Artikel

Jadilah Sehebat Al-Fateh: Berfikir Gaya Al Fateh

oleh Siti Nur Shahira Zakaria pada 24 Feb 2014

“Akan dibuka kota Konstantinople itu. Maka sebaik-baik pemimpin, itulah pemimpinnya. Sebaik-baik tentera, itulah tenteranya.”

Sebaris kata yang diucapkan Rasulullah  s.a.w  semasa perang khandaq sekitar 800 tahun sebelum ianya menjadi kenyataan. Buku ini mengisahkan mengenai Muhammad Al-Fateh dan pembukaan Konstantinople pada 1453 Masihi.

Selepas dua tahun Kuasa Kepimpinan Al Fateh berada dalam pasaran dengan hampir sembilan kali diulang cetak, penulis tampilkan pula kepada pembaca karya keduanya Berfikir Gaya Al-Fateh.

 Ia merupakan hadiah daripada penulis kepada para pembaca yang meminati tokoh Islam tersebut.

Dengan memiliki dan membaca buku ini, pembaca dapat mengenali baginda dengan lebih dekat. Khususnya dari aspek cara berfikir dan cara baginda bertindak.

Dalam buku Berfikir Gaya Al Fateh ini, penulis memfokuskan penulisannya bermula pada susur galur kehidupan Muhammad Al-Fateh iaitu sejak kelahiran baginda sehingga kejayaan baginda menawan kota Konstantinople.

Tidak rugi sekiranya pembaca memiliki buku tersebut, pembaca bukan hanya dapat mengenali baginda bahkan segala perkongsian penulis tentang cara Muhammad Al-Fateh berfikir dapat diaplikasikan dalam kehidupan seharian pembaca bagi meraih kecemerlangan dalam kehidupan.

Selain daripada ilustrasi menarik untuk tatapan pembaca, penulis turut menyedia peta pengembaraan berfikir gaya Al-Fateh untuk memudahkan pemahaman pembaca.

Setiap fakta yang diketengahkan mengenai Muhammad Al-Fateh dapat dijadikan sebagai pembelajaran dan pengajaran kepada pembaca.

Walaupun buku ini sarat dengan fakta-fakta sejarah, penulis mengambil inisiatif dengan menyampaikan fakta-fakta tersebut dalam bentuk penerangan dengan menggunakan gaya bahasa yang mudah untuk difahami pembaca.

Terdapat juga beberapa persoalan yang diajukan oleh penulis dan setiap satu persoalan tersebut disediakan dengan beberapa contoh jawapan.

Malahan, buku ini mempunyai kelainan daripada buku-buku fakta sejarah yang lain. Ia bukan hanya mendedahkan mengenai pemikiran gaya Muhammad Al-Fateh semata-mata, tetapi diselang seli dengan subtopik yang lain yang mampu menambah pengetahuan pembaca dan menjadikan diri pembaca sehebat Al-Fateh.

Hakcipta Terpelihara • PTS Media Group Sdn Bhd (173482-A) © 2000 - 2024