Artikel
Islam Itu Ramah Bukan Marah
oleh Waridah Lothpi pada 23 Nov 2020
Saya nak calonkan buku ini untuk anugerah “Buku Pilihan Pembaca”.
MashaAllah tabarakallah, inilah definisi buku yang memuaskan. Ringkas, padat, tak meleret-leret, dan membaca setiap mukasurat seakan-akan satu “adventure”, tidak tahu apa yang mahu dijangka kerana penuh dengan kejutan.
Ia versi terjemahan terbitan PTS, versi asalnya dalam bahasa Indonesia. Tahniah diucapkan kepada penterjemah buku, hasilnya cukup bagus. Penulis asalnya, Tuan Irfan Amalee; merintis organisasi perdamaian bernama Peace Generation semenjak tahun 2007. Melalui lembaga tersebut, Tuan Irfan berjuang mempromosikan perdamaian dengan cara-cara kreatif melalui permainan, ilustrasi dan buku, filem, bidang latihan, termasuk juga muzik.
“Cita-cita saya adalah mahu membentuk ribuan anak yang menjadi ‘peacemaker’, agen perdamaian dan melahirkan generasi damai di Indonesia,”
Justeru, itulah yang dilakukan oleh “Islam itu Ramah Bukan Marah”, temanya ialah keamanan sejagat. Penulis menghurai daripada segenap aspek, punca utama yang mencetuskan keganasan dan perlakuan jahat manusia merata dunia.
Yang seronoknya, disebabkan contoh yang diberi adalah berdasarkan peristiwa-peristiwa yang berlaku di peringkat global, maka lapanglah fikiran kerana dapat “keluar” sekejap dari rumah dan lihat dunia.
“Apakah alasan utama remaja-remaja bergaduh? Adakah kerana perebutan wang? Bola sepak? Kekasih? Bukan. Alasannya adalah, mereka mencari apa yang mereka tidak peroleh di rumah dan di sekolah iaitu penghargaan, pengakuan, status, dan yang utama; MARUAH.
Meskipun pada mulanya sebuah konflik boleh bermula daripada masalah harta ataupun tanah, namun akhirnya manusia tiba pada titik bahawa mereka sedang memperjuangkan satu-satunya ‘harta miliknya’, iaitu harga diri”.
Senang sekali membaca petikan kisah Buya Hamka yang turut diselitkan;
“Saya tidak pernah berdendam kepada orang yang menyakiti saya. Dendam itu termasuk dosa. Selama dua tahun empat bulan saya ditahan, saya berasa ia anugerah daripada Allah SWT, sehingga saya dapat menyelesaikan kitab tafsir Al Quran 30 juzuk. Jika tidak di dalam tahanan, tak mungkin ada waktu untuk saya melakukannya.”
Dan sangatlah epik, bilamana Soekarno yang memenjarakan Buya Hamka boleh berkata begini menjelang ajalnya;
“Apabila aku mati kelak, minta Hamka menjadi imam solat jenazahku.”
Di dalam bab “Memaafkan adalah Pilihan”, penulis catatkan nasihat yang menikam hati.
“Para pembenci adalah pencinta sejati. Ketika kita tidur, mereka terus memikirkan kita. Mereka sedih melihat kita senang, senang melihat kita sedih. Tanpa dibayar, mereka meneliti dan mengkritik, memberitahu kekurangan kita. Kasihanilah dan maafkan mereka. Ini kerana, mereka menyangka sedang menyakiti kita, sedangkan mereka melukai diri sendiri.
Mereka minum racun, sambil berharap orang lain yang mati.”
Rasa mahu melompat tatkala membacanya, sangat “aha!”
Bab lain juga mengujakan, seperti;
Orang yang tidak memiliki kebaikan, akan mencari-cari keburukan orang lain.
Adversity Quotient; kecerdasan dalam menghadapi kesusahan.
Sejauh manakah kepentingan membaca bagi kita?
Sejauh manakah Islamnya kita?
Sungguh memuaskan, berbaloi masa membaca.