Artikel

Peranan Mentoring dalam Interpersonal Remaja

oleh Helmi pada 19 Sep 2004

Perkembangan Sisio-emosi Remaja

Selain daripada perubahan struktur fizikal dan kognitif, zaman remaja turut memperlihatkan perubahan daripada segi sosial dan emosi. Perkembangan sosio-emosi adalah cantuman perkataan sosial dan emosi. Ia terbentuk daripada personaliti remaja itu sendiri. Personaliti atau kata akarnya persona adalah topeng yang dipakai oleh remaja bagi melakonkan watak peribadinya. Lakonan watak ini merangkumi aspek-aspek seperti cara bertutur, perasaan, interaksi dengan orang lain, sikap dan mekanisme remaja dalam menyelesaikan masalah yang dialaminya. Ini bermakna, dalam memperkembangkan sosio-emosinya, remaja perlu mengukuhkan personaliti diri dengan cara membentuk identiti diri, mempunyai nilai hidup, mempunyai imbangan antara diri dan sosial serta mempunyai persepsi yang sihat pada orang lain.

Selepas kita menyentuh pengukuhan personaliti di kalangan remaja, bahagian berikutnya melihat dengan lebih lanjut mengenai dua aspek utama dalam pengukuhan personaliti remaja. Pertama adalah perkembangan sosial dan kedua adalah perkembangan emosi remaja.

Perkembangan Sosial Remaja

Perkembangan sosial remaja dapat ditakrifkan sebagai kemajuan secara beransur-ansur melalui kegiatan yang diarah bagi seseorang individu mengenai kefahamannya pada warisan masyarakat dan pembentukan corak kelakuan yang mudah lentur yang ada persamaan munasabah dengan warisan ini (Power dalam Crow & Crow, 1983). Ini bermaksud, remaja perlu melakukan sesuatu aktiviti secara peringkat demi peringkat berdasarkan apa yang disuruh oleh orang yang berautoriti seperti ibu bapa ataupun pihak sekolah. Aktiviti ini berhubung kait dengan budaya yang dialami oleh remaja itu dan dipersetujui mengikut norma masyarakat. Contohnya, apabila seorang pelajar ingin mempunyai kematangan sosial daripada segi komunikasi, dia perlu belajar daripada orang lain dan cuba mengaplikasikannya. Tetapi ini mengambil masa bagi mencapai kematangan dan perkembangan sosial.

Perkembangan sosial remaja juga dipengaruhi oleh dunia sosialisasi remaja itu sendiri. Dunia sosialisasi bertambah luas daripada institusi keluarga kepada sekolah dan masyarakat. Ini secara langsung dan tidak langsung membentuk kematangan remaja. Pembentukan kematangan ini mengikut keutamaan. Contohnya, dalam konteks keluarga, remaja memfokuskan kepada perhubungan interpersonal dengan ibu bapa dan adik beradiknya. Pada peringkat awalnya, remaja ini mungkin lebih bergantung pada keluarga. Kemudian, apabila membesar secara berperingkat, mereka mungkin mengubah keutamaan daripada perhubungan dengan keluarga atau pergantungan (attachment) keluarga menuju kepada dunia luar yang terdiri daripada komponen rakan sebaya, guru-guru dan ahli masyarakat lain. Pernyataan di atas disokong oleh Field et al. (1995: 24) yang mengatakan, Sebagai remaja yang menuju ke arah dewasa, mereka makin kurang bergantung pada keluarga mereka. Chu dan Powers (1995: 13) menyokong dengan kata mereka, Dan kadang-kadang remaja ini perlu melalui beberapa pusingan konflik dan tolak ansur dengan keluarga, guru mereka dan pihak berkuasa yang lain. 

Dalam perkembangan sosial ini, remaja melihat rakan sebaya lebih penting daripada keluarga. Pada ketika ini, remaja lebih cenderung ke arah temu janji dengan teman lelaki ataupun wanita (dating). Peralihan pergantungan, bagi mencapai perkembangan dan kematangan sosial ini, tidak dapat dielakkan. Menurut Erikson (1963), setiap individu mengalami proses kehidupan dan pada masa yang sama remaja menemui krisis kehidupan. Krisis ini, bagi Erikson (dalam Santrock 2000:501) adalah Masa perkembangan identiti di mana remaja sedang memilih beberapa pilihan yang bermakna. Ini bermakna remaja perlu memilih bentuk identiti yang sesuai dengan dirinya supaya dapat mengurangkan krisis kehidupan yang tidak dapat dielakkannya.

Walau bagaimanapun, kesesuaian pemilihan identiti ini bergantung pada konsep kendiri (self-concept) dan estim kendiri (self-esteem) remaja itu sendiri.

Apakah yang dimaksudkan dengan konsep kendiri dan estim kendiri?

Pada umumnya, konsep kendiri adalah penilaian aspek tertentu seseorang individu pada dirinya. Ini ditegaskan oleh Santrock (2000:401) yang mendefinisikan konsep kendiri sebagai, domain-specific evaluations of the self. Domain ini berkaitan dengan remaja itu sendiri seperti akademik, sukan, rupa paras dan sebagainya. Ringkasnya, remaja membuat penilaian daripada aspek akademik, sukan ataupun rupa paras berhubung dirinya. Penilaian yang dibuat itu dapat digolongkan kepada domain sosial dan psikologi. Perlu ditegaskan, penilaian pada domain ini berubah daripada masa ke semasa. Ini disebabkan penilaian yang dibuat oleh remaja bergantung pada empat perkara utama iaitu:
Penilaian yang dibuat kadang-kadang berbeza kerana peredaran masa. Penilaian diri yang dibuat pada tahun ini mungkin tidak sama dengan penilaian pada masa akan datang.

Penilaian yang dibuat oleh remaja mungkin tidak konsisten kerana ia bergantung kepada sejauh mana maklumat yang diterima oleh remaja itu.

Penilaian yang dilakukan bergantung pada sejauh mana remaja mempunyai kesedaran kendiri (self-conscious) pada sesuatu perkara.

Penilaian yang dibuat oleh remaja kadang kala bercanggah kerana remaja sentiasa terdedah kepada pengaruh lain semasa berhubung dengan orang lain.

Penilaian berkaitan konsep kendiri remaja penting dalam membina hubungan interpersonal dengan orang lain. Walau bagaimanapun, masih terdapat kekeliruan antara konsep kendiri dan estim kendiri. Seperti yang diterangkan di atas, konsep kendiri adalah penilaian pada domain tertentu tetapi estim kendiri lebih kepada persepsi menyeluruh individu pada dirinya. Ini ditegaskan oleh Santrock (2000:401) iaitu, Perbincangan mengenai estim kendiri dan konsep kendiri menunjukkan perbezaan antara kedua-duanya iaitu estim kendiri hanya menilai aspek-aspek tertentu pada diri.

Kadang kala estim kendiri juga dirujuk sebagai penghargaan kendiri (self-worth) ataupun imej kendiri (self-image). Dalam hubungan interpersonal, remaja biasanya cuba menunjukkan imej yang positif mengenai diri mereka walaupun bukan semua berbuat demikian. Estim kendiri dalam diri remaja penting kerana ia:

Menyumbangkan kepada ciri-ciri seperti penyesuaian diri yang mudah, mempunyai matlamat yang mantap, lebih bersifat konstruktif, yakin pada diri sendiri dan tidak bertindak mengikut emosi.

Mempengaruhi kecemerlangan pendidikan remaja itu sendiri. Contohnya, remaja itu lebih berusaha bagi mendapat markah yang tinggi dalam peperiksaan. Dia merasakan, sekiranya mendapat markah yang tinggi dalam peperiksaan, dia akan mendapat sanjungan daripada ibu bapa, guru dan masyarakat.

Membentuk perkembangan kognitif, emosi dan tingkah laku remaja. Apabila remaja mempunyai estim kendiri yang tinggi dalam kognitif, bermakna dia mempunyai keupayaan menyelesaikan masalah akademik dengan jayanya. Apabila remaja itu mempunyai estim yang tinggi dalam emosi, dia dikatakan dapat mengawal perasaan negatif semasa berhubung dengan orang lain. Begitu juga apabila estim kendiri remaja tinggi dalam soal kognitif, dia dikatakan mempamerkan tingkah laku yang mulia di kalangan rakan-rakannya.

Malangnya, ada antara remaja mempamerkan estim kendiri yang rendah semasa berhubung dengan orang lain. Antara estim kendiri rendah yang wujud di kalangan remaja adalah:

Mempunyai perasaan rendah diri: Aku tidak pandai lah!

Dipres dengan keadaan yang dialami: Tidak ada guna lagi aku hidup di dunia ini. Semuanya tidak bererti lagi padaku.

Mudah kecewa: Aku sedih. Aku sudah tidak ada harapan lagi hendak masuk universiti.

Terdedah kepada kritikan orang lain: Dia ingat dia sahaja yang pandai? Dia siapa? Aku tidak suka dia komen aku.

Mudah terpengaruh: Betul juga katanya. Aku perempuan. Perempuan memang tidak sesuai jadi jurutera.

Tidak ada kawalan internal: Aku tidak peduli apa orang lain kata. Aku hendak tumbuk cikgu itu. Aku sudah geram ni!

Sentiasa bimbang: Eh, eh Kalau aku gagal dalam peperiksaan nanti apa orang kata?

Lari daripada situasi sosial: Mintak maaf lah, saya tidak sihat hari ini. (Sedangkan remaja ini sihat).

Terlibat dengan hal delinkuen: Kita adalah kumpulan black-metal dan kita mesti ada undang-undang sendiri dan kita akan bertindak apabila ada pihak berkuasa menghalang kita. Jelas semua?

Daripada contoh-contoh di atas, jelaslah estim kendiri yang rendah menyebabkan remaja itu mempunyai perasaan negatif pada dirinya. Ini mempengaruhi persepsinya pada orang lain. Perlu dinyatakan, persepsi negatif akibat estim kendiri yang rendah kadang kala dipengaruhi pelbagai faktor.

Bab 7 Peranan Mentoring dalam Interpersonal Remaja

Istilah mentoring berasal daripada perkataan Yunani (Greek) yang bermakna perhubungan yang kukuh antara remaja dengan orang dewasa. Daripada sudut sejarah, ia menceritakan pahlawan bernama Ulysses yang pergi berjuang semasa Perang Trojan pada zaman itu. Ketika Ulysses hendak pergi berjuang di medan perang, beliau mengarahkan sahabat karibnya yang bernama Mentor supaya menjaga anak remajanya bernama Telemachus. Mentor menjaga Telemachus dengan begitu teliti. Beliau membimbing dan melatih Telemachus hingga menjadi remaja perkasa. Dengan penjagaan Mentor itu, maka perkataan mentor digunakan sehingga kini dalam konteks bimbingan dan latihan.

Shahizan Hasan dan Tsai Chen Chien (2002) mendefinisikan mentoring sebagai proses yang menggunakan pelbagai aspek termasuk kemahiran oleh orang yang berpengalaman melalui bimbingan, didikan dan latihan kepada remaja bagi tujuan pembelajaran. Mentoring didefinisikan sebagai proses yang menyokong dan menggalakkan seseorang supaya pembelajaran berlaku (Parsloe & Wray, 2000). Clutterbuck (1991) mengatakan, mentoring juga merangkumi aspek melatih, membimbing, kaunseling dan ikatan kerjasama dengan individu lain. Daripada pandangan Clutterbuck (ibid) ini, jelas kepada kita mentoring mempunyai hubungan dengan perkhidmatan kaunseling.

Menurut Anderson dan Russell (2003), mentoring adalah pembentukan komuniti yang memerlukan kepercayaan dan perasaan ambil berat mengenai masa depan remaja. Ia juga adalah perkongsian antara pengetahuan dan kemahiran peribadi dengan remaja. Aoki et al (2000) melihat mentoring sebagai model pendidikan dan latihan yang mencakupi pelbagai disiplin. Malangnya mengikut kajian mereka, disebabkan kekangan kewangan, sukar bagi orang dewasa menjadi mentor kepada remaja secara sukarela.

Siapakah Mentor?

Pelbagai definisi cuba diberikan kepada individu yang bergelar mentor. Shahizan Hasan dan Tsai Chen Chien (2002) mentakrifkan mentor sebagai individu berpengalaman yang mahu berkongsi pengetahuan dengan orang lain yang kurang berpengalaman melalui hubungan yang berasaskan kepercayaan dengan tujuan bimbingan, kaunseling dan latihan.

Manakala Shea (1992) melihat mentor sebagai, Orang yang menolong orang lain mencapai potensi mereka melalui tindakan dan kerja mereka (ms 23). Dapat dirumuskan, mentor ialah individu berpengalaman dan berpengetahuan yang melatih orang lain (yang digelar mentee) dan mempunyai ciri-ciri khusus. Daripada sudut kaunseling sekolah, kaunselor dapat mengaplikasikan kemahiran mentoring bagi mengukuhkan lagi perhubungan dengan klien mereka. Walau bagaimanapun, kaunselor perlu melihat terlebih dahulu ciri-ciri mentor supaya kemahiran yang diguna pakai oleh beliau nanti tidak mempunyai kelemahan.

Rhodes, Ebert dan Fischer (1992) mentakrif mentor sebagai orang dewasa bukan ibu bapa atau non-parental yang dikenal pasti dapat menolong dan menjadi sumber rujukan para remaja. Levinson et al (1978) mendefinisikan mentor sebagai penyokong dan menjadikan diri sebagai objek transisi kepada remaja. Mentor dalam konteks ini dianggap sebagai orang tengah yang membantu pertumbuhan remaja.

Apakah Ciri-ciri yang Diperlukan daripada Mentor?

Mentee memerlukan mentor yang efektif sama ada di sekolah, universiti ataupun organisasi. Beberapa perkara perlu diambil kira kerana menjadi mentor bukanlah mudah. Mengikut Fish (1995), bagi menjadi mentor yang berkualiti dan berketerampilan, dia perlu mempunyai ciri-ciri berikut tetapi kami mengaitkan ciri-ciri berikut:

Mentor ialah fasilitator yang melatih orang lain belajar. Contohnya, mentor boleh melatih pelajar dalam Teknologi Maklumat. Tetapi bukan semua mentor cekap dalam bidang itu.

Mentor bukan pakar yang serba tahu. Dengan adanya pengalaman tertentu, mentor berupaya melatih mentee yang mungkin sudah mempunyai pengalamannya tersendiri yang hanya perlu mendapat bimbingan dan pengesahan daripada mentor sahaja. Malangnya ada mentor yang cuba menunjukkan dia serba boleh dalam semua bidang.

Mentor memerlukan kemahiran dan kebolehan mengajar mentee mereka. Ada mentor yang keberatan belajar kemahiran baru mengenai sesuatu perkara. Contohnya ada mentor yang sekian lama menjadi mentor tetapi tidak cekap menggunakan power point dalam persembahan mereka.

Mentor perlu mengawal perasaan marah apabila wujud kelainan pendapat dengan mentee. Ada mentor yang panas baran dan sukar mengawal perasaan mereka. Perasaan marah di rumah kadang-kadang di bawa ke sekolah.

Mentor dinasihatkan mengumpul maklumat sebagai bukti kerana maklumat ini dapat membantu mentee membuat keputusan dengan segera. Ada mentor yang membuat sesi kaunseling di sekolah tanpa mengumpul maklumat yang berkaitan ataupun maklumat yang ada itu berselerak di bilik kaunseling.

Mentor berperanan sebagai pemimpin yang mempertahankan setiap pendapat di kalangan menteenya tetapi mentee digalakkan berfikir dan mencabar pendapat mereka sendiri. Ada mentor yang menekan pendapat pelajar, kononnya hendak menggunakan pendekatan Gestalt tetapi menyebabkan kesan tekanan psikologi yang wujud dalam jangka panjang.

Adalah penting mewujudkan iklim perbincangan yang baik supaya mentee merasakan diri mereka selamat dalam kumpulan itu. Kadang kala perbincangan mentor tersekat-sekat kerana tidak fasih berbahasa Inggeris walhal mentee selesa bercakap dalam bahasa Inggeris. Mentor terpaksa merangkak, kononnya hendak menunjukkan mentor juga boleh berbahasa Inggeris dengan baik.

Peranan mentor adalah menyokong di samping mencabar menteenya tetapi cabaran sebaik-baiknya tidak menjejaskan pembelajaran mentee. Ada mentor menyokong mentee tertentu sahaja semasa kaunseling kumpulan seperti pilih kasih, memuji dan bersetuju dengan pelajar cantik sahaja.

Mentor juga perlu bersedia dicabar oleh menteenya tanpa melibatkan perasaan negatif. Ada mentor yang tidak boleh ditegur langsung. Beliau memandang dirinya serba berpengetahuan dan orang lain tidak faham konsep kaunseling.

Mentor menolong menteenya memberi respons secara positif. Ada mentor yang tidak berketerampilan dalam menolong menteenya memberi respons yang positif.

Daripada ciri-ciri di atas, salah satu aspek penting yang perlu ditekankan di sini adalah cara mentor mengawal perasaan mereka. Kawalan perasaan dalam diri mentor mewujudkan kualiti perhubungan atau bonding yang mantap dengan mentee mereka. Holliday (2001) berpendapat, kawalan perasaan ini mempunyai hubung kait dengan kematangan emosi. Kematangan emosi ini membawa maksud mentor mengawal perasaannya dengan tenang walaupun pandangan yang dikongsi oleh mentee itu bertentangan dengan pendapat mentor. Mentor boleh mengawal perasaan marah seperti yang disarankan oleh Holliday (2001).

Pertama, melihat mentee itu sebagai anak ataupun projek yang istimewa. setiap orang adalah anak kepada orang tertentu. Fikirkan bagaimana mentor menjadi ibu bapa yang sentiasa berfikir mahu melatih anak mereka. Mentor boleh memainkan peranan sebagai abang ataupun kakak. Daripada sudut lain, apabila mentor dilihat sebagai projek yang istimewa, ini membolehkan mentor membuat timeline sebagai ukuran kejayaan dan mencapai kepuasan semasa menjalankannya. Timeline ini juga berasaskan fasa-fasa tertentu yang dijalani oleh mentee semasa mentoring.

Kedua, menjadikan mentoring itu sebagai suatu bentuk ganjaran. Apabila mentor melihat mentoring itu sebagai ganjaran, ia akan mengurangkan rasa cemas ataupun tidak puas hati. Sekiranya mentor itu merasakan sesi itu sebagai sesuatu yang menyakitkan hati, beliau perlu mengenal pasti punca yang menyebabkan wujudnya perasaan itu.

Ketiga, bercakap dengan senyuman. Perasaan marah biasanya digambarkan dengan wajah yang masam dan suara yang kurang menyenangkan seperti sindiran dan nada yang tinggi. Perasaan marah menyebabkan mentor sukar senyum kepada mentee. Oleh itu, mentor perlu bertutur mengikut kesesuaian dan diikuti senyuman supaya mentee rasa tidak tertekan semasa sesi mentoring.

Hakcipta Terpelihara • PTS Media Group Sdn Bhd (173482-A) © 2000 - 2024