Artikel

Jangan Tunda Taubatmu

oleh Waridah Lothpi pada 18 Nov 2020

Ibunya memanggil dan berkata, “Wahai buah hatiku, di manakah kita akan bertemu?”

“Ibu, jika engkau tidak menemukanku di Padang Mahsyar, tanyakanlah kepada Malaikat Malik di mana aku berada!” kata Dinar. Tidak lama kemudian, dia pun meninggal dunia dalam keadaan soleh. Ramai yang hadir untuk mensolatkan jenazahnya. Antara mereka, ramai pula yang menitiskan air mata kerana telah menyaksikan kewarakan Dinar selepas bertaubat, yang dahulunya pendosa besar. (m/s 109)

Ada ketika, apabila sesuatu perkara kerap benar diulang-ulang, kita terasa seperti perkara itu hilang makna dan “sakti”. Mendengar, atau membaca tentangnya, hanyalah sekadar maklumat biasa sahaja, tidak terkesan ia hingga ke dalam hati.

Taubat, adalah salah satu daripadanya.

“Jangan Tunda Taubatmu; Selagi Sihat, Selagi Sempat” tulisan Tuan Ilham Wahyudi, sepenuhnya bercerita perihal taubat.

Agak yakin juga untuk mengatakan tak mungkin ada Muslim yang tidak tahu maksud TAUBAT. Ibnul Qayyim Al Jauziyah menyebut hakikat taubat adalah menyesali perbuatan maksiat yang dilakukan, meninggalkan ia ketika sedang bergelumang dengan maksiat, dan bertekad untuk tidak mengulanginya di masa akan datang. (m/s 3)

Kata beliau lagi, dosa dibahagikan kepada empat pecahan ; tetapi di antara kesemuanya, dosa “bahimiyyah” akan mengheret manusia ke rantaian dosa-dosa yang lain. Apakah ciri-ciri dosa “bahimiyyah”? Dosa yang hanya menuruti kehendak nafsu seperti syahwat, makan dan cinta dunia. (m/s 15)

Jangan pula hanya dilihat pada mereka yang terpalit maksiat; orang baik-baik dan ahli ibadah juga, jangan pula perasan diri sendiri sudah terlindung. Syaitan yang tak pernah rehat akan tetap mencari peluang untuk melaksanakan rencananya; diyakinkan orang baik-baik bahawa amal ibadah mereka pasti diterima oleh Allah SWT, lalu ditanamkan benih-benih kesombongan hingga dia berasa yakin dirinya ialah hamba Tuhan yang paling mulia, dan pasti selamat daripada seksaan neraka. Seorang ahli ibadah perlu selalu bertaubat demi menjaga kesucian hati, agar tulus hanya untuk mendapatkan kasih sayang Tuhan.

Kata Sheikh Abdul Qadir Jailani; “Wahai manusia, manfaatkan dan jagalah baik-baik pintu kehidupan selagi ia masih terbuka lebar, kerana sebentar lagi ia akan tertutup buatmu. Tabunglah amal kebajikan selama mana engkau mampu melakukannya. Manfaatkanlah baik-baik pintu taubat dan masuklah ke dalamnya selama ia terbuka bagimu. Isilah juga pintu doa selagi ia terbuka luas buatmu, dan manfaatkanlah pintu yang disesaki oleh saudara-saudaramu yang soleh selagi masih ada ruang buatmu.”

Ngeri juga jika mahu difikirkan nasib kita yang hidup di zaman “dosa hanya di hujung jari”. Kalau dahulu, hanya orang berani malu sahaja sanggup memikul beban dosa. Hari ini, kemungkinan untuk kita melakukan dosa, sangatlah besar.

Dalam bab “Petua untuk Bertaubat”, diselitkan perihal, Berhentilah Meremehkan Dosa.

“Dosa kecil ialah dosa yang tidak ditentukan hukumannya ketika di dunia, dan tidak diberi peringatan azab yang keras di akhirat. Dosa kecil tersebut dapat dihapuskan dengan cara memperbanyakkan istighfar dan zikir, melakukan ibadah wajib dan sunat. Namun walaupun kecil, sama sekali ia tidak boleh diremehkan. Dosa kecil yang dilakukan secara terus menerus akan berubah menjadi dosa besar.

Dosa besar yang pernah dilakukan, tetapi kemudian disusuli dengan taubat nasuha, berkemungkinan Allah akan ampunkan berbanding dosa kecil yang tidak berhenti-henti.”

Kepada penjemput rezeki sekalian, pasti akan bersungguh-sungguh mahu bertaubat apabila membaca peringatan ini;

“Sesungguhnya, seorang hamba diharamkan mendapat rezeki kerana dosa yang dilakukannya.” (Hadith direkodkan oleh Ibnu Majah)

Subhanallah.

Bagaimana tatacara bertaubat? Dalam bab 5 diterangkan caranya, berserta doa taubat yang dilafazkan oleh para Rasul terdahulu.

Hakcipta Terpelihara • PTS Media Group Sdn Bhd (173482-A) © 2000 - 2024