Artikel

Frankfurt fokus pada India

oleh Helmi pada 02 Nov 2006

Menyebut India, pasti akan teringat Bollywood, yang merupakan industri filem raksasa dunia. Namun saat ini, secara perlahan tetapi pasti dunia mula melihat sisi lain industri kebudayaan di India yakni buku.  Di bawah bayang-bayang kebesaran Bollywood, industri buku India memasuki jaringan perdagangan bertaraf dunia.  Tahun ini, Pesta Buku Frankfurt ke-58, pesta buku yang terbesar di dunia yang baru saja selesai telah memberi penghormatan kepada India sebagai negara tamu (Guest of honour country) di pesta buku tersebut. Pemilihan India sebagai negara tamu kehormat penting dicatat kerana ia menjadi satu-satunya negara yang diberi kesempatan sebanyak dua kali dalam jangka waktu 20 tahun. Kesempatan pertama diberikan pada tahun 1986. Ini tentunya sangat berkaitan dengan pengakuan dunia terhadap industri perbukuan India yang berkembang pesat selama satu dekad terakhir.  Berdasarkan catatan Nuzhat Hassan, Pengarah National Book Trust of India, industri perbukuan India bernilai AS$685 juta yang melibatkan lima belas ribu penerbit. Para penerbit ini menghasilkan buku-buku berbahasa Inggeris dan buku- buku dalam 24 bahasa tempatan, termasuk di antaranya; Hindi, Malayalam, Tamil, Bengali, Telegu, Gujarati, Punjabi, Assamese dan lain-lain.  Dengan jumlah penerbit sebesar itu, India menerbit sekitar 70,000 judul setahun dan sekitar 40 peratus (lebih kurang 28 ribu judul) adalah buku-buku berbahasa Inggeris. Ini membuatkan India adalah negara penerbit buku berbahasa Inggeris yang ketiga terbesar di dunia selepas Amerika Syarikat dan Inggeris. Keadaan ini juga berlaku kerana India didatangi oleh penerbit-penerbit besar dari luar seperti Penguin India, Harper Collins India, Macmillan India, Random House India, Picador atau penerbit-penerbit lama berkubu di India seperti Oxford University Press, mahupun penerbit-penerbit besar pribumi seperti Rupa & Co, Vikas Publishing, UBS Publisher. Umumnya, para penerbit ini menghasilkan lebih daripada 100 buah buku setahun. Penguin India, misalnya, menerbitkan 200 judul setahun, sementara Rupa & Co yang telah berdiri sejak tahun 1936 mengeluarkan 250-260 judul baru setiap tahun.  Di samping penerbit besar, industri buku India turut diwarnai oleh penerbit-penerbit independen berskala kecil dan menengah. Penerbit jenis ini memiliki profil organisasi dengan pengkhususan buku yang sangat beragam.  Penerbit Kali For Women, misalnya, menerbit buku-buku bercorak feminis paling berjaya di pasaran. Penerbit lainnya seperti Seagull pula merupakan penerbit buku-buku tentang teater, muzik, filem, seni rupa, dan falsafah.Penerbit Katha pula memfokus pada kerja-kerja menyelamat karya-karya klasik berbahasa lokal yang kemudiannya diterjemahkan ke dalam bahasa Inggeris dan menerbitkannya dalam edisi mewah.  Penerbit lainnya seperti Tulka mengkhusus kepada sastera kanak-kanak, sementara Permanent Black, English Edition, Ravi Dayal, India Ink, Minerva lebih menerbitkan buku bacaan umum atau yang lebih disebut sebagai trade books. Kunjungan penulis ke India baru-baru ini jelas memperihalkan senario tersebut dan menunjukkan keragaman bahkan kreativiti penampilan buku-buku yang diterbitkan.  Sementara banyaknya penerbit asing yang beroperasi merupakan kesan langsung daripada peraturan kerajaan India yang membuka 75 peratus sektor penerbitan buku untuk dimasukioleh pelaburan asing secara langsung. Fenomena terbaru adalah masuknya penerbit besar dari Inggeris, Cambridge University Press (CUP) yang melebarkan sayapnya di India. CUP menguasai 51 peratus saham Foundations Books, sebuah penerbit sekali gus pengedar buku terbesar. CUP akan menerbitkan buku-buku pendidikan dan jurnal, bukan hanya untuk pasaran India tetapi juga pasaran global.  Selama ini CUP bayak menerbitkan buku-buku teks untuk pengajian pascasarjana, buku penyelidikan sementara Foundation Books terkenal sebagai penerbit jurnal berwibawa, Journal of India Foreign Affairs.  Dengan dikenal pasti sejumlah 20 juta penduduknya yang mampu berbahasa Inggeris secara aktif, India merupakan pasaran buku yang menjanjikan.Potensi yang menjanjikan ini juga mendorong perkembangan lain daripada industri penerbitan India. Bidang itu adalah bisnes off-shore publishing. Bisnes ini memungkinkan penerbit-penerbit besar di luar India memanfaatkan tenaga-tenaga profesional India untuk mengendalikan bisnes mereka di India melalui kemajuan teknologi maklumat. Nilai bisnes jenis ini dianggarkan mencapai 200 juta dolar AS seperti mana yang diramalkan oleh Valuenotes Database Pvt.Ltd, sebuah syarikat penyelidikan pasaran di India.  Alasan utama penerbit-penerbit besar menyewa perusahaan outsourcing India adalah kos penerbitan di India jauh lebih rendah dibandingkan negeri asal penerbit tersebut.  Mereka dapat menjimatkan kos penerbitan sekitar 50-70 peratus. Outsourcing di bidang penerbitan sebenarnya telah lama dimulai di India ketika penerbit Macmillan mewujudkan unit off-shoring pada tahun 1977.  Menurut The Financial Express, edisi 26 Disember 2005, penerbitan surat berita (newsletter) merupakan kategori terbesar (53 peratus) yang memanfaatkan bisnes penerbitan outsourcing. Sementara majalah dan jurnal (24 peratus),tabloid (6 peratus),dan penerbitan elektronik sebanyak 17 peratus merupakan kategori yang paling cepat berkembang.  Industri kebudayaan yang besar ini tentunya juga tidak mungkin berkembang tanpa sokongan budaya membaca rakyat India.Dalam sebuah kajian tentang berapa banyak masa dihabiskan untuk membaca dibandingkan menonton televisyen yang dilakukan oleh National Opinion Poll World (NOP World), sebuah organisasi penyelidikan di Inggeris, didapati India menduduki tempat teratas dalam hal menggunakan masa untuk membaca.  Daripada kajian terhadap 30,000 orang berusia 13 tahun ke atas yang tinggal di kota-kota besar di tiga puluh buah negara pada tahun 2005, didapati hasil bahawa setiap orang India rata-rata menghabiskan waktu 10 jam seminggu untuk membaca.  Angka ini lebih tinggi dibandingkan rata-rata angka global negara dikaji iaitu empat jam seminggu.  Sementara itu, orang Inggeris hanya menggunakan lima jam seminggu untuk membaca dan menghabiskan 18 jam seminggu untuk menonton televisyen, sedangkan India menduduki tempat keempat terbawah dalam menonton televisyen.  Nampaknya, Dunia Barat harus membuka mata bahawa India telah menjelma menjadi pusat intelektual melalui kegiatan kebudayaan yang penting ini.  Oleh HISHAM HUSSEIN

Hakcipta Terpelihara • PTS Media Group Sdn Bhd (198801006125) © 2000 - 2025