Artikel

Helang Rusia

oleh Helmi pada 15 Sep 2004

Lenin - Helang Rusia

Tiada siapa yang membakar semangat orang lain lebih hebat daripadanya. Tiada siapa yang sanggup berkorban dan bangkit selain daripada lelaki yang kita lihat biasa sahaja dan banyak kurang daripada unsur ketampanan dan kecantikan. Bukannya Plekhanov ataupun Martov yang disayangi dan dikagumi, tetapi Lenin seorang yang dikerumuni tanpa rasa ragu sebagai pemimpin yang agung. Lenin mempersembahkan fenomena luar biasa terutama di Rusia, lelaki yang dibekalkan dengan kecekalan besi dan tenaga yang di luar kawalan. Lenin menggabungkan kepercayaan fanatik (kepada ideologi komunis), per-juangannya dengan tiada sebarang kurang kepercayaan kepada dirinya sendiri.
Kata-kata A.N Petresov                                                                             Dipetik daripada:                                  Dankwart A. Rustow                         Philosophers and Kings:  Studies in Leadership

Pada bulan Mac 1917, Parlimen Rusia mendesak pemerintah negara, Czar Nicholas supaya memberhentikan penglibatan Rusia dalam perang dunia pertama. Kebuluran merebak secara meluas. Negara menjadi huru-hara. Secara politiknya, negara berpecah kerana puak berhaluan kanan, parti sosial demokrat dan puak berhaluan kiri, ahli revolusi bertelagah.

Akhirnya, lelaki berumur empat puluh tujuh tahun bernama Vladimir Ilyich Lenin, ketua parti komunis Bolshevik yang merana dalam buangan di Eropah selama 12 tahun, muncul menjadi penyelamat. Beliau pulang ke Rusia dengan tergesa-gesa dan menyeru negaranya menarik balik penglibatan dalam peperangan dan mencetuskan Revolusi Sosialis yang terkenal.
Pada minggu pertama, tiada perkara yang luar biasa berlaku.

Sebagai seorang lelaki, Lenin kelihatan langsung tidak menarik, seorang yang pendek dan kurus. Lenin terbuang di Eropah begitu lama, terpisah lama daripada rakyat Rusia dan masanya banyak membaca dan perbincangan intelektual sahaja. Parti pimpin-annya kecil dan hanya mewakili kumpulan serpihan dan barisan sayap kiri yang menyokong komunis. Tidak ramai menganggap Lenin sebagai pemimpin negara.

Dalam masa yang sama Lenin meneruskan usahanya mengulangi mesej yang sama: Hentikan peperangan, tubuhkan pemerintahan revolusi, hapuskan harta persendirian dan agihkan semula kekayaan negara. Serik dengan pertelingkahan politik yang berlarutan, rakyat Rusia mula mendengar. Lenin begitu bersemangat dan berkeyakinan. Beliau tidak pernah hilang kekuatan logik semasa berdebat dengan lawannya. Pekerja dan tentera tertarik dengan keteguhan dan ketegasannya. Paling mengejutkan, semasa kemuncak rusuhan, Lenin menerima ugutan bunuh daripada musuh-musuhnya. Sebaliknya apabila mendengar ugutan itu, Lenin muncul secara sendiri, melompat ke atas sebuah kereta dan mengarahkan pemandunya membawa beliau ke tengah-tengah orang ramai, mendedahkan dirinya kepada penembak tepat atau pembunuh upahan itu. Ia benar-benar mengejutkan orang ramai pada masa itu.

Di tengah-tengah khalayak, Lenin adalah seorang pemidato yang hebat. Ucapannya di Kongres Seluruh Rusia Soviet yang pertama adalah dokumen berharga dalam sejarah dunia. Semasa Lenin menangis di tengah ucapannya, baik ahli revolusi mahupun orang kerajaan ketika itu terkesan. Semasa ahli politik Rusia yang lain bertungkus-lumus menyesuaikan diri dalam krisis ekonomi dan negara, Lenin muncul seperti helang yang gagah. Beliau mula termasyhur seperti juga parti pimpinannya, Bolshevik. (lihat bab Wawasan Tony Fernandes dalam perbincangan transformasi karisma daripada karisma peribadi kepada karisma organisasinya)

Pengaruh Lenin ke atas pekerja, buruh dan tentera semakin memuncak. Lenin bercakap dengan mereka di tengah jalan dan di warung makan. Ucapannya campuran antara fahaman komunis sosialisnya dan slogan revolusi.

Pada tahun 1924, Lenin meninggal dunia, tujuh tahun selepas beliau secara berseorangan membuka jalan kepada Revolusi bulan Oktober 1917 yang terkenal, yang mengangkat parti Bolsheviks kepada kekuasaan. Pada masa itu seluruh rakyat Rusia berkabung. Mereka menyembah tugu Lenin dan mayat Lenin diawet untuk tontonan. Rakyat Rusia bercerita berkenaan Lenin sehingga wujud satu pertubuhan menceritakan perihal Lenin. Beribu-ribu bayi perempuan yang baru lahir dinamakan Ninel, nama Lenin yang diterbalikkan. Akhirnya Lenin bukan sahaja seorang lelaki tetapi menjadi suatu institusi.

Sesungguhnya karisma tidak banyak berkaitan dengan penampilan fizikal yang menarik ataupun personaliti yang berwarna-warni. Terutamanya pada masa kesusahan, manusia tidak mengharap kepada hiburan dan keseronokan, mereka mahukan kepada keselamatan, hidup yang lebih baik dan kestabilan sosial.


Percaya ataupun tidak, lelaki ataupun perempuan yang berketerampilan biasa sahaja, tetapi memiliki ketajaman wawasan, keyakinan diri yang membuak-buak boleh menjadi seorang yang memiliki karisma, dengan syarat apa yang diperjuangkan bersesuaian dengan kehendak khalayak. Jangan memperkecilkan kuasa daripada aura seseorang.
Semasa lebih ramai orang yang sanggup bertolak ansur, menjual prinsip, maruah perjuangan yang menyebabkan keraguan; mereka membuat keputusan menjadikan diri mereka jatuhnya mutu, nilai malahan harga. Maka, orang yang muncul dengan ketegasan dalam berprinsip memiliki tarikan magnet dalam segenap segi sehinggakan cara dia tidur juga orang ramai lihat sebagai berkarisma!

Apabila saudara bersama Lenin sebelum Revolusi, Lenin adalah seorang yang biasa sahaja dan tiada langsung memiliki karisma. Namun beliau dianugerahkan karisma semasa beliau dilihat sebagai penyelamat kepada negaranya. Karisma bukan suatu misteri yang wujud di luar kawalan seseorang. Ingat! Karisma adalah ilusi di mata orang yang melihat saudara memiliki sesuatu yang mereka tidak miliki.

4. Misteri Kuasa Karisma

Saya berharap melihat helang gunung, gergasi parti kami, lelaki hebat, hebat secara fizikal juga secara politikal. Saya membayangkan Lenin sebesar gergasi, tegap dan gagah. Alangkah kecewanya saya melihat lelaki hebat itu adalah lelaki biasa sahaja daripada segi rupa, lebih rendah daripada lelaki-lelaki Rusia normal. Dalam apa-apa cara sekalipun, Lenin tiada beza dengan manusia yang lain.
                           
Joseph Stalin                                                                       Menceritakan pengalaman pertamanya                                 bertemu Lenin pada tahun 1905, Dipetik daripada:                                                                        Ronald W. Clark                                     Lenin: The Man behind the Mask                                    


Karisma adalah perkara yang mengagumkan kita. Ia datang daripada kualiti dalaman seseorang. Keyakinan diri, tenaga seks, kekuatan visi dan arah tuju, kebanyakan orang ada kekurangan dan memerlukannya. Kualiti ini memancarkan gerak kuasa karisma, menjadikan orang itu nampak luar biasa dan lebih berkuasa serta gagah. Mereka tahu meningkatkan karismanya dengan renungan yang memancar dan pidato yang berapi-api. Karisma adalah kuasa mempengaruhi dalam jumlah manusia yang besar. Pemimpin berkarisma membuatkan khalayak jatuh cinta padanya dan terus memimpin mereka itu.

Pemimpin berkarisma memiliki kualiti yang begitu berkuasa. Namun mereka menyimpan sumber karisma itu dan menjadikannya misteri. Mereka tidak memberitahu di mana datangnya sumber keyakinan dan keberanian mereka. Wajah pemimpin berkarisma selalunya penuh dengan cahaya, bertenaga, peka dan renungan seorang pencinta. Mengapa kita suka kepada pemimpin berkarisma? Kita suka kepada mereka kerana kita suka dipimpin oleh individu yang menawarkan pengembaraan dan cabaran.

Beribu-ribu tahun dahulu, manusia percaya kepada tuhan-tuhan dan dewa-dewa. Tetapi tidak ramai daripada mereka yang pernah melihat secara fizikal bagaimana dewa-dewa itu berkuasa. Justeru itu, ada lelaki yang seakan-akan memiliki kuasa Tuhan berkata-kata dengan kepetahan lidah, wawasan yang tinggi dan aura yang menebal dan lelaki itu berdiri seperti seorang Tuhan. Apabila nabi-nabi diturunkan oleh Tuhan untuk kaum-kaumnya, mereka dianggap sebagai orang yang berkarisma. Karisma Muhammad jelas lebih tersohor kerana beliau bukan sahaja menyeru kepada satu-satu bangsa, tetapi seluruh himpunan manusia.

Pada abad ke-19, akhirnya ramai orang yang menjadi lebih rasional apabila berhadapan dengan konotasi dan kualiti orang yang berkarisma. Orang yang berkarisma tidak perlu menjadi berkarisma dengan kuasa daripada langit, tetapi cukup dengan memenangi undi dan menunjukkan keupayaan mereka memimpin. Namun apabila dunia berhadapan dengan perang pada awal kurun ke-20, konotasi pemimpin berkarisma banyak merujuk kepada pemimpin pada zaman peperangan. Hitler dan Churchill melakar kuasa karisma ketika itu. Cuma kerana pihak Britain dan sekutunya yang menang, maka nama Churchill yang diangkat sebagai hero perang dan menempelak Hitler sebagai penjahat dunia. Namun karisma itu bersifat berkecuali sama ada orang itu jahat ataupun baik.

Apabila Weber menulis berkaitan karisma, maka lahirlah karisma moden yang menurut Weber, Bukannya sifatnya ketuhanan tetapi kualiti luar biasa pada sifatnya yang dipenuhi dengan tenaga, keyakinan, wawasan masyarakat akan datang. Karisma memainkan peranan yang sedikit dengan unsur-unsur kecantikan dan kegagahan fizikal. Vladimir Lenin adalah buktinya. Petikan di atas adalah pengakuan Stalin betapa beliau terkejut melihat lelaki yang berkuasa di Rusia ketika itu hanyalah lelaki kecil lebih kecil daripada lelaki Rusia yang normal (lihat bab Helang Rusia).

Hari ini, sesiapa yang mampu menarik perhatian apabila dia memasuki bilik ataupun majlis dianggap memiliki karisma. Karisma memang penuh dengan misteri atas dua sebab. Pertama sebab sifat misteri itu ia dipanggil karisma dan kedua orang yang memiliki karisma sengaja menjadikannya misteri. Benarlah pe-patah Arab, Apabila diketahui sebab-sebabnya, maka terbatallah keajaiban.

Hakcipta Terpelihara • PTS Media Group Sdn Bhd (173482-A) © 2000 - 2024