Artikel
Jangan Lari Daripada Masalah
oleh Helmi pada 06 Oct 2005
Jangan Lari Daripada Masalah Prinsip itu adalah jangan sekali-kali berhenti daripada meneruskan usaha ataupun menyerah kalah kepada masalah itu. Apabila seseorang itu menyerah kepada masalah, itu bermakna dia mengundang kekalahan peribadi yang total, di mana dia bukan hanya kalah sebahagian sahaja, tetapi dia kalah semuanya. Dalam kekalahan total, kita bukan hanya kalah kepada masalah yang sedang dialami itu, ia mengundang kekalahan demi kekalahan dalam hidup kita seterusnya. Apabila sekali kita sudah menyerah kalah kepada masalah, ia mendorong kita mengembangkan dalam diri kita apa yang diistilahkan sebagai psikologi kekalahan dalam minda dan jiwa kita. Apabila cara yang digunakan sekarang tidak berhasil menyelesaikan masalah itu, kita perlu menukar cara-cara sekarang dengan cara-cara lain. Apabila cara baru itu pun masih juga tidak berhasil, jangan menyerah, tetapi tukar lagi dengan cara lain, begitulah seterusnya. Jangan sekali-kali menyerah. Penyerahan pertama mendorong kita melakukan penyerahan kedua dan begitulah seterusnya. Jangan benarkan hati kita berasa jenuh disebabkan jenuh mendorong kita patah semangat, yang segera mendorong kita menyerah. Tukar dan tukar lagi cara yang kita gunakan bagi memecahkan masalah itu sehingga menemui kunci penyelesaiannya, disebabkan kunci masalah itu memang ada, selalu ada, tetapi kita perlu tekun dan tabah mencarinya. Apabila mengalami masalah, kita mesti berfikir dengan sikap positif. Sikap positif ialah asas kepada keyakinan bertahan iaitu sikap milik orang-orang yang tidak terkalahkan. Mereka adalah orang-orang yang percaya mereka tidak akan hancur oleh masalah ataupun kesukaran dan kesulitan. Mereka berfikir dengan rasional memahami masalah yang dialami dan mencipta pelbagai cara dan kemungkinan ia dapat diselesaikan, lalu kemudian mencuba lepas satu, satu, cara itu sehingga akhirnya dia menemui kunci penyelesaiannya itu. Semua masalah ada kunci penyelesaiannya, selalu ada, asal sahaja kita tidak panik dan cepat menyerah. Jangan terlalu cepat untuk menyerah. Kita sudah banyak kali menyaksikan bagaimana orang boleh hancur oleh masalah dan kesukaran. Sebahagian daripada mereka adalah orang-orang yang rapat dengan kita. Mereka mempunyai cita-cita, tujuan dan sasaran. Mereka bekerja… berusaha… berfikir… berjuang… mereka juga berdoa. Tetapi disebabkan jalan yang ditempuh dirasai terlalu sukar, mereka berasa letih, jenuh, bosan, lalu mereka berasa putus asa, akhirnya mereka berhenti. Mereka menyerah. Akhirnya kita juga tahu, seandainya mereka tidak berhenti, sebaliknya terus bekerja sedikit sahaja lagi, terus tekun lama sedikit lagi, di depan mereka ada hasil menunggu. Asas kejayaan dan keberhasilan ialah sikap percaya bahawa kita tidak boleh menyerah dan membenarkan diri kita dihancurkan oleh masalah dan kesusahan. Bagaimanakah kita dapat mengembangkan dalam minda dan jiwa kita sikap tidak mahu menyerah dan tidak mahu gagal? Pertama-tama, jangan sekali-kali melayan fikiran tentang kegagalan. Jangan pernah bercakap soal gagal. Apabila sekali kita sudah melayan cakap-cakap tentang kegagalan, kita sebenarnya menyuruh diri kita bersiap sedia untuk menerima kekalahan dan kegagalan. Selama ini adakah kita bercakap menggunakan kata-kata yang baik, positif dan penuh harapan? Percakapan negatif hanya merendahkan diri sendiri. Bercakaplah dengan menggunakan kata-kata yang mengandungi harapan, keyakinan dan kejayaan. Apabila kita yakin masalah itu dapat diselesaikan, barulah kita dapat mencari penyelesaiannya. Inilah pemikiran positif. Kita boleh apabila kita yakin boleh. Berfikir dan bertindaklah berdasarkan prinsip ini. Jangan bayangkan kegagalan, disebabkan fikiran negatif seperti itu hanya menyediakan otak kita bagi menerima kegagalan. Betapa berbahayanya apabila bercakap menggunakan kata-kata negatif. Perkataan negatif paling berbahaya adalah TIDAK disebabkan setiap kali kita mengucapkan perkataan ini, kita menutup pintu kejayaan. Ia juga mendorong kita menunda-nunda segala daya upaya. Ia membuat kita berasa serba tidak berdaya dan bermaya bagi terus bertekun mengusahakan kejayaan. Jadi, apabila sedang mengalami masalah dan kesusahan, kita mesti mengubah perkataan-perkataan negatif kepada yang positif dan konstruktif. Ingat prinsip ketekunan: jangan sekali-kali cepat mengaku kalah dan menyerah. Hadapi masalah apabila masalah itu muncul di depan anda. Jangan lari. Dan jangan cepat menyerah. Tabahkan hati dan bersedia untuk menyelesaikannya dengan tekun. Inilah sikap yang membuat seseorang itu bersemangat, produktif dan kreatif apabila bertemu dengan masalah. Ia membantu kita yakin kita tidak akan mundur dan hancur oleh masalah dan kesusahan. Sesungguhnya, peluang untuk kita benar-benar tiba ke tempat yang dituju bergantung kepada sikap dan tindak balas kita apabila berhadapan dengan ancaman yang boleh memundurkan dan menghancurkan kehidupan kita sama ada kita akan menyerah ataupun akan terus tekun berusaha mengatasi ancaman itu. Masa depan kita bergantung kepada keputusan yang kita buat. Asas prinsip ketekunan adalah kedegilan menyerah. Dalam zaman makmur dan serba enak seperti sekarang, kita jarang mendengar cakap-cakap tentang ketekunan dan kecekalan, padahal kedua-dua sikap ini amat penting dalam kehidupan dan ia mesti ditanamkan ke dalam benak setiap kanak-kanak dan orang muda. Ia membolehkan kita berjuang, menyerang, memukul dan mengatasi masalah dan kesusahan. Ketekunan, inilah anak kunci yang membuka pintu kejayaan. Kita takkan sampai ke mana-mana tanpa ketekunan. Ingatlah janji Allah Kamu akan dapat apa yang kamu usahakan. Apabila sahaja kita berfikir tidak ada harapan, fikiran begitu akan betul-betul menarik kita ke dalam masalah itu lebih jauh ke dalamnya sehingga akhirnya kita kalah, gagal menyelesaikan masalah tersebut. Gantikan fikiran yang mengatakan kita tidak ada harapan dengan fikiran bahawa keadaan akan berubah dan perubahan itu akan menguntungkan kita. Pada saat semuanya nampak amat berkecamuk dan serba mengelirukan, saat itulah yang paling baik untuk mula berfikir secara positif bahawa kita akan dapat juga mengatasi kesusahan itu asal sahaja kita terus tekun berusaha. Orang yang bersikap lemah dan cepat menyerah kalah mempunyai cara berfikir yang mendorongkan tingkah laku seperti itu. Mereka yakin penyebab masalah mereka berada di luar diri mereka, oleh itu sukar dikendalikan. Inilah dalih yang mendorong seseorang itu mudah hilang harapan langsung cepat mengalah. Orang yang berupaya terus berkembang dan maju dalam kehidupannya adalah orang bangun dan mencari kehidupan yang mereka inginkan. Apabila kehidupan yang seperti itu tidak mereka temui mereka pun segera mengambil tindakan untuk menciptanya. Sikap inilah yang membolehkan orang-orang seperti itu mencipta keajaiban dalam menangani masalah dan kesusahan. Sikap yang sama jugalah yang mencipta ketekunan yang membuat mereka tidak cepat-cepat mengalah dan tidak mahu berhenti. Dalam menangani masalah, jangan sekali-kali kita menyerah. Nombor satu jangan berhenti daripada terus menyerang masalah itu. Inilah prinsip ketekunan. Apabila anda hendak mendaki gunung tinggi, berfikirlah lebih tinggi daripada gunung itu. Berfikir dengan penuh semangat. Gunakan kata-kata positif. Jangan merendah-rendahkan potensi kita. Apabila masih gagal, cuba dan cuba lagi. Jangan benarkan masalah mengalahkan kita. Terus maju, hasilnya tentu baik. Ingat, Allah memberkati orang yang tidak kenal putus asa.