Artikel
Isu Bahasa Melayu Dalam Sistem Pendidikan Negara : Bhg I
oleh Helmi pada 30 Sep 2005
PENDIDIKAN DAN PERJUANGAN BANGSA: TUMPUAN KEPADA ISU BAHASA MELAYU DALAM SISTEM PENDIDIKAN NEGARA Prof. Dr. Awang Sariyan Presiden Persatuan Linguistik Malaysia ([email protected]) BAHAGIAN I BAHASA MELAYU, PENDIDIKAN DAN PEMBINAAN NEGARA Pembuka Bicara Di Malaysia bahasa Melayu telah dinobatkan sebagai bahasa kebangsaan, bahasa rasmi, dan bahasa penghantar ilmu sejak kemerdekaan pada tahun 1957. Kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi diwartakan dalam Perlembagaan Persekutuan, sementara kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi secara khusus diwartakan dalam Akta Bahasa Kebangsaan 1967 dan sebagai bahasa penghantar ilmu pula diwartakan dalam Akta Pendidikan 1961 dan kemudian dalam Akta Pendidikan 1996. Kedudukan yang diberikan kepada bahasa Melayu itu bukanlah tanpa alasan yang munasabah, bahkan berkaitan erat dengan proses pembinaan negara Malaysia sebagai negara baharu, iaitu negara yang baharu lepas daripada penjajahan kuasa asing. Proses pembinaan negara yang dimaksudkan itu ialah proses pewujudan negara bangsa yang berasaskan jati diri setempat dan perpaduan rakyat berbilang kaum. Dalam konteks ini, bahasa Melayu dijadikan unsur pembinaan jati diri rakyat Malaysia dan juga sebagai unsur perpaduan semua kaum. Sesuai dengan kedudukan dan peranannya sebagai bahasa kebangsaan, bahasa rasmi, dan bahasa penghantar ilmu, bahasa Melayu dijadikan mata pelajaran wajib, terutama di peringkat persekolahan. Di peringkat pengajian tinggi pula, kebanyakan universiti mempunyai dasar mewajibkan pelajar mengambil kursus bahasa Melayu, khususnya bahasa Melayu akademik dan lulus sebagai syarat untuk dikurniai ijazah. Bahkan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia yang tidak tertakluk kepada Akta Universiti dan Kolej Universiti pun turut mewajibkan pelajar (termasuk pelajar dari negara luar) mengambil pakej kursus bahasa Melayu dalam dua semester, dan pelajar warga negara Malaysia diwajibkan lulus untuk pengijazahan. Dalam kertas kerja ini saya ingin menarik perhatian khalayak kepada perkembangan pendidikan bahasa Melayu sebagai mata pelajaran teras dalam sistem pendidikan di Malaysia, khususnya di peringkat sekolah dan isu-isu yang timbul dalam pelaksanaannya. Secara khusus, isu tersebut dibincangkan dalam konteks perjuangan bangsa, iaitu untuk memenuhi agenda perpaduan, pendemokrasian pendidikan dan penyeimbangan peluang serta kemajuan bangsa Melayu sebagai bangsa teras di negara ini dengan keturunan-keturunan lain. Pendidikan Bahasa Melayu pada Zaman Awal Periodisasi perkembangan bahasa Melayu lazimnya dibahagi kepada tahap bahasa Melayu purba, bahasa Melayu kuno, bahasa Melayu klasik, bahasa Melayu peralihan, dan bahasa Melayu baharu. Tahap yang pertama diandaikan wujud sejak tahun 2,500 sebelum Masihi, tetapi tidak ada bukti-bukti sejarah tentang bentuk atau strukturnya. Tahap kedua dianggarkan bermula pada abad ke-7 Masihi apabila ditemukan batu-batu bersurat atau inskripsi seperti di Kedukan Bukit dan di Talang Tuwo, Palembang, di Kota Kapur, Pulau Bangka, dan di Karang Brahi, Jambi (Nik Safiah Karim et al. 1995). Tahap ketiga bermula pada sekitar abad ke-12 Masihi, serentak dengan kedatangan Islam yang disebut oleh Profesor Syed Muhammad Naquib al-Attas dalam beberapa banyak tulisannya (lihat misalnya 1969,1972, dan 1978) sebagai tahap pembentukan sifat bahasa Melayu yang baharu, yang seterusnya diwarisi dalam zaman-zaman selanjutnya. Tahap keempat yang menunjukkan peralihan daripada gaya bahasa Melayu klasik kepada gaya bahasa Melayu kini ialah zaman yang diwakili oleh Abdullah Munsyi dan Raja Ali Haji pada abad ke-19. Tahap sesudah itu dikategorikan sebagai tahap bahasa Melayu baharu. Walau bagaimanapun periodisasi seumpama itu tidaklah mutlak, dengan pengertian bahawa berlaku kesinambungan yang jelas antara periode-periode tertentu, terutama antara bahasa Melayu klasik dengan bahasa Melayu baharu daripada segi sistem dan rumus-rumus bahasanya (Awang Sariyan, 1984). Sebagaimana sukarnya memperincikan sejarah bahasa Melayu pada zaman awal oleh sebab ketiadaan bukti-bukti sejarah, maka demikianlah sukarnya memperkatakan pendidikan bahasa Melayu pada zaman awal. Hanya dapat diduga bahawa pada zaman kegemilangan Sriwijaya sebagai kuasa kelautan pada abad ke-7 hingga abad ke-13 dengan bahasa Melayu menjadi lingua franca dan bahasa pentadbiran kerajaan, bahasa Melayu pasti dipelajari oleh saudagar dari pelbagai daerah dan oleh anak negeri yang takluk kepada Sriwijaya, iaitu Sumatera, Jawa, Semenanjung Tanah Melayu, Tanah Genting Kera, dan Sri Lanka (Nik Safiah Karim et a1.,1995). Namun demikian tidak dapat dipastikan wujudnya institusi pendidikan bahasa Melayu secara formal. Penguasaan bahasa itu mungkin terlaksana melalui interaksi sosial sehari-hari. Demikian juga halnya dengan era bahasa Melayu klasik. Pada zaman itu bahasa Melayu mencapai tahap kesuburan yang cukup tinggi apabila bahasa Melayu bukan sahaja digunakan untuk memancarkan nilai-nilai estetika melalui karya kesusasteraan, bahkan mula menjadi wahana ilmu dan pemikiran saintifik. Pada zaman itulah terhasilnya karya-karya falsafah (khususnya tentang ilmu kalam dan tasawuf), fiqah, dan undang-undang Islam, di sisi ilmu dalam bidang lain seperti perubatan dan persenjataan. Prof. al-Attas (1988), berdasarkan kajiannya menyimpulkan bahawa manuskrip atau teks Melayu yang tertua setakat yang dapat dikesan sehingga kini ialah terjemahan Aqaid al-Nasafi yang bertarikh 1590 Masihi. Manuskrip tersebut berisi pembicaraan tentang akidah, suatu cabang yang paling asas dan penting dalam konteks hierarki ilmu menurut perspektif Islam. Dengan terhasilnya karya-karya ilmiah yang teracu dalam wacana yang utuh dan canggih, dapat diduga bahawa bahasa Melayu ketika itu telah mencapai tahap bahasa tinggi atau bahasa terbina(elaborated code menurut istilah Bernstein, 1968), iaitu bahasa yang telah memiliki ciri kompleks, dengan susunan yang teratur dan rapi, serta memerlukan pengalaman budaya yang tinggi. Kayanya bahasa Melayu dengan khazanah ilmu yang tinggi tarafnya itu, terutama pembicaraan metafizik, meyakinkan kita bahawa para karyawan pada zaman itu memiliki penguasaan bahasa yang tinggi, dan sekaligus meyakinkan kita berlangsungnya proses pendidikan bahasa yang baik pada waktu itu. Bagaimanapun sekali lagi tidak ada bukti sejarah yang dapat mengesahkan hal itu. Namun suatu hal yang pasti ialah bahawa pendidikan bahasa Melayu, meskipun tidak berlangsung secara formal dalam bentuk pengajarannya sebagai suatu mata pelajaran atau kursus ketika itu, secara tidak langsung diperkukuh melalui pengajian keagamaan yang memang menjadi suatu institusi sosial dalam masyarakat Melayu sejak abad ke-15 (Malaysia Kita, 1991:769). Sesuai dengan penyuburan bahasa Melayu sebagai sarana dakwah Islam, bahasa Melayu menjadi bahasa penghantar kuliah atau pengajian keagamaan di surau dan di masjid, dan kemudian di institusi pendidikan yang lebih formal, iaitu sistem pondok.2 Dalam sistem itu sebenarnya telah berlangsung gagasan yang kini disebut Bahasa Melayu Merentas Kurikulum (BMMK), iaitu penggunaan bahasa Melayu sebagai sarana ilmu dan pendidikan. Namun belum ada pengajaran dan pemelajaran bahasa Melayu sebagai suatu mata pelajaran. Gambaran bagaimana pendidikan bahasa Melayu sebagai suatu mata pelajaran tidak berlaku dalam masyarakat Melayu tradisional sehingga abad ke-19 dilaporkan oleh Abdullah Munsyi (1882) melalui penjelasan Lebai Abdul Razak, seorang guru Quran di Melaka kepada Stamford Raffles tentang situasi pendidikan masyarakat Melayu: Orang empunya anak-anak ini menyuruh ajarkan Quran dahulu. Maka kalau sudah ia dapat Quran kemudian boleh belajar bahasa Melayu. Begitulah adat sahaya semuanya. Dan lagi tiada adat di negeri ini orang taruh tempat belajar bahasa Melayu. Dengan nada sesal dan sinis Abdullah (1882) berkata pula: Adalah suatu hairan lagi tercengang aku sebab melihat dan memikirkan hal orang Melayu ini belum sedar akan dirinya, dia tinggal dalam bodohnya itu oleh sebab ia tiada mahu belajar bahasanya sendiri dan tiada mahu menaruh tempat belajar bahasanya, maka mustahil pada akal adakah orang yang tiada belajar itu boleh menjadi pandai dengan sendirinya. Bukankah segala bangsa di dunia ini masing-masing ada belajar bahasanya? Pendidikan Bahasa Melayu pada Zaman Penjajahan Inggeris Perbincangan tentang pendidikan bahasa Melayu dalam zaman penjajahan Inggeris tidak dapat dipisahkan daripada perbincangan tentang pertumbuhan dan perkembangan sekolah Melayu, iaitu sekolah vernakular yang direncanakan Inggeris untuk pendidikan anak-anak Melayu.3 Menurut Awang Had Salleh (1980:2), sejarah sekolah Melayu bermula pada tahun 1821 apabila penyelaras Penang Free School memulakan bahagian bahasa setempat (bahasa Melayu) di Gelugor, Pulau Pinang (lihat juga Chelliah, 1947). Kemudian dua buah sekolah Melayu dibuka di Singapura pada tahun 1856, sebuah di Teluk Belanga dan sebuah lagi di Kampung Gelam. Di Melaka terdapat sembilan buah sekolah Melayu yang dibuka antara tahun 1858 dan tahun 1863 (Awang Had Salleh, 1980 berdasarkan Report of a Committee Appointed to Enquire into the System of Vernacular in the Colony, No. 4, Straits Settlements, 22 Februari 1894). Pada tahun 1872 apabila kerajaan Negeri-negeri Selat 4 mendirikan Jabatan Pendidikan di bawah pimpinan A.M. Skinner yang memegang jawatan Nazir sekolah, pertumbuhan sekolah Melayu di Negeri-negeri Selat kian pesat, dengan 16 buah sekolah yang menampung 596 orang murid. Satu dekad kemudian jumlah sekolah Melayu meningkat kepada 85 buah dengan pendaftaran 2,230 orang murid. Kemudian satu dekad sesudah itu (tahun 1892), telah ada 189 buah sekolah Melayu dengan 7,218 orang murid yang berdaftar. Pada tahun itu, dianggarkan 84% kanak-kanak lelaki Melayu yang sepatutnya menerima pendidikan telah berdaftar (Awang Had Salleh, 1980:4). Sekolah untuk murid perempuan pula mula dibuka pada tahun 1885, tetapi jumlahnya pada tahun 1892 hanya 8.5% daripada sekolah lelaki dan jumlah muridnya pula hanya 11% daripada jumlah murid lelaki. Di Negeri-negeri Melayu Bersekutu (Perak, Selangor, Negeri Sembilan, dan Pahang), Perak merupakan negeri yang pertama mendirikan sekolah Melayu (pada tahun 1884), sebuah di Kuala Kangsar dan sebuah lagi di Batu Gajah. Selangor pula mempunyai enam buah sekolah Melayu pada tahun 1886. Apabila jawatan Nazir Sekolah Persekutuan diadakan pada tahun 1898, telah terdiri 103 buah sekolah Melayu di Perak (9 buah daripadanya sekolah perempuan), 25 buah di Negeri Sembilan, dan 6 buah di Pahang. Satu dekad kemudian, iaitu pada tahun 1907, telah terdapat 232 buah sekolah Melayu untuk murid lelaki dan 34 buah sekolah Melayu untuk murid perempuan (Awang Had Salleh, 1980:5). Pertumbuhan sekolah Melayu di Negeri-negeri Melayu Tak Bersekutu (Kedah, Kelantan, Terengganu, Johor, dan Perlis) adalah yang paling lewat. Di Kedah, sekolah Melayu yang pertama didirikan pada tahun 1897. Kelantan mempunyai sekolah Melayu yang pertama pada tahun 1903. Terengganu pula tidak mempunyai sekolah Melayu sebelum tahun 1915. Perlis pula mempunyai 5 buah sekolah Melayu pada tahun 1913. Johor yang mendapat manfaat daripada hubungan baik dengan Singapura mencapai kemajuan yang ke hadapan berbanding dengan Negeri-negeri Melayu Tak Bersekutu yang lain. Pada tahun 1913, sementara Kedah mempunyai 34 buah sekolah Melayu, Perlis 5, Kelantan 8, dan Terengganu O, Johor telah sedia memiliki 56 buah sekolah Melayu. Sekolah Melayu didirikan untuk memberikan pendidikan asas selama enam tahun kepada anak-anak Melayu dalam bahasa ibundanya, tetapi kemudian tempoh itu disingkatkan menjadi empat tahun sahaja pada tahun 1885. Hal ini selaras dengan tujuan penjajah Inggeris yang merencanakan pendidikan untuk anak-anak Melayu sekadar menghapuskan buta huruf setakat yang minimum sahaja (Cheeseman, 1984 seperti yang dipetik oleh Awang Had Salleh, 1980: 10). Dasar Inggeris tentang pendidikan Melayu dinyatakan secara rasmi, antaranya sebagai yang berikut: memberikan pelajaran permulaan yang membolehkan seorang kampung menyimpan peringatan-peringatan mudah dan dengan demikian melindungkan dia dari penipu-penipu yang tak bertimbang rasa. (Annual Departmental Reports,S.S. 1903) Pendidikan setempat (vernakular) mengajar budak-budak Melayu membaca dan menulis Melayu, Ilmu Kira-kira, Ilmu Alam, dan Rumi. Pelajaran sebanyak ini akan menjadikan mereka berperaturan, taat, dan bersih , dan sesuai untuk menjadi mata-mata, peon, kerani-kerani kastam, pekerja Jabatan Hutan, dan penyelia lombong. Setakat itu baguslah.(Minit Residen British Negeri Sembilan kepada Residen Jeneral bertarikh 14 Jun 1898) Implikasi dasar tersebut terhadap pendidikan bahasa Melayu ialah bahawa bahasa Melayu diajarkan semata-mata sebagai prasyarat untuk memungkinkan anak-anak Melayu menjalani kehidupan yang cukup sederhana apabila dewasa. Soal menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu, bahasa pemikiran, dan bahasa tamadun tidak wujud sama sekali, apatah lagi dengan pengehadan penggunaan bahasa Melayu sebagai bahasa penghantar pendidikan di peringkat sekolah rendah sahaja. Inggeris tidak pernah merancang menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa penghantar di peringkat sekolah menengah. Nasib pendidikan Melayu dan sekaligus nasib bahasa Melayu di tangan penjajah Inggeris tampak cerah sedikit apabila kerajaan Inggeris membentuk Jawatankuasa Barnes (mengambil sempena nama pengerusinya L.J. Barnes, Pengarah Latihan Kemasyarakatan, Universiti Oxford, London) pada tahun 1951 yang mengakui pentingnya bahasa Melayu dalam pembinaan sistem pendidikan yang bersifat kebangsaan, di sisi terus mempertahankan taraf bahasa Inggeris. Laporan Barnes sedikit banyak mendukung falsafah menjadikan bahasa Melayu sebagai landasan perpaduan melalui pendidikan. Bagaimanapun peranan bahasa Melayu tetap terbatas di peringkat sekolah rendah dan apabila ke sekolah menengah murid-murid akan melalui sistem pendidikan yang berbahasa penghantar bahasa Inggeris (Asmah Haji Omar, 1984: 18 dan Mohd. Salleh Lebar, 1988: 45-47). Usul Laporan Barnes agar hanya ada dua aliran sekolah rendah, iaitu aliran Melayu dan aliran Inggeris sahaja mendapat tentangan kaum Cina dan India sehingga batallah usul itu. Kerajaan Inggeris pada tahun 1951 membentuk Jawatankuasa Fenn-Wu yang mengkaji kepentingan pendidikan kaum Cina. Sebuah jawatankuasa khas dibentuk sesudah itu untuk menyelaraskan usul-usul Laporan Barnes dan Laporan Fenn-Wu. Antara usul jawatankuasa khas itu termasuklah: 1. Penubuhan dua jenis aliran persekolahan, iaitu aliran bahasa Melayu dan aliran bahasa Inggeris. 2. Kemudahan pengajaran bahasa Cina dan Tamil jika ada permintaan sekurang- kurangnya daripada 15 orang murid dalam kelas. 3. Bahasa Inggeris menjadi mata pelajaran wajib di sekolah. Usul-usul itu diluluskan oleh Majlis Perundang-undangan Persekutuan pada bulan September 1951 dan dijadikan Ordinan Pelajaran 1952. Ordinan itu menetapkan Sekolah Kebangsaan sebagai corak sistem persekolahan, dengan bahasa Cina dan bahasa Tamil sebagai bahasa ketiga tetapi tidak merupakan sebahagian sistem persekolahan kebangsaan. Usul-usul itu bagaimanapun tidak terlaksana kerana kekurangan biaya, kekurangan guru terlatih, dan bantahan masyarakat Cina dan Tamil. Kerajaan sekali lagi membentuk jawatankuasa khas dan salah satu keputusannya ialah penggunaan dua bahasa secara beransur-ansur di sekolah Melayu dan penggunaan tiga bahasa di sekolah Cina dan di sekolah Tamil supaya akhimya dapat diserapkan ke dalam sistem persekolahan kebangsaan. Sehingga tahun 1956 temyata bahawa ketetapan tersebut tidak terlaksana juga (Mohd. Salleh Lebar, 1988:50). Menjelang kemerdekaan pada tahun 1957, Malaysia diberi taraf kerajaan sendiri pada tahun 1955. Dengan kesedaran bahawa bidang pendidikan merupakan sarana yang paling berkesan dalam upaya pembinaan bangsa dan negara, maka dibentuklah jawatankuasa pendidikan pada bulan September 1955. Jawatankuasa ini menyerahkan laporannya dalam bulan April 1956 dan Majlis Perundang-undangan menerima usul-usulnya sebagai asas Ordinan Pelajaran 1957. Laporan jawatankuasa tersebut dikenal sebagai Penyata Razak atau Laporan Razak 1956, iaitu mengambil sempena nama pengerusinya Dato Abdul Razak bin Hussein yang menjadi Menteri Pelajaran pertama. Perincian tentang Laporan Razak, khususnya yang berkaitan dengan pendidikan bahasa Melayu dan falsafahnya, akan dibincangkan dalam bahagian selanjutnya, iaitu zaman kemerdekaan prareformasi pendidikan. Pendidikan Bahasa Melayu sesudah Merdeka: Prareformasi Pendidikan Usul penting Laporan Razak yang berkaitan secara langsung dengan pendidikan bahasa Melayu ialah rencana membentuk suatu sistem pendidikan kebangsaan yang dapat memupuk perpaduan rakyat pelbagai keturunan dengan bahasa Melayu menjadi salah satu asasnya. Menurut Penyata Jawatankuasa Pelajaran 1956 (Laporan Razak), tujuan pendidikan kebangsaan ialah: menyatukan budak-budak daripada semua bangsa di dalam negeri dengan memakai satu peraturan pelajaran yang meliputi semua bangsa dengan menggunakan bahasa kebangsaan sebagai bahasa penghantar yang besar, walaupun perkara ini tiada dapat dilaksanakan dengan serta-merta melainkan hendaklah diperbuat dengan beransur. (Perenggan 12) Khusus tentang taraf bahasa Melayu dalam sistem pendidikan kebangsaan, Laporan Razak mengusulkan: 1. bahasa Melayu, mestilah dipelajarkan di dalam semua sekolah dan dijadikan satu syarat pertolongan yang diberi oleh kerajaan di dalam semua sekolah. (Perenggan 18) 2. bahasa Melayu dijadikan satu pelajaran yang mustahak untuk mendapat Sijil Rendah (Lower Certificate) dan Sijil Pelajaran Kebangsaan (National Certificate of Education). (Perenggan 22 (b)) 3. Dalam sekolah-sekolah menengah yang demikian ini (Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan P.), kami cadangkan bahawa bahasa Melayu dan Inggeris wajib diajar. (Perenggan 71) Antara kesan langsung Laporan Razak yang berkaitan dengan sistem persekolahan ialah wujudnya dua jenis sekolah, iaitu Sekolah Umum yang berbahasa penghantar bahasa Melayu dan Sekolah Jenis Umum yang terdiri daripada sekolah Inggeris, sekolah Cina, dan sekolah Tamil. Semua sekolah mewajibkan pengajaran bahasa Melayu dan bahasa Inggeris. Nasib sekolah menengah Melayu terumbang-ambing dengan purata sebuah sekolah sahaja di setiap negeri (Mohd. Salleh Lebar, 1988:57). Suatu hal dalam Laporan Razak yang dianggap lemah dalam konteks pembinaan negara ialah pengekalan sekolah pelbagai aliran yang bebas menggunakan bahasa penghantar masing-masing dan hal ini tidak selaras dengan cita-cita kerajaan menjadikan bahasa kebangsaan untuk maksud perpaduan rakyat. Rasa tidak puas hati orang Melayu pada amnya menyebabkan kerajaan Malaysia (ketika itu Persekutuan Tanah Melayu) yang telah mencapai kemerdekaan pada tahun 1957 membentuk Jawatankuasa Penyemak Pelajaran pada tahun 1960 untuk meneliti kekurangan dalam Laporan Razak 1956 dan Ordinan Pelajaran 1957. Dengan mengambil sempena nama pengenusinya Dato Abdul Rahman Talib yang menjadi Menteri Pelajaran ketika itu, dikenal orang jawatankuasa tersebut sebagai Jawatankuasa Rahman Talib dan Laporan Jawatankuasa Penyemak Pelajaran itu dikenal pula sebagai Laporan Rahman Talib. Jika Laporan Razak mengasaskan idealisme menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa penghantar utama pada suatu waktu yang tidak ditetapkan, selaras dengan penekanan terhadap kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan negara (Perlembagaan Persekutuan, Perkara 152), maka Laporan Rahman Talib menggariskan langkah untuk merealisasikan idealisme tersebut. Antara usulnya yang berkaitan dengan hal tersebut termasuklah: 1. Menukar bahasa penghantar Inggeris di peringkat sekolah rendah dengan bahasa Melayu. 2. Peperiksaan umum peringkat sekolah menengah dijalankan dalam bahasa rasmi negara sahaja, iaitu bahasa Melayu. Usul-usul Laporan Rahman Talib diperundang-undangkan melalui Akta Pendidikan 1961 yang menjadi kerangka rujukan bagi pelaksanaan sistem pendidikan negara sehingga digantikan dengan Akta Pendidikan 1996. Antara tindak lanjut daripada usul Laporan Rahman Talib yang berhubungan dengan soal dasar tersebut termasuklah: 1. Peperiksaan naik tingkatan bagi sekolah menengah Cina dimansuhkan pada tahun 1961 dan Peperiksaan Sijil Akhir Sekolah Menengah Cina dimansuhkan juga pada tahun 1963 2. Setiap calon diwajibkan lulus dalam Bahasa Kebangsaan bagi peperiksaan masuk sekolah menengah. 3. Kelulusan dalam Bahasa Kebangsaan wajib bagi Peperiksaan Sijil Rendah Pelajaran sejak tahun 1962. 4. Langkah-langkah dilaksanakan untuk menambah bilangan guru terlatih sekolah menengah kebangsaan dan guru khas Bahasa Kebangsaan untuk sekolah menengah jenis kebangsaan. 5. Pembukaan sekolah menengah kebangsaan dipesatkan di seluruh negara. (Abu Bakar Zahari, 1980: 80 81) Dapat dirumuskan daripada perbincangan di atas bahawa dalam sistem pendidikan sesudah kemerdekaan, sudah mula terbina falsafah yang mendasari pendidikan bahasa Melayu di negara ini, iaitu bahasa Melayu sebagai asas perpaduan rakyat berbilang keturunan, atau dengan konsep yang lebih luas lagi bahasa Melayu sebagai salah satu asas pembinaan negara. Dengan perkataan lain, di sisi faktor-faktor lain seperti kebudayaan, ekonomi, politik, undang-undang, dan sebagainya, faktor bahasa kebangsaan menjadi faktor penting dalam rangka pembinaan sebuah negara baharu. Peranan bahasa sama pentingnya dengan peranan sektor-sektor lain dalam proses pembinaan negara (ekononmi, pendidikan, kebudayaan, politik, dasar luar dan yang lain). Semua aspek pembinaan negara itu dilaksanakan melalui penggubalan dasar-dasar negara bagi setiap sektor itu. Bagi sektor ekonomi, misalnya, digubal Dasar Ekonomi Baharu dan kemudian Dasar Pembangunan Nasional yang bertujuan menyusun semula keseimbangan ekonomi rakyat bagi semua keturunan. Dengan wujudnya keseimbangan dalam pemilikan kekayaan negara dan keadaan sosioekonomi, dijangka terbentuk perpaduan rakyat apabila terhakis rasa cemburu antara kaum. Demikian juga melalui sektor kebudayaan, digubal Dasar Kebudayaan Kebangsaan pada tahun 1971 dalam rangka membentuk keperibadian atau jati diri bangsa Malaysia. Sektor bahasa temyata menyumbang dalam pembinaan negara melalui penggubalan Dasar Bahasa Kebangsaan yang meletakkan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan, bahasa rasmi, dan bahasa penghantar utama pendidikan. Sebagai bahasa kebangsaan, bahasa Melayu menjadi lambang kewujudan suatu bangsa dan menjadi bahasa perpaduan rakyat. Sebagai bahasa rasmi, bahasa Melayu menjadi wasilah pembangunan negara apabila berperanan sebagai sarana komunikasi pentadbiran dan pengurusan dalam pelbagai urusan rasmi. Sebagai bahasa penghantar ilmu dan pendidikan pula, bahasa Melayu menjadi sarana pemerolehan dan pengembangan ilmu di kalangan masyarakat, suatu syarat tegaknya sesuatu tamadun. Peranan bahasa dalam pembinaan negara dibantu pula oleh sektor pendidikan yang secara langsung merealisasikan Dasar Bahasa Kebangsaan. Berkaitan dengan peranan bahasa dan pendidikan bahasa dalam proses pembinaan negara, saya ingin mengemukakan hakikat sektor bahasa sebagai salah satu sektor teras, di sisi sektor pendidikan dan kebudayaan dalam proses pembinaan negara. Pada fahaman saya, sektor bahasa, pendidikan, dan kebudayaan merupakan jiwa sesuatu masyarakat, atau merupakan hakikat kewujudan masyarakat. Ketiga-tiga sektor itulah yang menjadi asas pembentukan jati diri atau keperibadian masyarakat. Dalam konteks bahasa, ungkapan Bahasa jiwa bangsa dan Hilang bahasa lenyaplah bangsa menepati gagasan yang diketengahkan tadi. Gagasan ini dapat dianalogikan dengan hakikat diri individu insan yang diwakili oleh ruh, hati, akal, dan nafsu. Sebagaimana kewujudan individu diwakili oleh diri yang hakiki, iaitu aspek batinnya, maka kewujudan himpunan individu yang dikenal sebagai masyarakat pun diwakili oleh unsur-unsur yang membentuk entiti itu, yang pada hemat saya diwakili oleh bahasa, pendidikan, dan kebudayaan. Dengan berasaskan perbincangan tentang peranan bahasa dalam konteks pembinaan negara, falsafah pendidikan bahasa Melayu dalam era kemerdekaan, di samping bertujuan untuk memupuk perpaduan rakyat, berkaitan juga dengan tujuan pengilmuan masyarakat melalui bahasa kebangsaan dan penyemaian nilai-nilai kehidupan bersama dengan penggunaan bahasa Melayu sebagai bahasa perhubungan umum. Inilah tiga asas falsafah pendidikan bahasa Melayu yang dapat dikesan dan ditafsirkan daripada pelaksanaan yang ada. Pendidikan Bahasa Melayu dalam Era Reformasi Pendidikan Pada dasarnya, pendidikan bahasa Melayu dalam era ini merupakan kesinambungan pelaksanaan dalam era sebelumnya. Pendidikan bahasa Melayu masih tetap berkaitan dengan pemupukan perpaduan rakyat, pengilmuan masyarakat, dan penyemaian nilai-nilai kehidupan bersama melalui bahasa kebangsaan. Yang membedakannya daripada era kemerdekaan fasa pertama ialah penekanan yang lebih jelas kepada aspek-aspek tertentu, khususnya pembangunan yang lebih menyeluruh, bersepadu, dan seimbang. Reformasi pendidikan yang menandai fasa kedua era kemerdekaan bagi sistem pendidikan negara bertujuan membaiki kandungan, objektif, bentuk, corak, dan amalan pendidikan yang sedang berlangsung bagi memenuhi tuntutan-tuntutan semasa dan cabaran-cabaran masa hadapan (Ahmad Muharnmad Said, 1991: 3 4; lihat juga Nik Aziz Nik Pa, 1994: 227 228). Seluruh usaha reformasi pendidikan menekankan aspek kualiti, iaitu peningkatan mutu pendidikan dan manusia yang dihasilkan melalui pendidikan. Dalam konteks ini reformasi pendidikan di Malaysia berkaitan rapat dengan upaya pemanusiaan pendidikan (humanization ofeducation) (Ahmad Muhammad Said, 1991: 6 7). Usaha awal reformasi pendidikan ialah pembentukan Jawatankuasa Kabinet Mengkaji Semula Pelaksanaan Dasar Pelajaran pada tahun 1974 yang dipengerusikan oleh Dr. Mahathir Mohamad selaku Menteri Pelajaran ketika itu. Laporan jawatankuasa tersebut terbit pada tahun 1979. Bidang tugas khusus jawatankuasa tersebut ialah: Mengkaji semula matlamat dan kesan sistem pelajaran sekarang, termasuk kurikulumnya, dalam rangka dasar pelajaran kebangsaan yang wujud, dengan tujuan untuk memastikan bahawa keperluan tenaga rakyat negara dapat dipenuhi, sama ada dari segi jangka pendek mahupun jangka panjang, dan lebih-lebih lagi untuk memastikan bahawa sistem pelajaran itu dapat memenuhi matlamat negara ke arah melahirkan masyarakat yang bersatu padu, bersisiplin, dan terlatih. (Laporan Jawatankuasa Kabinet, 1971:1) Tentang pemanusiaan pendidikan pula, laporan tersebut pada para 452 mencatat: Untuk kepentingan pembangunan negara, tenaga rakyat yang diperlukan bukan sahaja perlu dilihat dari segi bilangan, jenis pengetahuan, dan kemahiran yang dimiliki, bahkan perlu juga dilihat dari segi nilai-nilai disiplin yang perlu diterima. Dari segi sikap, mereka perlu jujur dan berdedikasi terhadap kerja mereka, bukan sahaja perlu cekap bahkan perlu boleh berfikir dan bertindak dengan baik sama ada secara sendiri mahupun secara beramai-ramai dengan berpandukan punca-punca akhlak yang mulia. Tegasnya, individu yang dilahirkan dari sistem persekolahan negara perlu selaras dengan tujuan pembangunan kemanusiaan. Asas yang terkandung dalam perakuan itulah yang menjadi titik tolak penggubalan kurikulum dan pendekatan bersepadu dalam sistem pendidikan negara. Asas inilah juga yang mendasari Falsafah Pendidikan Negara yang digubal kemudian, iaitu yang menekankan aspek kesepaduan dan keseimbangan dalam pendidikan. Antara dapatan Laporan Kabinet yang menunjukkan adanya kekurangan dalam sistem kurikulum lama sekolah rendah (KLSR) dan kurikulum lama sekolah menengah (KLSM), iaitu sebelum reformasi pendidikan termasuklah: 1. Kurikulum pada peringkat rendah berupa pendidikan umum, bukan pendidikan asas, iaitu terlalu bersifat akademik (hlm. 18). 2. Kurikulum amat padat kerana pembaharuan tentang sesuatu mata pelajaran dibuat dengan tambahan kandungan yang tidak disesuaikan dengan peruntukan waktu (hlm 18). 3. Kurikulum digubal secara terpisah mengikut mata pelajaran dan kurang integrasi antara mata-mata pelajaran, lalu menyebabkannya kurang bermakna kepada pelajar (hlm.100). 4. Kurikulum lebih menekankan aspek kognitif murid dan tidak melahirkan murid yang seimbang daripada segi kognitif, afektif, dan psikomotor (hlm. 126). 5. Berlaku kemerosotan disiplin di kalangan pelajar (para 222, 223, 243, 245, 249). 6. Sistem pendidikan terlalu menekankan peperiksaan (hlm. 125). Strategi pelaksanaan reformasi pendidikan mencakup beberapa rencana tindakan. Yang paling utama ialah penggubalan Falsafah Pendidikan Negara yang eksplisit dan tuntas sekalipun bayangan falsafah pendidikan negara, sebagaimana yang dibincangkan di atas telah sedia ada tetapi terpisah, ad hoc, dan tersirat sifatnya. Menteri Pendidikan yang terlibat secara langsung dalam menggerakkan reformasi pendidikan negara menegaskan: Walaupun kita telah mempunyai penyataan matalamat pendidikan di sana sini, tetapi kita mestilah menyatakan matalamat-matalamat itu dalam satu penyataan falsafah yang menyeluruh dan berhubungan dengan penyataan falsafah matalamat negaraFalsafah pendidikan itu menjadi teras dan tunjang kepada sistem pendidikan kebangsaan kita supaya semua program dan aktiviti pendidikan merupakan pancaran prinsip-prinsip dan nilai-nilai yang terkandung dalam falsafah tersebut. (1989: 64) Falsafah Pendidikan Negara yang digubal dan diisytiharkan pada tahun 1987 dan dimantapkan pada tahun 1988 berbunyi: Pendidikan di Malaysia adalah suatu usaha berterusan ke arah memperkembang potensi individu secara menyeluruh dan bersepadu untuk mewujudkan insan yang seimbang dan harmonis dari segi intelek, rohani, emosi, dan jasmani berdasarkan kepercayaan dan kepatuhan kepada Tuhan. Usaha ini adalah bagi melahirkan rakyat Malaysia yang berilmu pengetahuan, berketrampilan, bertanggung jawab dan berkeupayaan mencapai kesejahteraan diri serta memberikan sumbangan terhadap keharmonian dan kemakmuran masyarakat dan negara. Strategi umum pelaksanaan reformasi pendidikan antara lain meliputi: 1. Langkah memanusiakan pendidikan dengan pengertian membina insan dan membangunkan sumber manusia yang utuh, seimbang, dan sepadu. 2. Usaha mewujudkan perpaduan dan integrasi nasional ditingkatkan. 3. Pendemokrasian pendidikan daripada segi peluang dan mutu pendidikan. 4. Bahasa Melayu diluaskan dan ditingkatkan penggunaannya sebagai alat berfikir dan berkarya supaya dapat menjadi bahasa ilmu yang berkesan. 5. Pembentukan pemikiran yang luas dan selaras dengan konsep pengantarabangsaan dan globalisasi. (Ahmad Muhammad Said, 1991 dan Wan Mohd. Zahid Mohd. Nordin, 1991) Antara strategi konkrit yang direncanakan dan dilaksanakan termasuklah: 1. Nilai-nilai murni merentas kurikulum. 2. Bahasa Melayu meretas kurikulum 3. Kemahiran berfikir. 4. Integrasi rohani, intelek, emosi, dan jasmani melalui mata pelajaran. 5. Menekankan subjek sejarah untuk meningkatkan perpaduan. 6. Meningkatkan aktiviti budaya ilmu melalui budaya membaca, budaya belajar, budaya berkarya, dan budaya bermusyawarah. Dalam konteks pendidikan bahasa, realisasi reformasi pendidikan perlu ditinjau daripada segi falsafahnya dan juga kurikulumnya. Dalam konteks falsafah pendidikan bahasa Melayu, saya menyarankan penyataan eksplisit mengenainya agar segala perencanaan dan pelaksanaan strategi reformasi pendidikan lebih jelas, terarah, dan terkawal. Falsafah pendidikan bahasa itu mestilah selari dengan Falsafah Pendidikan Negara; pertama daripada segi upaya pengembangan berterusan potensi individu secara seimbang dan harmonis daripada segi intelek, rohani, dan jasmani; kedua daripada segi sumbangan bahasa terhadap pembangunan masyarakat dan negara. Selaras dengan Falsafah Pendidikan Negara itu, seharusnya diformalisasikan Falsafah Pendidikan Bahasa sebagai subfalsafah induk itu, agar proses pendidikan bahasa yang dilaksanakan memenuhi falsafah yang selaras dengan falsafah induk, iaitu Falsafah Pendidikan Negara. Dalam kajian saya (1997), saya mengemukakan falsafah pendidikan bahasa sebagai yang berikut: 1. Pendidikan bahasa sebagai upaya mengembangkan potensi berbahasa yang telah dikumiakan Tuhan kepada seluruh manusia, sesuai dengan ungkapan haiwan natiq atau rational animal yang dikiaskan kepada manusia. 2. Pendidikan bahasa sebagai upaya meneliti sistem alam ciptaan Tuhan (dalam konteks ini alam kecil atau alam saghir, iaitu bahasa sebagai bahagian sistem dalam diri manusia), sebagai suatu sains, sebagaimana peneletian terhadap sistem-sistem lain, umpamanya sistem cakerawala, struktur muka bumi dan sebagainya. 3. Pendidikan bahasa sebagai suatu cabang pendidikan umum, iaitu sebagai satu subjek dan juga sebagai sarana pemerolehan dan pengembangan ilmu, selaras dengan gagasan bahasa merentas kurikulum (language across curriculum). 4. Pendidikan bahasa sebagai wahana pewarisan nilai-nilai kehidupan bermasyarakat atau dengan perkataan lain seluruh unsur kebudayaan dan tamadun masyarakat kepada generasi baharu. Kerangka rujukan atau acuan yang berbentuk falsafah itu penting supaya semua program aktiviti pendidikan merupakan realisasi prinsip-prinsip dan nilai-nilai yang terkandung dalam falsafah tersebut dan juga supaya matalamat pendidikan menjadi jelas. Keempat-empat asas falsafah pendidikan bahasa sejagat yang dirumuskan di atas pada hakikatnya memenuhi kedua-dua penyataan pokok dalam Falsafah Pendidikan Negara. Penyataan pertama berkaitan dengan hakikat pendidikan sebagai usaha berterusan dalam mengembangkan potensi individu berdasarkan konsep ketuhanan. Bahasa menurut perspektif Islam memang merupakan potensi ternurani yang dibekalkan kepada manusia oleh Tuhan dan perlu dikembangkan secara berterusan serta berkaitan dengan perkembangan intelek, rohani, emosi, dan jasmani individu. Dalam tradisi linguistik Barat, kita mengenal adanya teori kenuranian bahasa (innateness theory) yang menegaskan kewujudan bahasa dalam akal manusia sebagai fenomenon alamiah. Selaras pula dengan prinsip kepercayaan dan kepatuhan kepada Tuhan yang ditegaskan dalam Falsafah Pendidikan Negara, falsafah pendidikan bahasa yang dikemukakan tadi diasaskan pada paksi tauhid, iaitu pengembangan bahasa sebagai suatu upaya menikmati dan mensyukuri kurniaan Tuhan dan juga sebagai upaya menunjukkan kebesaran dan kekuasaan Tuhan. Penyataan kedua berkaitan dengan hasil yang diharapkan daripada proses pendidikan, iaitu rakyat Malaysia yang berilmu pengetahuan, berketrampilan, berakhlak mulia, bertanggung jawab, dan berkeupayaan mencapai kesejahteraan diri serta memberikan sumbangan terhadap keharmonian dan kemakmuran masyarakat dan negara. Pendidikan bahasa yang berlandaskkan empat asas falsafah tadi dapat memenuhi matalamat tersebut, terutama berdasarkan hakikat bahasa sebagai bahagian diri insan yang penting. Falsafah pendidikan, termasuk falsafah pendidikan bahasa diterjemahkan melalui proses pendidikan yang secara kasar dibahagi kepada dua, iaitu pelaksanaan kurikulum dan kokurikulum. Kurikulum dibahagi dua pula, iaitu pengajaran dan pemelajaran mata-mata pelajaran lain (yang mewakili ilmu keseluruhannya) serta pengajaran dan pemelajaran bahasa (yang mewakili ilmu asas menurut al-Ghazali). Baik pengajaran dan pemelajaran bahasa mahupun pengajaran dan pemelajaran mata pelajaran lain, kesemuanya berlangsung secara bersepadu, iaitu berasaskan falsafah yang digubal. Penguasaan ilmu dalam semua mata pelajaran seiring dengan penguasaan bahasa sebagai kemahiran dan bahasa sebagai ilmu melalui penekanan terhadap aspek bahasa dalam semua mata pelajaran. Demikian pula, penguasaan bahasa bererti juga penguasaan ilmu-ilmu lain kerana pelajaran bahasa menurut kurikulum dan pendekatan bersepadu bukan hanya menitikberatkan penguasaan kemahiran berbahasa bahkan memasukkan unsur-unsur ilmu daripada semua cabang dalam pelajaran bahasa, iaitu melalui strategi penyerapan ilmu (lihat pembicaraan selanjutnya dalam subjudul sesudah ini). Adanya hubungan kesalingan yang memadukan penguasaan bahasa dengan ilmu-ilmu seluruhnya itulah yang melandasi gagasan Bahasa Melayu Merentas Kurikulum. Demikianlah dalam bahagian pertama kertas kerja ini, telah saya huraikan perkembangan sistem pendidikan kita yang bertunjangkan bahasa Melayu sebagai bahasa penghantar utama telah berjaya memenuhi idealisme dan agenda pembinaan negara, khususnya melalui kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan, bahasa rasmi dan bahasa penghantar utama ilmu. Dalam bahagian selanjutnya, perbincangan saya fokuskan pada isu semasa yang memerlukan kesedaran massa agar apa-apa yang telah sama-sama kita rancang dan jayakan tidak musnah disebabkan kesilapan langkah yang diambil.