Artikel

Hidup di Perantauan Jadi Inspirasi Ilham Hamdani

oleh Roziyah pada 16 Jun 2010

Bermula dengan penulisan di blog, Tuan Ilham Hamdani terus melangkah ke arah penulisan yang lebih serius. Minat yang mendalam dalam penulisan ditambah pula dengan dorongan daripada penulis ‘senior’ telah melahirkan penulisan yang lebih serius.

Tuan Ihlam Hamdani mengorak langkah dalam bidang penulisan dengan melahirkan cerpen pertama beliau yang bertajuk Wardah Ain Sal-Sabila yang diterbitan pada tahun 2002.

Tuan Ilham Hamdani atau nama sebenarnya Mohd Izudin Mohamad Nazir kini bertugas di Suruhanjaya Tinggi Malaysia, Canberra, Australia mengadaptasikan kehidupannya di perantauan dalam setiap penulisannya.

Perjalanannya di negara asing menjadi pendorong beliau untuk menceritakan pengalaman hidupnya kepada rakyat Malaysia.

“Saya cuba menyelitkan semua keindahan yang wujud di persekitaran saya. Semua keindahan di Canberra akan diperolehi dari Bara Cinta Canberra . Anda yang tidak berkesempatan untuk menjelajah Canberra akan merasai Canberra itu di pupuk mata anda,” kata beliau.

Beliau merupakan pemenang hadiah sastera perdana melalui antologi cerpen Mekar Sakura Di Mimbar Cinta  yang diterbitkan oleh PTS. 

Bapa kepada seorang anak ini menghasilkan karya dengan tujuan untuk berdakwah khususnya kepada golongan muda. 

“Saya ingin memberitahu yang dalam bercinta haruslah ada ikat. Ikat yang dimaksudkan adalah Islam,” jelas Ilham.

Beliau juga mengharapkan karyanya merupakan satui cara kecil untuknya menyumbang kepada rakyat di Malaysia. 

“Saya cuba menggambarkan budaya baik di Eropah kepada rakyat Malaysia,” ujar beliau. 

Ketika ditanya harapan untuk novelnya, beliau berkata, sekiranya beliau berkemampuan untuk menghasilkan skrip, mungkin karyanya akan dikembangkan. 

“Sebelum ini saya ada menerima tawaran untuk mengadaptasi karya saya ke layar perak. Namun saya masih belum fasih dalam penulisan skrip. Sekiranya saya diberi kemampuan untuk menghasilkan skrip, Insya Allah saya akan mempertimbangkan untuk mengadaptasi karya saya,” kata beliau lagi. 

Beliau sebelum ini telah melahirkan novel pertama yang bertajuk Hidayah Cinta bersama PTS. Bara Cinta Canberra merupakan novel kedua beliau bersama PTS.

Hakcipta Terpelihara • PTS Media Group Sdn Bhd (173482-A) © 2000 - 2024