Kekasih menjalin secara tuntas plot, sub-plot dan watak-watak utama menjadi satu hamparan atau denai sutera menuju kebenaran Islam hakiki.

Pengorbanan Rayyan kerana Allah dan agama Islam, cinta Rayyan kepada Kekasih nan satu diceritakan dengan begitu baik oleh penulis. Kepentingan peribadi diketepikan demi Islam dan demi menjaga satu pegangan supaya tidak tergelincir. Gundah jiwa diubati dengan zikir dan bersangka baik dengan Tuhan.

Kerana cintakan Islam juga yang membuatkan Zaim dan Hanisa melupakan kisah lama. Mereka berdua asyik mengamalkan ajaran yang dibawa Nabi Muhammad (S.A.W) dengan reda, tanpa keluh kesah. Indahnya menghayati ajaran Islam jika kita mahu. Amat sukar seandainya syaitan dan nafsu membelenggu.

Dalam pada itu, ada sedikit plot thriller dalam novel ini, bermula dari halaman 342 hingga 455. Agak mendebarkan!

Terakhir sekali ialah hidayah Allah tidak mengenal bangsa dan umur. Semua makhluk adalah hamba Tuhan. Margaret dan Mark menemui jalan pulang, kembali kepada janji asal kejadian manusia di alam roh. Mereka mengaku bahawa Allah adalah satu-satunya Tuhan yang wajib disembah.

 

Hakcipta Terpelihara • PTS Media Group Sdn Bhd (198801006125) © 2000 - 2025