Istilah ‘Kafir Harbi’ Perlu Dikaji Semula - Prof Yusuf Al-Qardhawi

oleh Asri Yussof pada 19 Jul 2016

thailand-453388_1280

Apabila mufti Pahang menggunakan istilah kafir harbi terhadap DAP ekoran penentangan mereka terhadap pelaksanaan hukum Islam dan berhasrat mahu menubuhkan sebuah negara sekular, tentu saja ini bukanlah perbincang baru di Malaysia.

Sebelum kita pergi jauh kepada perbincangan kafir harbi masih relevan ataupun tidak, kita perlu memahami terlebih dahulu bagaimana negara yang dikategorikan sebagai negara Islam, Harbi, dan Al-`Ahd.

Fiqh Islami menggariskan beberapa asas, kaedah, dan hukum bagi mengeratkan hubungan sesama manusia, terangkum bersama orang Islam dan bukan Islam.Melalui kacamata fiqh Islam, dunia terbahagi kepada dua: negara Islam dan negara Harbi. Bagaimana pula dikatakan negara Islam, dan negara Harbi?

Melalui beberapa perbahasan ulama, antara beberapa syarat yang perlu dipenuhi sebagai sebuah negara Islam adalah seperti berikut:

  1. Kekuasaan negara dimiliki oleh orang Islam, meskipun kebanyakan penduduknya bukan beragama Islam. Bahkah, sesetengahnya berkata: “Meskipun di negara itu tiada orang yang beragama Islam, melainkan pemerintah sahaja.”
  2. Nampak jelas dan nyata di negara itu, hukum-hakam dan syiar Islam meskipun sebahagian sahaja. Contohnya, terdapat hukum rumah tangga, binaan masjid, didirikan solat Jumaat dan solat jemaah, serta berpuasa Ramadan.

  3. Orang Islam yang mengamankan diri mereka dengan hukum Islam dan orang kafir Zimmi pula diamankan dengan akad zimmah mereka.

Manakala negara Harbi diterjemahkan sebagai negara yang dikuasai oleh orang kafir. Pemerintahannya tidak melaksanakan hukum Islam, tidak didirikan syiar-syiar Islam, dan penduduknya dapat menjamin keamanan orang Islam.

Disinilah titik persamaan ditemui, dimana negara Islam mampu mengikat perjanjian dengan negara Harbi dan menjadi negara Al-`Ahd. Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) adalah contoh terbesar, dimana sebarang piagam pertubuhan dipatuhi dan sesama negara boleh bekerjasama, kecuali pada perkara yang bertentangan dengan syarak.

Begitulah, segenap pelosok alam di sekeliling kita semuanya adalah Dar Al-‘Ahd, iaitu negara yang ada perjanjian dengan negara yang lain. Perjanjian tersebut mengikat kita (negara Islam) supaya tidak melampaui batasan.

Asy-Syeikh Abu Zahrah menyatakan:

“Dunia sekarang ini dikumpulkan oleh satu organisasi yang mewajibkan anggotanya mematuhi segala undang-undang dan peraturannya. Dalam hal ini, Islam mewajibkan umatnya menunaikan semua janji yang ditetapkan oleh kerajaan Islam sepertimana yang ditetapkan oleh Al-Quran. Maka, atas dasar ini, tidak dianggap negara yang bertentangan dengan negara Islam dan menyertai organisasi ini sebagai negara kafir (dar al-harb), bahkan ia adalah negara perjanjian (dar al-’ahd).”

Memetik penulisan Dr. Yusuf Al-Qaradhawi dalam Fiqh Jihad Jilid 2 terbitan PTS

Penggunaan istilah seperti Dar Al-Harb dan Dar Al-Kufri adalah saranan yang tidak dapat diterima bagi sesetengah orang kerana situasi sejarah dan peristiwa tertentu sudah berubah.

Baca: Fiqh Jihad, karya Dr. Yusuf Al-Qardhawi

Justeru, Dr Yusuf Al-Qardhawi menyatakan beberapa sebab kenapa perlunya menukar istilah ini;

  1. Allah SWT tidak menyuruh umat Islam menggunakan istilah ini dan tidak ada dalam Al-Quran ataupun sunnah yang mewajibkan penggunaan istilah seperti ini.
  2. Allah SWT menyuruh orang Islam berdebat dengan orang yang menentang mereka menggunakan cara yang paling baik. Jadi, pengistilahan semula ini adalah antara cara yang paling baik dari segi makna, tingkah laku, dan juga lafaz.
  3. Saidina Umar RA menerima penukaran lafaz yang disebut dalam Al-Quran sebagai al-jizyah kepada zakat, ketika orang Nasrani daripada Bani Taghlib mencemuh dengan mengatakan: “Kami adalah orang Arab dan kami berasa terhina dengan perkataan al-jizyah, maka ambillah daripada kami sepertimana yang engkau ambil daripada orang Islam dengan nama sedekah dan zakat.”
  4. Dengan sebab inilah dibuat satu kaedah yang penting iaitu Al-‘Ibrah bi Al-Musammayat wa Al-Madhomin La bi Al-Asmaa’ wa Al-‘Anawin yang bermaksud, perkara yang diambil kira daripada sesuatu perkara itu adalah kandungannya, bukan namanya.

Demikianlah ruangan ijtihad yang begitu luas, terutama ijtihad sosial. Orang Islam sepatutnya tidak menggunakan perkataan ‘kafir’ ketika bercakap dengan orang bukan Islam.