Artikel

Menjauhi Khurafat dan Tahayul

oleh Helmi pada 28 Aug 2004

Khurafat dan tahayul adalah kepercayaan dan amalan yang tidak bersandarkan al-Quran dan Sunnah serta tidak dapat diterima oleh akal yang waras. Ia adalah sebahagian daripada jahiliah yang sesat. Kepercayaan ini dipegang oleh segelintir umat Islam kadangkala kesan daripada pengaruh budaya yang dibawa oleh penganut agama lain di samping kejahilan di pihak diri sendiri.

Sial majal
Antara bentuk khurafat dan tahayul yang wujud dalam masyarakat hari ini adalah kepercayaan pada konsep sial majal. Islam menolak kepercayaan ini berdasarkan sabda nabi yang diriwayatkan oleh Bukhari dan Muslim yang bermaksud, “Tidak ada sial majal (dalam Islam).” Sial sering kali dikaitkan dengan bulan dan hari-hari tertentu. Pada zaman jahiliah, bulan Safar dianggap sebagai bulan sial yang mendatangkan bencana dan malapetaka Justeru nabi bersabda, “Tidak ada sial pada bulan Safar.” Hadis ini diriwayatkan oleh Imam Bukhari.

Kadang kala, sial dikaitkan dengan bunyi binatang seperti bunyi burung hantu ataupun suara-suara tertentu. Mengikut hadis riwayat Imam Abu Daud, nabi menolak kepercayaan ini melalui sabda baginda yang bermaksud, “(Mempercayai) kesialan pada suara-suara (tertentu)….. adalah daripada perbuatan syaitan.”

Roh orang mati menjadi binatang?
Ada segolongan masyarakat mempercayai roh orang mati secara ngeri bertukar menjadi binatang buas, hantu puntianak dan seumpamanya. Kepercayaan seperti ini masih wujud sehingga hari ini. Pada zaman jahiliah, roh orang mati dibunuh dipercayai bertukar menjadi burung yang menjerit di tanah perkuburan si mati sehingga keluarganya menuntut bela di atas kematiannya itu. Kepercayaan ini dikenali sebagai hamah. Sehubungan dengan ini, nabi bersabda, mengikut riwayat Bukhari, “Tidak ada hamah (dalam Islam).”

Pada zaman jahiliah, sebelum bermusafir individu melepaskan beberapa ekor burung. Apabila burung-burung itu terbang ke sebelah kiri, ia dianggap sebagai pertanda buruk justeru musafir itu dibatalkan.178 Amalan seperti ini ditolak oleh agama Islam.

Khurafat, tahayul dan syirik
Khurafat dan tahayul dapat membawa individu kepada syirik berdasarkan sabda nabi yang diriwayatkan oleh Imam Tirmizi dan Abu Daud yang bermaksud, “Mempercayai sial majal membawa kepada syirik dan Allah menggantikan kesemua itu dengan tawakal.”

Pada hari ini, kepercayaan yang sesat ini masih terus dipegang dalam rupa bentuk yang pelbagai seperti roh wali dapat mengabulkan cita-cita, bintang dapat menentukan nasib, keserasian jodoh adalah mengikut nilai rasi, bomoh dapat mengetahui alam ghaib, bulan Safar adalah bulan bala, suara burung hantu pada siang hari membawa pertanda ada orang akan mati, cara uri ditanam mempengaruhi kehidupan anak yang baru dilahirkan, kucing hitam yang melintas membawa pertanda buruk, nombor 13 membawa sial dan sebagainya. Kepercayaan pada khurafat dan tahayul sebenarnya melambangkan kemunduran akal dan kelemahan jiwa individu. Umat Islam sewajarnya kembali menghayati ajaran Islam yang suci demi memartabatkan imej agama Islam yang sebenar.

Hakcipta Terpelihara • PTS Media Group Sdn Bhd (173482-A) © 2000 - 2024