Artikel

Ilmu Pintu Gerbang Segala Kebaikan

oleh Helmi pada 28 Aug 2004

Semua kebaikan bermula dengan ilmu. Wahyu yang diturunkan ke atas nabi Muhammad bermula dengan suruhan membaca bagi menguasai ilmu kerana dengan ilmu insan mengatasi makhluk-makhluk lain. Allah berfirman dalam surah al-Alaq ayat 1 hingga 5, “Bacalah dengan nama Tuhanmu yang menciptakan. Dia mencipta manusia dari segumpal darah. Bacalah, dan Tuhanmu Maha Pemurah. Dia mengajar (manusia) dengan perantaraan kalam. Dia mengajar manusia apa yang tidak diketahuinya”.

Semasa mentafsirkan ayat ini, Imam Ibn Kathir di dalam kitab Tafsir al-Quran al-Azim berkata, “Di antara tanda Allah memuliakan insan ialah dikurniakan ilmu kepada mereka dan ilmu itu telah meletakkan nabi Adam di tahap yang lebih tinggi daripada para malaikat. Ilmu kadangkala dikaitkan dengan akal, kadangkala dengan lisan dan kadangkala dengan penulisan… Sesiapa yang mengamalkan ilmu yang diketahuinya, Allah akan kurniakan kepadanya ilmu yang tidak diketahuinya”.

Nabi Adam sebelum menjadi khalifah di muka bumi, diajar dengan pelbagai ilmu. Hal ini dijelaskan oleh Allah dalam surah al-Baqarah ayat 31, “Dan Allah mengajar kepada Adam nama (benda-benda) keseluruhannya kemudian mengemukakannya kepada para malaikat..”

Imam Ibn Kathir di dalam Tafsir al-Quran al-Azim berkata: “Allah mengajar Adam tentang setiap perkara sama ada yang berkaitan dengan zat suatu benda, sifatnya atau perbuatannya. Inilah pendapat yang sahih dan ia selari dengan pandangan Abdullah ibn Abbas.” Kisah yang berkaitan dengan nabi Adam ini membawa makna kesejahteraan, kemakmuran dan keharmonian hidup manusia di muka bumi amat bergantung pada penguasaan ilmu.

Justeru, tonggak kecemerlangan dan kejayaan adalah ilmu. Suatu masa dahulu, Thalut dipilih untuk memimpin Bani Israel. Pemilihan ini tidak dipersetujui oleh Bani Israel kerana Thalut, bagi mereka, tidak layak memikul tugas itu disebabkan beliau bukan hartawan.

Perkara yang mereka tidak sedari adalah Thalut memiliki kekayaan ilmu dan kekayaan ilmu ini melayakkan beliau menjadi pemimpin. Berhubung dengan ini, Allah berfirman dalam surah al-Baqarah ayat 247, “Sesungguhnya Allah memilihnya (Thalut) menjadi rajamu dan menganugerahinya dengan ilmu yang luas dan tubuh yang perkasa”.

Demikian juga dengan nabi Yusuf. Semasa baginda menawarkan diri menjaga khazanah bumi Mesir, baginda menyatakan, salah satu kelebihan yang ada pada baginda adalah ilmu pengetahuan. Allah berfirman dalam surah Yusuf ayat 55, “Berkata (Nabi Yusuf), Jadikanlah aku bendaharawan negara (Mesir) kerana aku adalah seorang yang pandai menjaga (beramanah) lagi berpengetahuan”.

Imam Ibn Kathir di dalam Tafsir al-Quran al-Azim berkata: “Ilmu yang luas (yang dimiliki nabi Yusuf ini) bermaksud, menguasai ilmu serta mempunyai pemahaman yang mendalam berhubung tugas yang bakal dipikul baginda”. Apabila ilmu dan kefahaman serta amanah menghiasi diri individu, ia membawa individu itu kepada keberkatan dan kejayaan dalam bidang yang diceburinya.

Lebih daripada itu, makhluk halus yang jahat seperti jin Ifrit tidak dapat menandingi kehebatan insan yang berilmu. Pada zaman nabi Sulaiman, baginda mengarahkan tentera-tenteranya mendatangkan singgahsana permaisuri Balqis dari negara Saba. Jin Ifrit berjanji mendatangkannya sebelum nabi Sulaiman bangun dari tempat duduknya. Kemampuan jin Ifrit ini dapat ditandingi seorang lelaki yang tinggi ilmunya yang mampu mendatangkan singgahsana itu dalam sekelip mata.

Allah menceritakan tentang insiden ini dalam surah an-Naml ayat 38 hingga 40, “Berkata nabi Sulaiman, ‘Wahai pembesar-pembesarku, siapakah antara kamu yang sanggup membawa singgahsana (Balqis) kepadaku sebelum mereka datang kepadaku sebagai orang-orang yang berserah diri?’ Berkata Ifrit daripada golongan jin, ‘Aku akan membawanya sebelum kamu berdiri dari tempat dudukmu. Sesungguhnya aku seorang yang kuat untuk membawanya lagi boleh dipercayai’. Berkata seorang yang dikurniakan ilmu dari Kitab, ‘Aku akan mendatangkannya kepadamu sebelum matamu berkedip’…..”

Berhubung dengan ayat ini, ulama tafsir secara umumnya bersepakat, orang yang dikurniakan ilmu daripada Kitab ini adalah manusia yang mendalami kitab-kitab terdahulu seperti Zabur dan Taurat. Abdullah ibn Abbas, Qatadah dan lain-lainnya berpendapat beliau adalah Asaf bin Barkhaya, setiausaha nabi Sulaiman. Hal ini disebutkan di dalam al-Asas fit Tafsir oleh as-Syeikh Said Hawa.1 Ar-Razi dalam tafsirnya berpendapat beliau adalah nabi Sulaiman sendiri.2 Perkara penting yang dapat dimanfaatkan daripada ayat ini adalah orang-orang yang berilmu mempunyai kelebihan mengatasi makhluk-makhluk lain termasuk jin Ifrit.

Malah iblis dan syaitan juga tidak dapat merasuk dan menyesatkan golongan yang berilmu. Berhubung dengan ini, Imam Thabrani meriwayatkan sabda nabi yang bermaksud, “Tidak ada ibadah kepada Allah yang lebih utama dari kefahaman agama. Sesungguhnya seorang yang mendalam ilmu agamanya (fakih) lebih susah untuk diperdayakan syaitan berbanding seribu orang ahli ibadah…”

Imam al-Ghazali di dalam Minhajul Abidin menceritakan kisah berhubung dengan dua orang individu pada zaman dahulu. Seorang mempunyai ilmu yang tinggi tetapi tidak beribadah dan rakannya pula rajin beribadah tetapi tidak berilmu. Syaitan mendatangi lelaki yang jahil tetapi kuat beribadah dengan memakai pakaian yang hebat dan gaya yang mengagumkan dan berkata: ‘Wahai hambaku, aku telah ampuni semua dosa-dosamu. Sekarang kamu tidak perlu beribadah lagi’.

Lelaki jahil itu begitu bersyukur dan bergembira dan terus berkata: ‘Itulah yang aku harapkan darimu wahai tuhanku’. Lelaki jahil ini menjadi sesat kerana tidak mengenali sifat-sifat Tuhannya dan tidak menguasai ilmu tauhid. Syaitan yang sama kemudiannya cuba menyesatkan lelaki yang fasiq tetapi berilmu tinggi. Syaitan berkata: ‘Wahai hambaku, aku ampuni semua dosa-dosamu’. Lelaki yang berkenaan terus mencabut pedangnya dan memekik: ‘Celaka kamu. Kamu menyangka aku tidak mengenali Tuhan?’ Lelaki ini walaupun fasiq namun akidahnya tidak tergelincir dengan tipu daya iblis kerana ketinggian ilmunya. Imam al-Ghazali memaparkan kisah ini untuk menunjukkan ilmu adalah penting dan penyelamat manusia.

Penguasaan ilmu dapat menyerlahkan potensi individu. Berhubung dengan ini, Bukhari dan Muslim meriwayatkan sabda nabi yang bermaksud, “Manusia laksana lombong emas dan perak. Mereka yang terbaik pada zaman jahiliah, mereka juga terbaik dalam Islam jika mereka memiliki kefahaman agama.” Hadis ini menunjukkan, manusia secara umumnya berpotensi untuk mencapai kejayaan. Bagi menyerlahkan potensi yang sedia ada, manusia perlu diproses dan digilap seperti emas dan perak. Apabila ia digilap berdasarkan kefahaman agama yang betul, potensi itu akan meledak ke tahap optimum dan hasilnya adalah kecemerlangan dan kejayaan dalam bidang yang diceburi.

Justeru, perjuangan yang dilakukan tanpa ilmu mendatangkan banyak kerosakan pada manusia. Khalifah Omar Abdul Aziz pernah berkata, “Sesiapa yang melakukan sesuatu tanpa ilmu, dia akan mendatangkan lebih banyak kerosakan daripada kebaikan.”

Islam membahagikan ilmu kepada dua bahagian. Pertama, fardu ain, dan kedua, fardu kifayah. Di dalam kitab Ihya Ulumuddin, Imam al-Ghazali mendefinisikan ilmu fardu ain sebagai ilmu yang wajib diketahui dan dilaksanakan oleh semua hamba Allah yang berakal serta baligh. Ilmu fardu ain yang dituntut adalah yang berkaitan dengan akidah, tasawuf dan fikah. Ilmu-ilmu ini wajib dipelajari oleh setiap individu Muslim dan Muslimah.

Ilmu fardu kifayah adalah bidang-bidang yang wajib dikuasai oleh sebahagian umat Islam. Bidang-bidang ini amat diperlukan dalam kehidupan namun tidak semua individu Muslim dan Muslimah diwajibkan menceburi bidang-bidang ini. Jika sebahagian umat Islam sahaja yang menceburinya ia sudah memadai.

Berhubung dengan ini, dalam surah at-Taubah ayat 122, Allah berfirman, “Tidak sepatutnya bagi orang-orang yang mukmin itu pergi semuanya (ke medan perang). Mengapa tidak pergi daripada tiap-tiap golongan di antara mereka beberapa orang untuk memperdalami pengetahuan mereka tentang agama untuk memberi peringatan kepada kaumnya apabila mereka kembali kepada mereka supaya mereka itu dapat menjaga diri.”

Ayat ini menjelaskan tentang kepentingan sebahagian daripada umat Islam mendalami ilmu-ilmu agama supaya mereka dapat mengingatkan rakan-rakan mereka yang lain tentangnya. Inilah yang dimaksudkan sebagai bidang fardu kifayah. Imam al-Ghazali membahagikan ilmu-ilmu fardu kifayah kepada dua iaitu ilmu syariat seperti ilmu tafsir al-Quran dan ilmu bukan syariat seperti ilmu perubatan.

Walaupun penguasaan ilmu adalah penting, namun ilmu itu hanya bermanfaat apabila ia difahami dengan betul, bersesuaian dengan kaedah keutamaan yang disepakati, bertepatan dengan tuntutan suasana serta mampu melahirkan amalan yang salih lagi bermanfaat. Antara kalimat yang ditekankan al-Quran dalam konteks ilmu adalah fiqh. Contohnya, dalam surah al-An’am ayat 65, Allah berfirman, “Perhatikanlah bagaimana Kami mendatangkan tanda-tanda kebesaran Kami silih berganti agar mereka memahaminya.”

Kalimat penting dalam ayat ini adalah yafqahuun yang bermaksud “mereka memahaminya.” Ia berasal dari kalimat fiqh. Imam Ibn Kathir, semasa mentafsirkan kalimat yafqahuun di dalam Tafsir al-Quran al-Azim berkata, “(Ia bermaksud) memahami serta merenungi tanda-tanda, hujah serta bukti berhubung kebesaran Allah.” Justeru, ilmu yang bermanfaat adalah ilmu yang direnungi secara mendalam supaya rahsianya dapat disingkap dan maksudnya dapat difahami dengan tepat, selaras dengan kehendak al-Quran dan Sunnah.

Dakwah Kontemporari, Ilmu Juga Kontemporari
Ilmu teras fardu ain wajib dikuasai setiap individu dan ilmu ini perlu diperkukuhkan dengan ilmu semasa atau kontemporari yang selari dengan ajaran Islam. Penguasaan ilmu memerlukan pengorbanan serta keazaman yang tinggi dan untuk itu, kerja-kerja yang tidak berfaedah perlu ditinggalkan. Allah berfirman dalam surah al-Mukminuun ayat 3 yang bermaksud, (Antara sifat-sifat mukmin yang berjaya ialah) mereka menjauhi (perbuatan dan perkataan) yang lagha”.

Kalimat lagha mempunyai maksud tertentu dan Imam Ibn Kathir mentafsirkannya sebagai, “Segala perbuatan batil termasuk yang mempunyai unsur-unsur syirik dan segala perbuatan maksiat serta perkara yang tidak berfaedah sama ada berbentuk perkataan ataupun perbuatan.”

Membuang masa pada perkara yang tidak berfaedah menjadi salah satu punca kejatuhan umat Islam sebelum ini seperti yang disebutkan oleh as-Syeikh Hasan an-Nadwi di dalam bukunya yang bertajuk Kerugian Dunia Kerana Kemunduran Umat Islam, “Tetapi sayang sekali, kaum Muslimin tidak mensyukuri nikmat Allah. Selama berabad-abad lamanya umat Islam membuangkan waktu dan tenaga berfikir dan berfalsafah berhubung dengan perkara yang tidak bermanfaat. Jika mereka memberi fokus pada ilmu yang menguntungkan Islam dan kaum Muslimin, kedudukan mereka tidak menjadi separah itu. Umat Islam bukan sahaja asyik membahaskan sifat-sifat Allah, mereka juga asyik berbicara tentang roh, falsafah wihdatul wujud dan sebagainya. Semua ini memakan masa dan tenaga yang banyak…. Hasil penemuan kaum Muslimin sama ada daripada sudut kuantiti ataupun kualitinya tidak mendatangkan apa-apa makna apabila dibandingkan dengan penemuan barat pada abad ketujuh belas dan kelapan belas Masihi”.

Apabila umat menyibukkan diri dalam perkara yang tidak berfaedah, kewajipan terabai dan keutamaan terbabas. Hasilnya, kejahilan dan kemunduran. Justeru, sudah sampai masanya bagi umat Islam memberi fokus pada ilmu-ilmu penting demi masa depan yang gilang-gemilang. Semua orang mengakui dunia hari ini sudah berubah dengan pesatnya apabila dibandingkan dengan keadaan sebelum ini.

Perubahan ini menuntut umat Islam memahami zaman ini dengan baik supaya permasalahan yang berkaitan dengan agama dapat diselesaikan dengan tepat berasaskan prinsip-prinsip Islam yang sejahtera. Sebagai contoh, ada sebahagian daripada ayat al-Quran yang memfokuskan tentang kejadian langit dan bumi serta rahsia alam secara amnya.

Apabila penemuan-penemuan sains yang sahih dapat dikaitkan dengan ayat-ayat ini, sudah pasti ia dapat menjadi modal dakwah yang menarik pada hari ini terutamanya pada orang-orang bukan Islam. Bagi tujuan ini, kajian yang mendalam perlu dilakukan bagi memastikan kesahihan penemuan-penemuan sains yang ada pada hari ini. Sebelum kajian-kajian ini dimanfaatkan, kitab-kitab tafsir yang muktabar perlu dirujuk bagi memastikan tafsiran yang dilakukan tidak terbabas daripada metodologi tafsir yang disepakati.

Demikian juga dengan sunnah-sunnah nabi. Ilmu-ilmu semasa perlu dikuasai dan dimanfaatkan bagi menampakkan keunggulan cara hidup Islam yang dibawa nabi Muhammad. Contohnya tidur tengah hari yang dilakukan nabi, puasa yang diwajibkan ke atas umat Islam, solat dengan gerak badan yang ditetapkan, tanah yang digunakan sebagai bahan pencuci, pengharaman daging babi, pengharaman arak, mandi wajib dan sebagainya mempunyai rahsia yang hebat daripada sudut sains.

Bagi meledakkan rahsia-rahsia ini, umat Islam perlu mengkaji di samping berani menerokai bidang-bidang baru. Di samping itu, penguasaan ilmu-ilmu ini dapat membantu umat Islam memberikan hukum yang tepat berhubung dengan isu-isu seperti pemindahan organ manusia kepada manusia, pemindahan organ binatang kepada manusia, bayi tabung uji, klon, derma organ dan seumpamanya.

Dalam konteks ekonomi, isu-isu yang berkaitan dengan perniagaan di bursa saham, pembelian barangan melalui internet, penggunaan wang kertas, sistem riba pada zaman moden, konsep bank Islam berbanding bank konvensional, transaksi perniagaan dengan menggunakan kad kredit, insurans dan lain-lainnya memerlukan ilmu, kajian dan analisis yang mendalam sebelum hukum dan fatwa dapat dikeluarkan oleh pihak yang berkenaan dan difahami dengan baik oleh masyarakat.

Kajian-kajian semasa yang ada pada hari ini adalah bekalan penting yang perlu dimiliki oleh umat Islam terutamanya bagi individu yang bergelar pendakwah. Berhubung dengan ini, tokoh ulama Islam masa kini, Dr. Yusuf Qardawi, di dalam buku beliau yang bertajuk al-Ijtihad fi as-Syariat al-Islamiyah berkata, “Pada zaman ini, antara faktor yang memberi kesan dalam menentukan pendapat yang lebih kuat berbanding dengan yang lainnya adalah ilmu pengetahuan yang dimiliki pada hari ini yang belum ada pada zaman ahli fikah terdahulu… Pengetahuan baru ini dapat membetulkan pendapat-pendapat lama yang cukup banyak di dalam pelbagai bidang ilmu seperti geografi, falak, kimia, biologi, kedoktoran, bedah, anatomi dan sebagainya. Pengetahuan yang tumbuh dan berkembang setiap hari bahkan setiap saat ini mampu membekalkan seseorang ahli fikah dengan kekuatan untuk menentukan sama ada pendapat yang diwarisinya sebelum ini adalah lemah ataupun kuat. Sebagai contoh, ada mazhab yang mengatakan, khamar ataupun arak berasal dari perahan anggur semata-mata. Ilmu moden menetapkan, bahan aktif yang memabukkan ialah alkohol dan ia boleh diperoleh daripada buah kurma, epal, gandum, bawang dan sebagainya. Penemuan ilmu moden ini lebih sesuai dengan pengertian hadis sahih yang mengatakan, ‘Setiap yang memabukkan ialah khamar dan setiap yang memabukkan adalah haram’.”

Memahami zaman, suasana, persekitaran serta keperluan semasa adalah penting kerana dalam banyak hal, Islam hidup dan bergerak berpandukannya. Malah apabila Islam ditegakkan tanpa mengambil kira faktor-faktor ini, fitnah melanda dan Islam dihina. Sebagai contoh, pada suatu masa, nabi pernah bercita-cita mengubahsuai Kaabah. Namun, oleh kerana masyarakat di sekeliling baginda pada masa itu masih belum bersedia menerima perubahan itu, niat baginda yang murni itu tidak dilaksanakan.

Berhubung dengan ini, Imam Bukhari dan Muslim meriwayatkan sabda nabi yang bermaksud, “Seandainya bukan kerana kaummu yang baru saja keluar dari zaman jahiliah, aku akan ubah Kaabah itu dan akan aku lekatkan (pintu Kaabah) di bumi dan akan aku jadikan baginya dua pintu, satu untuk dimasuki manusia dan yang satu lagi untuk manusia keluar daripadanya”. Hadis ini menunjukkan nabi mengambil kira suasana dan keadaan sebelum bertindak melakukan suatu perkara. Umat Islam perlu mencontohi kebijaksanaan nabi ini supaya dakwah yang digerakkan pada hari ini mendapat penerimaan yang positif dalam masyarakat.

Tambahan daripada itu, kajian-kajian kontemporari termasuk yang berkaitan dengan aspek perbandingan agama amat diperlukan bagi menangkis serangan-serangan musuh yang cuba mengelirukan umat Islam tentang ajaran Islam. Musuh-musuh ini bekerja dengan gigih sekali bagi menimbulkan kekeliruan berhubung al-Quran, Sunnah, status wanita Islam, keganasan dan Islam serta seumpamanya. Justeru, penguasaan ilmu adalah penting supaya umat Islam mampu menyampaikan dakwah secara efektif, di samping tidak tertipu dengan taktik musuh yang mendominasi pada hari ini.

Hakcipta Terpelihara • PTS Media Group Sdn Bhd (173482-A) © 2000 - 2024