Artikel
Himpunan penulis di Frankfurt
oleh Helmi pada 02 Nov 2006
Pesta Buku Frankfurt Ke-58 itu mengumpulkan para penerbit dari lebih 100 buah negara untuk bertemu dan memasarkan produk mereka, di mana tumpuan sudah tentu kepada India selaku negara penganjur serta padat dengan program membaca dan perbahasan. Lebih 70 penulis atau pengarang dari negara pengamal demokrasi terbesar dunia itu sudah pun tiba di bandar kewangan Jerman itu yang akan turut mempertontonkan pertunjukan kebudayaan seperti tarian, drama, filem dan demonstrasi yoga secara langsung. Seorang sasterawan, Mahasweta Devi, 80, berkata, pesta buku itu akan cuba merungkai perbezaan dan percanggahan mengenai perubahan di negaranya. India belajar untuk survive, menyesuaikan diri, mengekalkan tradisi dengan kemajuan, dan bergerak seiringan dengan alaf baru ketika masa semakin suntuk, kata beliau pada majlis perasmian gala Selasa lalu. Budaya akan membawa kami ke masa hadapan, tetapi pada masa sama akan mengekalkan kami dengan asal-usul, sejarah, tradisi, warisan kami. Sementara itu, Amitay Ghosh, Amit Chaudhuri dan Kiran Desai yang telah terpilih sebagai penerima hadiah Man Booker tahun ini merupakan antara penulis India yang membentangkan kertas kerja pada pesta yang menarik 7,000 peserta dan dijangka dikunjungi oleh lebih 280,000 pengunjung sebelum ia ditutup pada Ahad. Lain-lain penulis atau pengarang yang turut hadir ialah Zadie Smith, Donna Leon, Ken Follett dan penerima hadiah Nobel dari Jerman, Guenter Grass yang baru selesai berdepan dengan skandal berikutan pendedahannya baru-baru ini bahawa beliau terbabit dengan Nazi menentang tentera Amerika Syarikat semasa Perang Dunia Kedua. Perkembangan penerbitan secara elektronik akan turut menjadi fokus pada tahun ini, begitu juga kebimbangan mengenai khidmat carian Google di Internet serta pindah cetak buku secara talian yang menimbulkan perdebatan panas dengan para penerbit dan penulis. Satu sistem baru turut dikemukakan bagi memberi kebenaran kepada syarikat penerbitan melindungi hak cipta mereka dengan mengemukakan syarat berkaitan penerbitan semula secara talian. Beberapa tahun lalu, subjek penerbitan digital sangat baru dan Pesta Buku Frankfurt akan memberi tumpuan kepada perkara tersebut, kata pengurus acara itu kepada para wartawan. Hari ini, produk-produk multimedia merupakan sebahagian daripada portfolio para penerbit, sama seperti kerja-kerja percetakan. Pesta buku itu juga akan mengetengahkan sambutan hari Berlinale, sebagai menghargai sambutan Pesta Filem Antarabangsa Berlin yang diadakan pada setiap bulan Februari. Matlamat acara tersebut yang akan menayangkan beberapa filem terbaru adaptasi daripada novel-novel, adalah untuk mempromosikan pesta buku sebagai pusat atau sumber ilham baru di kalangan produser-produser Hollywood bagi menghasilkan filem. Selain itu, kempen literasi akan turut dilancarkan dengan kerjasama UNESCO bagi membantu kira-kira 700 juta golongan dewasa di seluruh dunia yang masih buta huruf.